#7084:  Suami Bersalaman dengan Isteri Bapa Tiri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya ada bapa tiri, mak saya telah meninggal dunia. Bapa tiri saya kahwin lagi. Boleh ke suami saya salam isteri bapa tiri saya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT telah menjelaskan wanita-wanita yang dikategorikan sebagai mahram, sama ada mahram selama-lamanya atau mahram secara sementara. Ini sebagaimana yang jelas disebutkan dalam firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَٰتُكُمْ وَعَمَّـٰتُكُمْ وَخَـٰلَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَـٰٓئِلُ أَبْنَآئِكُمُ ٱلَّذِينَ مِنْ أَصْلَـٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا ٢٣ ۞ وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۖ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَـٰفِحِينَ ۚ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, emak-emak saudara kamu di sebelah bapa, emak-emak saudara kamu di sebelah ibu, anak-anak perempuan daripada adik-beradik lelaki dan anak-anak perempuan daripada adik-beradik perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusui kamu dan adik-beradik susuan kamu dan ibu kepada isteri kamu dan anak-anak tiri di bawah pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu telah bersetubuh dengan mereka, tetapi jika kamu belum lagi bersetubuh dengan mereka dan kamu telah menceraikan mereka maka tiada sebarang kesalahan kepada kamu untuk menikahi anak-anak tiri tersebut. Diharamkan juga kamu berkahwin dengan bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu dan diharamkan juga untuk kamu menghimpunkan dua beradik sebagai isteri kamu secara serentak kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. (23) Dan diharamkan juga kamu berkahwin dengan perempuan yang bersuami, kecuali hamba perempuan yang kamu miliki melalui tawanan perang. Inilah ketetapan Allah ke atas kamu. Dan dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan selain daripada mereka yang tersebut untuk kamu jadikan isteri dengan menggunakan harta kamu sebagai mas kahwin. Kamu jadikan mereka pasangan kamu dengan bernikah, bukan dengan berzina.”

(Surah al-Nisa’: 23-24)

Ayat di atas menyebutkan beberapa jenis mahram; sama ada mahram disebabkan nasab keturunan, atau disebabkan penyusuan, dan ada yang menjadi mahram disebabkan perkahwinan. Al-Qurtubi menyebut bahawa ayat ini adalah ayat yang muhkam dan ini adalah persepakatan yang tidak boleh disanggahi. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/98)

Bagi lelaki mahramnya yang bersifat al-ta’bid (التَّأْبِيدُ) boleh jadi disebabkan keturunan, perkahwinan,  dan susuan. Antaranya:

  • Ibu dan ke atas, termasuk nenek sama ada sebelah ayah atau ibu.
  • Anak perempuan dan ke bawah, termasuk cucu perempuan.
  • Saudara perempuan iaitu kakak atau adik perempuan.
  • Ibu saudara sebelah ayah dan ibu.
  • Anak perempuan kepada saudara lelaki dan perempuan.
  • Ibu tiri.
  • Menantu perempuan.
  • Ibu mentua.
  • Anak tiri perempuan.
  • Ibu susuan dan ke atas.
  • Adik beradik perempuan susuan.

Dan perempuan yang haram untuk dikahwini secara sementara adalah:

  • Adik beradik ipar, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan kakaknya.
  • Wanita yang masih bersuami.
  • Ibu saudara isteri dari sebelah ayah, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan si isteri.
  • Ibu saudara isteri dari sebelah ibu, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan si isteri.

Dalam menjawab persoalan ini, perlu difahami bahawa berdasarkan ayat al-Quran yang dibawakan di atas, suami kepada isteri bapa tiri tidak termasuk dalam kategori mahram. Mahram merujuk kepada individu-individu yang haram untuk dinikahi selama-lamanya kerana hubungan darah, perkahwinan, atau penyusuan.

Memandangkan suami kepada isteri bapa tiri bukanlah mahram, dia dianggap sebagai ajnabi, yakni seorang yang asing atau bukan mahram. Oleh itu, dalam konteks interaksi antara ajnabi, Islam menetapkan batas-batas tertentu yang perlu dipatuhi, termasuk larangan untuk bersalaman atau bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Pengharaman menyentuh ajnabi disandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ma‘qil bin Yasar R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya: “Sekiranya dicucuk pada kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, adalah lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahram).”

Riwayat al-Tabarani (486); Riwayat al-Ruyani dalam musnadnya (1283)

Hadith di atas, jelas menunjukkan kepada pengharaman bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekalipun zahir hadith menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya.  Mengenai perkara ini, al-Khattabi ada mengatakan:

الْخِطَاب إِذَا وَرَدَ بِلَفْظِ الذُّكُورِ كَانَ خِطَابًا لِلنِّسَاءِ إِلَّا فِي مَوَاضِعَ مَخْصُوصَةٍ

Maksudnya: “Sesuatu khitab (yakni nas) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga turut ditujukan (terpakai) kepada orang perempuan, melainkan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/423).

Rasulullah SAW turut bersabda:

 إنِّي لا أُصافِحُ النِّساءَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Larangan itu juga adalah sebagai mengambil jalan Sadd al-Zari‘ah — yakni menutup pintu atau jalan yang membawa kepada kemudaratan yang lebih besar. (Lihat Hasyiah Majmu‘ah Rasa’il fi al-Hijab wa al-Sufur, hlm. 69).

Ibn Nujaim menyebutkan bahawa: tidak dibenarkan baginya untuk menyentuh wajah perempuan dan tangannya walaupun dia merasa aman dari syahwat, Perkara tersebut dilarang  kerana adanya larangan dan tiada keperluan (yang mendesak). (Lihat al-Bahr al-Raiq, 8/219)

Justeru, berdasarkan perbincangan di atas, adalah jelas bahawa suami dan isteri bapa tiri bukanlah mahram. Oleh itu, mereka perlu menjaga batas pergaulan seperti tidak boleh bersalaman, berkhalwat, dan melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Larangan ini bertujuan untuk memelihara kehormatan dan kesucian seorang Muslim. Oleh yang demikian, dengan menjaga diri daripada menyentuh yang bukan mahram, seorang Muslim menunjukkan kepentingan terhadap kesucian diri dan keinginan untuk menjauhi perkara yang boleh membawa kepada dosa atau fitnah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam