#7090: Burung Tiong Gembala Kerbau

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah burung tiong gembala kerbau atau dipanggil sebagai “common myna” halal dimakan? Ia adalah burung berwarna coklat dengan paruh kuning dan terdapat tompok kuning di sekitar matanya. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ ۚ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَٰنُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Mulk: 19)

Kami mulakan dengan menerangkan secara ringkas berkenaan burung tiong ini. Dalam al-Mausu‘ah al-‘Arabiyyah al-‘Alamiyyah dinyatakan, burung tiong atau myna ini dalam bahasa Arab dipanggil sebagai al-Minah (المينة). Ia adalah nama bagi beberapa jenis burung dari keluarga (starling) yang mendiami India, Burma, dan bahagian-bahagian lain di benua Asia. Burung ini memakan tumbuhan, serangga, dan cacing. (Lihat Mauqi‘ al-Islam Su’al wa Jawab, 5/8004).

Burung Gembala Kerbau Rumah atau juga dikenali sebagai Tiong Gembala Kerbau, nama saintifiknya Acridotheses tristis boleh dijumpai dari Iran sehingga ke Asia Tenggara. Burung Gembala Kerbau Rumah merupakan ahli keluarga burung Tiong (Sturnidae) yang berasal di Asia. Burung Gembala Kerbau Rumah merupakan burung maserba kawasan hutan terbuka dengan sifat menjaga kawasan yang kuat, burung Gembala Kerbau Rumah telah menyesuaikan dengan baik dengan persekitaran bandar. Burung Gembala Kerbau Rumah telah diperkenalkan di kebanyakan bahagian lain di dunia dan taburannya semakin meningkat. Ia merupakan ancaman serius bagi sistem ekologi di Australia.

undefined

(Sumber gambar: https://ms.wikipedia.org/wiki/Burung_Tiong_Gembala_Kerbau#/media/Fail:Common_Myna_(Acridotheres_tristis)_on_Kapok_(Ceiba_pentandra)_in_Kolkata_W_IMG_4297.jpg)

Sebagaimana kebanyakan burung “starlings,” burung Gembala Kerbau Rumah adalah maserba. Ia makan serangga, labah-labah (“arachnids”), krustaseans, reptilia, mamalia kecil, biji benih, bijirin, dan buah dan bahan buangan dari penempatan manusia. Ia mencari makan di tanah di celah rumput bagi serangga, dan terutamanya belalang, dari mana ia mendapat nama generik Acridotheres, “pemburu belalang.” Ia bagaimanapun makan sebilangan besar serangga, kebanyakannya dikutip dari tanah. Burung Gembala Kerbau Rumah juga merupakan pendebunga silang bunga seperti Salmalia dan Erythrina. Ia berjalan di bumi dengan lompatan sekali-sekala dan pemakan cari peluang bagi serangga yang diganggu oleh lembu yang meragut termasuk rumput terbakar.[1]

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa burung ini dibolehkan untuk dimakan kerana tiada sebab untuk mengharamkannya. Ini berdasarkan kepada prinsip atau hukum asal bahawa semua burung adalah halal, seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’ Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-An‘am: 145)

Namun, terdapat pengecualian yang jelas berdasarkan dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya, yang secara umumnya terbahagi kepada empat kategori:

Pertama: Burung yang memiliki cakar dan ia digunakan untuk memburu haiwan lain. Ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (1934) daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنْ السِّبَاعِ ، وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنْ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.

Dinyatakan dalam Zad al-Mustaqni‘: “Setiap burung yang memiliki cakar/kuku mencengkam yang digunakannya untu memburu.” Kemudian, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menjelaskan kenyataan dalam Zad al-Mustaqni‘ di atas bahawa maksudnya adalah cakar/kuku yang digunakan untuk  melukakan dan merobek sesuatu. Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada kuku yang digunakan untuk memburu. Burung-burung yang disebutkan mempunyai kuku yang kuat yang mampu untuk merobek kulit haiwan lain, sehingga mereka dapat menerkam arnab ketika sedang terbang, dan menangkapnya dengan kuku mereka hingga merobek kulitnya. Namun, yang dimaksudkan dengan cakar/kuku mencengkam di sini bukanlah sesuatu yang terdapat pada kaki ayam jantan, kerana itu adalah cakar, tetapi ia tidak digunakan untuk memburu. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 15/19-20).

Kedua: Burung yang memakan bangkai, seperti burung hering, burung hering mesir dan burung gagak yang berbelang (al-ghurab al-abqa‘). Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/135) disebutkan, para ulama daripada mazhab Hanafi, Syafi‘i, dan Hanbali sepakat tentang pengharaman burung gagak hitam besar dan gagak yang berbelang. Kedua-dua jenis ini kebiasaannya hanya memakan bangkai, sehingga dianggap menjijikkan oleh orang yang memiliki tabiat yang baik. Termasuk dalam jenis ini adalah burung hering, kerana ia hanya memakan daging daripada bangkai atau selainnya, meskipun ia tidak memiliki cakar/kuku mencengkam untuk memburu.

Ketiga: Burung yang dianggap jijik dan kotor (mustakhbath).

Al-Mawardi dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir ada menjelaskan berkenaan tiga kelompok haiwan yang terkait dengan hukum halal dan haram, di mana pada kelompok ketiga beliau menyatakan, binatang yang ketentuan halal atau haramnya tidak ditentukan oleh nas al-Quran atau sunnah. Dalam hal ini, dua ayat (iaitu ayat 4 surah al-Ma’idah dan ayat 157 surah al-A‘raf) dan hadith Nabi SAW boleh dijadikan sebagai dasar/kayu ukur  dalam menentukan kehalalan atau keharamannya.

Adapun ayat yang dimaksudkan adalah firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’

(Surah al-Ma’idah: 4)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa dijadikan yang baik-baik itu sebagai halal.

Manakala ayat kedua pula adalah firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa apa yang baik-baik itu dijadikan sebagai halal, manakala apa yang buruk itu dijadikan sebagai haram. Ayat ini lebih umum daripada ayat yang pertama kerana ayat pertama hanya khusus pada penghalalan yang baik-baik, sedangkan ayat ini merangkumi penghalalan yang baik-baik dan pengharaman yang buruk-buruk. Maka Dia menjadikan yang baik itu halal dan yang buruk itu haram. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/132).

Justeru, dapat difahami bahawa standard kehalalan sesuatu makanan atau minuman itu bergantung kepada sama ada ia tayyibat (benda yang baik-baik) ataupun tidak, begitu juga sebaliknya di mana makanan atau minuman itu dikira sebagai haram disebabkan oleh khaba’ith (benda yang buruk).

Keempat: Burung yang dilarang untuk dibunuh, seperti burung hud-hud, seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud (5267) dan Ibn Majah (3224) daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ قَتْلِ أَرْبَعٍ مِنْ الدَّوَابِّ: النَّمْلَةُ، وَالنَّحْلَةُ، وَالْهُدْهُدُ، وَالصُّرَدُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang membunuh empat jenis haiwan: semut, lebah, burung hupo (sejenis burung belatuk), dan burung surad (burung Shrike).

Sehubungan dengan itu, selain daripada empat perkara yang disebutkan di atas, burung-burung lain pada asasnya adalah halal untuk dimakan.

Kesimpulannya

Sebagai kesimpulannya, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa burung tiong gembala kerbau atau “common myna” adalah halal untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya. Hal ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyatakan:

 الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Burung_Tiong_Gembala_Kerbau. Diakses pada 3 September 2024.