#7101: Kesahihan Kisah Buhaira Bersama Abu Talib dan Nabi SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar kisah seorang rahib bernama Buhaira memberi amaran kepada Abu Talib berkenaan tanda kenabian Nabi SAW ketika mereka dalam perjalanan ke Syam? Mohon pencerahan

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kisah Buhaira Rahib telah diriwayatkan daripada ‘Abd al-Rahman bin Ghazwan (Qarad Abu Nuh), katanya: Yunus bin Abu Ishaq telah mengkhabarkan kepada kami, daripada Abu Bakr bin Abi Musa al-Asy’ari, daripada bapanya (Abu Musa al-Asy’ari R.A), katanya:

خَرَجَ أَبُو طَالِبٍ إِلَى الشَّام وَخرج مَعَه النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَشْيَاخٍ مِنْ قُرَيْشٍ فَلَمَّا أَشْرَفُوا عَلَى الرَّاهِبِ هَبَطُوا فَحَلُّوا رِحَالَهُمْ فَخَرَجَ إِلَيْهِمُ الرَّاهِبُ وَكَانُوا قَبْلَ ذَلِكَ يَمُرُّونَ بِهِ فَلَا يَخْرُجُ إِلَيْهِمْ قَالَ فَهُمْ يَحُلُّونَ رِحَالَهُمْ فَجَعَلَ يَتَخَلَّلُهُمُ الرَّاهِبُ حَتَّى جَاءَ فَأَخَذَ بِيَدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ هَذَا سَيِّدُ الْعَالَمِينَ هَذَا رسولُ ربِّ الْعَالِمِينَ يَبْعَثُهُ اللَّهُ رَحْمَةً لِلْعَالِمِينَ فَقَالَ لَهُ أَشْيَاخٌ مِنْ قُرَيْشٍ مَا عِلْمُكَ فَقَالَ إِنَّكُمْ حِينَ أَشْرَفْتُمْ مِنَ الْعَقَبَةِ لَمْ يَبْقَ شَجَرٌ وَلَا حَجَرٌ إِلَّا خَرَّ سَاجِدًا وَلَا يَسْجُدَانِ إِلَّا لِنَبِيٍّ وَإِنِّي أَعْرِفُهُ بِخَاتَمِ النُّبُوَّةِ أَسْفَلَ مِنْ غُضْرُوفِ كَتِفِهِ مِثْلَ التُّفَّاحَةِ ثُمَّ رَجَعَ فَصَنَعَ لَهُمْ طَعَامًا فَلَمَّا أَتَاهُمْ بِهِ وَكَانَ هُوَ فِي رِعْيَةِ الْإِبِلِ فَقَالَ أَرْسِلُوا إِلَيْهِ فَأَقْبَلَ وَعَلَيْهِ غَمَامَةٌ تُظِلُّهُ فَلَمَّا دَنَا مِنَ الْقَوْم وجدهم قد سَبَقُوهُ إِلَى فَيْء الشَّجَرَة فَلَمَّا جَلَسَ مَالَ فَيْءُ الشَّجَرَةِ عَلَيْهِ فَقَالَ انْظُرُوا إِلَى فَيْءِ الشَّجَرَةِ مَالَ عَلَيْهِ فَقَالَ أنْشدكُمْ بِاللَّه أَيُّكُمْ وَلِيُّهُ قَالُوا أَبُو طَالِبٍ فَلَمْ يَزَلْ يُنَاشِدُهُ حَتَّى رَدَّهُ أَبُو طَالِبٍ وَبَعَثَ مَعَهُ أَبُو بَكْرٍ بِلَالًا وَزَوَّدَهُ الرَّاهِبُ مِنَ الْكَعْكِ وَالزَّيْت

Maksudnya: Abu Talib berangkat ke Syam dan Nabi Muhammad SAW turut serta bersama beliau dalam rombongan yang terdiri daripada beberapa orang tua dari Quraisy. Ketika mereka sampai berhampiran tempat seorang rahib, mereka berhenti dan melepaskan kenderaan mereka. Rahib itu keluar menemui mereka, sedangkan sebelumnya, mereka sering melintasi tempatnya tetapi beliau tidak pernah keluar untuk bertemu mereka.

Ketika mereka sedang melepaskan kenderaan mereka, rahib itu datang kepada mereka dan terus memegang tangan Rasulullah SAW. Beliau berkata, “Inilah pemimpin seluruh alam. Inilah utusan Tuhan sekalian alam yang akan diutuskan oleh Allah sebagai rahmat bagi seluruh alam.” Orang-orang tua dari Quraisy bertanya kepadanya, “Bagaimana kamu tahu hal ini?”

Rahib itu menjawab, “Ketika kamu sampai di atas bukit tadi, tidak ada sebatang pokok atau batu pun melainkan ia sujud, dan mereka hanya sujud kepada seorang nabi. Aku juga mengenalinya melalui tanda kenabian di bawah bahunya, yang berbentuk seperti buah epal.”

Kemudian, rahib itu kembali dan menyediakan makanan untuk mereka. Apabila makanan itu dibawa kepada mereka, Nabi Muhammad SAW ketika itu sedang menjaga unta mereka. Rahib itu berkata, “Panggil baginda untuk datang ke sini.” Ketika baginda datang, terdapat awan yang melindungi baginda. Apabila baginda mendekati mereka, mereka mendapati bahawa mereka telah berada di bawah naungan pokok terlebih dahulu. Namun, apabila baginda duduk, bayang-bayang pokok itu beralih untuk menaungi baginda.

