#7086:  Hutang yang Dihalalkan oleh Waris

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apa status peminjam jika orang yang memberi pinjam telah meninggal dunia dan warisnya menyatakan bahawa mereka telah menghalalkan hutang tersebut. Adakah dikira masih lagi berhutang dengan si mati? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam tidak melarang kita untuk berhutang, bahkan nas yang membicarakan berkaitan hutang piutang amat jelas sekali di dalam al-Quran. Ini memberi satu gambaran yang jelas bahawa Islam bahawa Islam adalah satu agama yang syumul dari semua aspek. Tuntutan untuk merekod hutang piutang adalah sunat di dalam agama Islam. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa seseorang yang mempunyai hutang wajib melunaskan bebanan tersebut kepada pemiliknya. Ini kerana ancaman terhadap mereka yang lalai dalam melunaskan hutang adalah amat berat, malah dikatakan bahawa jiwa orang yang berhutang tergantung sehinggalah dia melunaskan hutang tersebut. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”

Riwayat Ibn Majah (2413), al-Tirmizi (1079), Ahmad (9677) dan al-Baihaqi (6891). Hadith ini dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (1079)

Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadith ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193)

Namun, dalam situasi di mana pemilik asal itu telah meninggal dunia, maka hendaklah orang yang berhutang menyerahkan hutang tersebut kepada ahli warisnya. Yang demikian kerana ia dikira sebagai harta peninggalan si mati yang perlu difaraidkan.

Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Imam al-Ghazali yang mengatakan: Apabila si pemilik sah sudah meninggal dunia, hendaklah harta itu diserahkan kepada ahli warisnya. Namun jika si pemilih sah dan ahli warisnya tidak diketahui juga, hendaklah harta tersebut disalurkan kepada maslahat kaum muslimin, seperti membina jambatan, masjid, menjaga perbatasan negara islam dan sektor lain yang bermanfaat untuk seluruh kaum muslimin  atau boleh juga disumbangkan kepada fakir miskin” (Lihat Majmu’ Syarh Muhazzab, 9/351).

Dalam isu ini juga Syeikh bin Baz pernah ditanya bagaimana cara untuk melunaskan hutang kepada bapa saudara yang telah meninggal dunia, lalu beliau menjawab: Anda wajib membayar apa yang berada dalam tanggungan anda kepada waris-waris bapa saudara anda, dan memberitahu mereka tentang perkara tersebut. Jika mereka mempunyai seorang wakil atau penjaga, maka berikan kepada wakil tersebut, atau kepada mahkamah untuk diagihkan antara mereka. Jika waris-waris tersebut dapat dikenal pasti dan mampu untuk menyerahkannya, maka anda boleh mengagihkannya kepada mereka secara langsung. (Lihat Fatawa Nur ‘ ala Darb, 19/188)

Justeru, berdasarkan perbincangan di atas, jelas bahawa hutang perlu dilunaskan walaupun pemberi hutang telah meninggal dunia. Hutang tersebut harus diserahkan kepada ahli waris si mati, kerana ia merupakan sebahagian daripada harta peninggalannya yang perlu diagihkan melalui sistem faraid. Namun, jika seluruh ahli waris bersetuju untuk menghalalkan hutang tersebut, maka bebanan hutang akan terhapus dari penghutang.

Sebaliknya, jika terdapat sebahagian ahli waris yang tidak bersetuju untuk melepaskan hutang tersebut, maka hutang itu hendaklah diserahkan kepada ahli waris mengikut bahagian mereka dalam pembahagian faraid. Dalam hal ini, penghutang tetap bertanggungjawab untuk melunaskan hutang kepada waris-waris yang tidak menghalalkan ahutang tersebut. Sekiranya tiada persetujuan, mahkamah boleh dilibatkan untuk memastikan pelunasan hutang dilakukan dengan adil dan mengikut ketetapan syariah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahu a’lam.a