#7079:  Perkahwinan Ibu dan Hak Penjagaan Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah hak penjagaan ibu boleh gugur sekiranya dia berkahwin baru? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Hadhanah

Penjagaan anak atau dari segi istilah syara’ disebut sebagai hadhanah (حَضَانَةٌ). Menurut istilah syara‘, ia didefinisikan sebagai menunaikan (hak-hak) dengan menjaga orang yang belum mumayyiz dan tidak pandai berdikari untuk urusan diri sendiri, mengasuhnya dengan apa yang layak untuknya dan memeliharanya daripada perkara yang boleh menyakitinya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 9/98)

Penjagaan anak merupakan suatu tanggungjawab yang tidak boleh diambil ringan kerana mereka memerlukan bimbingan dari orang dewasa dalam banyak perkara. Oleh yang demikian, kerajaan negeri telah mengeluarkan akta yang khusus berkenaan syarat-syarat orang yang layak mendapatkan hak penjagaan. Sebagai contoh, kami memetik dari Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, dalam bahagian 7 pada membincangkan tentang Hadhanah atau jagaan kanak-kanak. Disebutkan dalam seksyen 82:

“Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika:

  • Dia adalah seorang Islam;
  • dia adalah sempurna akal;
  • dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
  • dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  • dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.”
  • Di dalam akta yang sama, disebutkan dalam seksyen 81 bahawa orang yang paling layak mendapatkan hak penjagaan anak kecil adalah ibu, sama ada dia masih dalam perkahwinan yang sah atau dia telah bercerai.[1]

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa syarak memberikan keutamaan kepada ibu dalam hak penjagaan selepas berlakunya penceraian terutamanya jika anak masih kecil. Ini kerana Islam menekankan bahawa ibu mempunyai sifat kasih sayang yang lebih kuat dan kemampuan untuk menjaga dan mendidik anak dengan lebih baik pada peringkat usia awal.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan, Ibu lebih berhak daripada ayah dalam menjaga anak kecil kerana:

  • Kasih dan kesabaran ibu menanggung beban menjaga dan mendidik anak kecil.
  • Ibu lebih berlemah-lembut dalam menjaga dan mendidik anak-anak, di samping mampu memberikan kasih sayang dan belaian yang diperlukan oleh anak-anak kecil. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/181-182)

Namun, dalam situasi tertentu, hak penjagaan tersebut boleh terlucut menurut syarak, seperti apabila ibu berkahwin lain selepas bercerai dengan suami terdahulu. Ini disebabkan oleh kesibukannya dengan tanggungjawab terhadap suami barunya, yang mungkin mengakibatkan hak anak terabai. Selain itu, suami barunya mungkin tidak mengambil berat tentang pendidikan anak tersebut, yang boleh membawa kemudaratan kepada anak dan mengabaikan kepentingannya.

Yang demikian adalah berdasarkan riwayat ‘Abdullah bin ‘Amru R.A, katanya bahawa suatu ketika datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, payudaraku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya, dan ayahnya pula telah menceraikanku lalu ingin merampasnya dariku. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum berkahwin lain’.”

Riwayat Abu Dawud (2276), Ahmad (6707), al-Hakim (2830) dan al-Baihaqi (16181)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata ketika mensyarahkan faedah-faedah yang diperoleh dari hadith di atas, ia merupakan dalil bahawa ibu adalah orang yang paling layak mendapat hak penjagaan anak kecil berbanding ayahnya. Dia kekal mendapat hak ini selama mana dia tidak melangsungkan perkahwinan yang baharu.

Ini juga adalah dalil, sekiranya ibu itu berkahwin dengan lelaki lain, lalu digauli oleh suaminya yang baharu, maka gugur hak penjagaan anak darinya. Hal ini kerana dia telah disibukkan dengan bermesra bersama suaminya itu. Dan suami adalah orang yang paling utama bagi isteri berdasarkan persepakatan ulama’.

Hadith ini juga menunjukkan sisi syara‘ yang meraikan hak anak kecil itu, dan hak suami baharu yang dikahwini. Seorang ibu itu sebelum dia berkahwin lagi, dia hanya menumpukan kepada anaknya sahaja, menjaga urusannya, maka hak anak ke atas ibu ketika itu masih ada. Akan tetapi, setelah ibu itu berkahwin lagi, maka dia akan dibebankan dengan dua hak yang berterusan; hak suami baharu dan hak anak.  (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/59)

Dalam isu ini Ibn Qudamah menyatakan bahawa: Jika ibu berkahwin, maka hak hadhanahnya (penjagaan anak) akan tergugur. Ibn Munzir menyatakan bahawa para ulama telah bersepakat berkaitan dengan isu ini. Inilah keputusan yang diputuskan oleh Syuraih, dan ini juga merupakan pendapat Imam Malik, Imam Syafi’i, dan para ashab al-Ra’yi. (Lihat al-Mughni, 11/420)

Selain itu juga, disebutkan dalam al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i (11/277): sebab digugurkan hak penjagaan anak adalah disebabkan kerana apabila seorang wanita berkahwin, suami berhak menikmati dirinya kecuali pada waktu ibadah. Pada ketika itu, dia tidak lagi bertanggungjawab dalam penjagaan anak.

Justeru, berdasarkan perbincangan yang telah dibawakan di atas, dapat difahami bahawa hak penjagaan anak oleh ibu boleh terlucut sekiranya ibu tersebut berkahwin semula selepas penceraian dengan suami terdahulu. Hal ini kerana perhatian dan tanggungjawab dalam penjagaan anak mungkin terjejas selepas perkahwinannya yang baru. Dalam isu ini, kami menasihatkan agar sekiranya berlaku perselisihan antara suami isteri mengenai hak penjagaan anak selepas penceraian, maka hendaklah merujuk kepada badan kehakiman untuk menyelesaikan perselisihan tersebut. Yang demikian sebagaimana kaedah fiqh menyebutkan:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Akta/Akta%20Undang-Undang%20Keluarga%20Islam%20(Wilayah-Wilayah%20Persekutuan)%201984%20(Akta%20303).pdf.  Diakses pada 30 Ogos 2024