#7089:  Jaminan Pada Hukuman Hudud

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah tidak ada jaminan pada perkara yang melibatkan hudud dan qisas? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hudud menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, dan minum arak.

Ia merupakan kata pinjaman bahasa Arab (الحُدُودُ) dan juga jamak kepada kalimah al-had (الحَدُّ), yang bermaksud menghalang. Ia digunakan untuk merujuk kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘ ke atas pelaku jenayah. Ia dinamakan demikian kerana hukuman ini menjadi sebab yang menghalang pesalah itu dari mengulangi kesalahan tersebut, serta menghalang sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukannya.

Kalimah al-had (الحَدُّ) juga digunakan untuk merujuk kepada maksiat-maksiat yang dilarang, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا

Maksudnya: “Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu  menghampirinya.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Yakni, itulah maksiat-maksiat yang telah Allah SWT larang dari kita melakukannya, oleh itu janganlah kita mendekatinya. Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas berkata, (حُدُودُ اللَّهِ) dalam ayat ini bermaksud, hukum-hakam yang disebutkan dalam ayat ini merupakan batas-batas larangan Allah, maka janganlah melanggarnya. Dan (تِلْكَ) pula sebagai isyarat kepada perintah-perintah serta larangan-larangan yang disebutkan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/337)

Kalimah al-had (الحَدُّ) juga merujuk kepada apa yang telah Allah SWT tetapkan dari hukum-hakam-Nya, sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

مَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Imam Abu Bakar al-Jaza’iri berkata, (حُدُودَ اللَّهِ) yang dimaksudkan adalah apa yang wajib dilakukan oleh seseorang hamba itu seperti mentaati perintah Allah dan tidak menyelisihinya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/213)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula mendefinisikan al-had (الحَدُّ) sebagai suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘, dan ianya tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/54)

Sebagai contoh, telah thabit riwayat daripada Abu Burdah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُجْلَدُ فَوْقَ عَشْرِ جَلَدَاتٍ إِلَّا فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “(Seseorang) tidak boleh disebat lebih daripada sepuluh kali sebatan melainkan dengan had yang telah ditetapkan oleh Allah (hukuman hudud).”

Riwayat al-Bukhari (6848) dan Muslim (1708)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, maksud sabda Rasulullah SAW (حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ) adalah apa sahaja yang telah disebutkan oleh syara‘ kadarnya, sama ada sebatan atau pukulan yang dikhususkan, dan disepakati tentangnya, seperti zina, mencuri, minum arak, al-hirabah, tuduhan qazaf , membunuh, qisas, atau murtad. (Lihat Fath al-Bari, 12/177)

Syeikh ‘Abdullah al-Bassam di dalam kitabnya Taudhih al-Ahkam (6/319) pula membawakan perbincangan ulama’ mengenai maksud hudud (الحُدُودُ) yang datang dalam banyak nas-nas al-Quran serta Sunnah al-Nabawiyyah. Sebahagian mereka berpandangan bahawa yang dimaksudkan adalah apa telah yang ditentukan hukumannya oleh syara‘, seperti hukuman zina, qazaf, mencuri, qisas kerana membunuh atau mencacatkan anggota atau mencederakan. Maka selain dari maksiat-maksiat yang disebutkan ini, hukuman ke atas pelakunya adalah ta‘zir[1]

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa dalam Islam, seseorang yang telah melakukan jenayah dan dikenakan hukuman hudud yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tidak boleh diberikan jaminan untuk dilepaskan daripada hukuman tersebut. Ini berlaku sama ada hukuman itu berkaitan dengan pelanggaran hak Allah SWT, seperti zina, atau hak sesama manusia, seperti pembunuhan atau pencurian.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Datuk Amru bin Syuaib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا كَفَالَةَ فِي حَدٍّ

Maksudnya: ”Tiada jaminan (perlindungan) dalam pelaksanaan hukuman hudud.”

Riwayat al-Baihaqi (11749), al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif dalam Dha‘if al-Jami’ (6309)

Hadith ini menunjukkan bahawa jika seseorang wajib dikenakan hukuman hudud, maka tidak boleh orang lain datang dan berkata: Biarkan dia, saya menjadi penjaminnya! Jika dia melarikan diri atau bersembunyi, apa yang akan dilakukan? Anda tidak akan dikenakan hukuman hudud atas kesalahan yang tidak anda lakukan, dan bagaimana anda boleh dihukum atas kesalahan orang lain? Ini tidak dibenarkan. Maka, tidak sah menjamin seseorang yang dikenakan hudud untuk membawanya agar hudud dilaksanakan ke atasnya, kerana hudud tidak menerima syafaat, tidak ada wakil, dan tidak ada perdamaian. Jika perkara itu telah sampai kepada penguasa, tidak boleh diadakan perdamaian atasnya kerana ia adalah hak Allah. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram,  oleh ‘Atiah Salim, 208/8)

Ibn Munzir menyatakan bahawa: Para ulama telah bersepakat bahawa tidak dibenarkan kafalah dalam hukuman hudud; ini kerana hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan ke atas penjamin (kafil) apabila hukuman tersebut tidak dapat dijalankan ke atas orang yang dijamin (makful). (Lihat Mausu‘ah al-Ijma‘, 10/93)

Selain itu al-Muzani berkata: Imam al-Syafi‘ mendhaifkan jaminan jenayah pada wajah pada sesuatu tempat dan membenarkannya pada tempat yang lain kecuali dalam hal hudud. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 6/462)

Sebagai kesimpulan, hudud merupakan sebahagian daripada hukuman yang bertujuan untuk menegakkan keadilan kepada mereka yang dizalimi. Oleh itu, syarak menekankan bahawa keadilan mesti ditegakkan dengan tegas, dan tiada pengecualian atau jaminan yang boleh diberikan kepada individu yang telah melakukan kesalahan yang dikenakan hudud. Justeru, kita dapat melihat bagaimana Islam menekankan keadilan dan ketegasan dalam pelaksanaan hukum, terutamanya dalam perkara yang melibatkan hudud, demi menjaga keamanan dan kestabilan masyarakat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Nota Hujung:

[1] Ta‘zir merupakan hukuman yang tidak ditetapkan oleh syara‘, bahkan ditentukan sendiri oleh pemerintah berdasarkan kebijaksanaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/62)