#7067: Grooming Ikan Arowana

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya melihat satu video berkenaan grooming ikan arowana. Soalan saya, bolehkah ikan pun turut didandan dan dicantikkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Secara umumnya, pemilik haiwan kebiasaannya akan membawa haiwan peliharaan mereka ke tempat-tempat grooming bagi membersihkan kotoran, mencantikkan dan mendandan haiwan peliharaan mereka itu.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa tidak menjadi masalah dan diharuskan bagi seseorang itu untuk mendandan (grooming) haiwan peliharaannya, tidak kira kucing, burung mahupun ikan. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan:

 الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Apatah lagi termasuk dalam perkara yang dibolehkan untuk seseorang itu membela haiwan bagi mendapatkan manfaat daripada kecantikkan haiwan tersebut, dan bukannya untuk memakannya semata. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Qalyubi dalam hasyiahnya bahawa dibolehkan bagi seseorang untuk menahan (memelihara) haiwan walaupun sekadar untuk mendengar suaranya atau melihat kecantikannya, atau begitu juga memelihara anjing kerana suatu keperluan dengan syarat haiwan-haiwan itu diberi makan. (Lihat Hasyiata Qalyubi dan ‘Umairah, 4/95).

Justeru, termasuk dalam salah satu cara bagi memastikan kecantikan haiwan tersebut kekal dan berterusan sebagaimana yang diinginkan adalah dengan mendandannya (grooming) secara berkala, di samping menjaga tahap kesihatan haiwan tersebut.

Meskipun begitu, kami juga mengingatkan janganlah sampai mendandan (grooming) haiwan itu membawa kepada perbuatan berlebih-lebihan sehingga berlakunya pembaziran dan mensia-siakan harta. Hal ini kerana perbuatan membazir dan mensia-siakan harta itu termasuk dalam perkara yang dilarang dalam syarak. Amalan membazir ini amat dilarang oleh Allah SWT, sehinggakan Allah SWT melabel orang-orang yang membazir itu adalah saudara-mara syaitan. Berhubung perkara ini, Allah SWT berfirman:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ٢٦ إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau (26). Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

(Surah al-Isra’: 26-27)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat dan tegaskan sekali lagi bahawa tidak menjadi masalah dan diharuskan bagi seseorang itu untuk mendandan (grooming) ikan arowana yang dipeliharanya sebagaimana haiwan peliharaan yang lain bagi memastikan tahap kecantikan, kesihatan dan kebersihan ikan itu berada pada tahap yang diingininya. Apatah lagi ikan arowana sememangnya merupakan antara ikan termahal yang dipelihara kerana kecantikan dan keanggunannya, dan sudah semestinya pemiliknya akan menjaganya sebaik mungkin berdasarkan kepada tujuan asal pemeliharaannya itu, yang mana salah satu caranya adalah dengan mendandannya (grooming) secara berkala. Namun, keharusan itu juga adalah selagi mana ia tidak membawa kepada pembaziran dan mensia-siakan harta kerana perbuatan membazir dan mensia-siakan harta adalah dilarang dalam agama.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”