#7094: Berkahwin dengan Bekas Isteri Pakcik Kandung

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita berkahwin dengan bekas isteri kepada pakcik kita?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada hukum asalnya, isteri kepada pakcik kandung itu termasuk dalam kalangan wanita ajnabi yang tidak boleh dikahwini sekiranya dia masih berada dalam ikatan perkahwinan yang sah; kerana ikatan perkahwinan yang sah tersebut merupakan salah satu dari al-mawani‘ al-mu’aqqatah (المَوَانِعُ المُؤَقَّتَةُ) atau halangan untuk berkahwin lagi bagi satu tempoh masa tertentu.

Dalam erti kata yang lebih mudah, wanita ajnabi yang sudah bersuami tidak boleh melangsungkan perkahwinan dengan lelaki lain, selama mana ikatan perkahwinan dengan suaminya masih kekal sah. Hal ini jelas sebagaimana dalam firman Allah SWT:

وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ

Maksudnya: “Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan muhasanat (isteri orang).”

(Surah al-Nisa’: 24)

Imam Ibn Kathir berkata, al-muhsanat (الْمُحْصَنَاتُ) ini adalah wanita ajnabi yang telah berkahwin. Apa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah diharamkan ke atas lelaki muslim untuk mengahwini wanita-wanita yang bersuami, selama mana mereka masih berada di bawah ikatan perkahwinan. Maksud tersirat di sebalik ayat ini pula, pengharaman berkongsi isteri di antara dua lelaki atau lebih dalam satu ikatan perkahwinan; kerana ia merupakan salah satu pernikahan Jahiliyyah yang batil, dikenali sebagai perkahwinan al-dhimad (الضِّمَادُ).[1] (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/224; al-Tahrir wa al-Tanwir, 5/5)

Ini juga secara tidak langsung merupakan larangan yang jelas terhadap pernikahan Jahiliyyah yang lain, seperti nikah al-raht (الرَّهْطُ) yang disebutkan dalam hadith Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha:

وَنِكَاحٌ آخَرُ: يَجْتَمِعُ الرَّهْطُ مَا دُونَ العَشَرَةِ، فَيَدْخُلُونَ عَلَى الْمَرْأَةِ كُلُّهُمْ يُصِيبُهَا… فَلَمَّا بُعِثَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالحَقِّ هَدَمَ نِكَاحَ الجَاهِلِيَّةِ كُلَّهُ، إِلَّا نِكَاحَ النَّاسِ اليَوْمَ

Maksudnya: “Bentuk pernikahan yang lain: Adalah sekumpulan orang dalam jumlah yang kurang daripada sepuluh orang, berkumpul lalu masuk kepada seorang wanita… Ketika Muhammad SAW diutuskan dengan membawa kebenaran, Baginda membatalkan kesemua pernikahan jahiliyah, kecuali pernikahan yang diamalkan orang ramai pada hari ini.”

Riwayat al-Bukhari (5127)

Akan tetapi, sekiranya pakcik kandung tersebut menceraikan isterinya, dan bekas isterinya itu juga telah melepasi tempoh ‘iddah, maka ketika itu tidak menjadi masalah untuk berkahwin dengannya.

Syeikh Dr. ‘Ali Jum‘ah juga pernah mengeluarkan satu fatwa di bawah Dar al-Ifta’ al-Misriyyah berkenaan isu ini, kata beliau: “Isteri kepada bapa saudara tidak termasuk dalam golongan wanita yang haram dinikahi, sama ada pengharaman atas dasar al-musaharah (keturunan) atau penyusuan; kerana wanita-wanita yang haram dinikahi ini adalah tujuh golongan yang disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat 23 dari Surah al-Nisa’.”[2]

Sekiranya berkesempatan, saudara boleh merujuk artikel kami yang bertajuk: “Maksud Mahram Sementara dan Hukum Berkait,” kerana ada perkaitan dengan perbahasan yang dibincangkan ini. Beginilah serba ringkas yang dapat kami jelaskan kepada saudara, semoga kita diberikan kefahaman yang baik dan seterusnya dapat beramal sesuai dengan prinsip agama Islam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Al-Dhamd (الضَّمْدُ) bererti seorang wanita yang berpasangan dengan dua orang lelaki. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/265; Taj al-‘Arus, 8/314)

[2] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/11714/%D8%A7%D9%84%D8%B2%D9%88%D8%A7%D8%AC-%D9%85%D9%86-%D8%B2%D9%88%D8%AC%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%85-%D8%A8%D8%B9%D8%AF-%D8%B7%D9%84%D8%A7%D9%82%D9%87%D8%A7-%D8%A7%D9%88-%D9%88%D9%81%D8%A7%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%85. Diakses pada 2 Sept 2024.