Rahib itu berkata, “Lihatlah bayang-bayang pokok itu beralih ke arahnya.” Rahib itu kemudian meminta kepada mereka, “Aku merayu kamu dengan nama Allah, siapakah penjaganya?” Mereka menjawab, “Abu Talib.” Rahib itu terus memohon sehingga Abu Talib bersetuju untuk menghantar baginda pulang. Abu Talib menghantar Abu Bakar bersama Bilal untuk menemani baginda, dan rahib itu membekalkan mereka dengan roti dan minyak.

Riwayat al-Tirmizi (3620), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (17/451), al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah (2/24), dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (2/615-616).

Keseluruhan sanad kisah ini berpusat pada ‘Abd al-Rahman bin Ghazwan (Qarad Abu Nuh), dan meskipun dia thiqah, dia adalah satu-satunya yang meriwayatkan riwayat yang bersanad ini dan tiada seorang pun yang menyertainya dalam meriwayatkannya.

Pendapat ulama’ berkenaan status hadith ini

  • Al-Tirmizi berkata: “Ini adalah hadith hasan gharib yang tidak kami kenal kecuali dari wajah ini.”
  • Al-Baihaqi berkata: “Abu al-‘Abbas berkata: [Muhammad bin Ya’qub], saya mendengar al-‘Abbas [bin Muhammad al-Duri], berkata: Tiada seorang pun di dunia yang meriwayatkan daripadanya selain Qarad,” (Lihat Dalail al-Nubuwwah, 2/26).
  • Al-Hakim berkata: “Ini adalah hadith sahih menurut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim namun mereka tidak meriwayatkannya.”
  • Al-Zahabi mengkritik status sahih yang diletakkan oleh al-Hakim dengan berkata: “Saya fikir ia adalah rekaan dan maudhu’, dan sebahagian daripadanya adalah batil,” Al-Zahabi memperincikan perkara-perkara yang batil ini dalam kitabnya Siyar A’lam al-Nubala’ (1/58).

Berdasarkan sanad hadith ini sebagaimana yang disebut oleh ulama’, ia diriwayatkan secara bersendirian dan kisah daripada hadith ini mengandungi beberapa perkara yang mungkar. Al-Zahabi berkata: “Qarad satu-satunya yang meriwayatkan, dan namanya adalah ‘Abd al-Rahman bin Ghazwan, seorang yang thiqah, dan al-Bukhari serta al-Nasa’i berhujah dengannya; dan orang ramai meriwayatkan daripada Qarad, dan al-Tirmizi menyatakan hadith ini hasan. Namun, ini adalah hadith yang sangat mungkar; dan di mana Abu Bakar? Dia berusia sepuluh tahun, kerana dia lebih muda dua setengah tahun daripada Rasulullah SAW; dan di mana Bilal pada masa ini? Kerana Abu Bakar tidak membelinya kecuali selepas kerasulan, dan dia belum dilahirkan pada masa itu!

Dan juga, jika ada awan menaungi Rasulullah SAW, bagaimana mungkin bayang-bayang pohon beralih ke arahnya? Kerana bayang-bayang awan menghilangkan bayang-bayang pohon yang dia duduki di bawahnya, dan kita tidak pernah melihat Nabi SAW mengingatkan Abu Talib tentang kata-kata rahib itu, dan Quraisy tidak pernah membicarakannya, serta orang tua-tua tersebut tidak pernah menceritakannya, meskipun mereka bersemangat untuk menceritakan perkara seperti itu. Jika ia benar-benar berlaku, pastinya akan terkenal di kalangan mereka dan akan tetap ada kesan kenabian pada dirinya SAW; dan jika itu benar, tidak mungkin beliau akan mengingkari datangnya wahyu pertama di Gua Hira dan datang kepada Khadijah dalam keadaan takut terhadap kewarasannya, dan tidak akan pergi ke puncak gunung untuk mencampakkan dirinya SAW.

Dan juga, jika ketakutan ini mempengaruhi Abu Talib dan dia menolaknya, bagaimana mungkin dia membiarkan Rasulullah SAW pergi ke Syam sebagai pedagang untuk Khadijah? Dalam hadith ini terdapat kata-kata yang tidak masuk akal, mirip dengan kata-kata para pencerita… (Lihat Tarikh al-Islam, 1/503-504)

Namun begitu, al-Zahabi tidak menolak sepenuhnya kisah ini, kerana dia mendahului hadith ini dengan berkata: “Perjalanannya bersama bapa saudaranya, jika benar.” Kemudian dia menyebut riwayat-riwayat mursal dari ahli sirah mengenai peristiwa tersebut, menunjukkan bahawa ia adalah peristiwa yang terkenal di kalangan mereka.

Ibn al-Qayyim berkata: Disebutkan di dalam Kitab al-Tirmizi dan lain-lainnya, bahawa Abu Talib juga mengutus Bilal bersama beliau. Tentu saja ini merupakan kesalahan yang amat jelas. Sebab kemungkinan pada masa itu Bilal belum lagi lahir. Kalaupun sudah lahir, tidak mungkin dia menyertai rombongan bersama Abu Talib atau pun Abu Bakar. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/17)

Al-Baihaqi pula berkata: “Adapun kisah ini, ia terkenal di kalangan ahli maghazi,” (Lihat Dalail al-Nubuwwah, 2/26).

Dr. Akram Dhiya’ al-Umari berkata: “Dan jiwa boleh berasa tenang dalam mengesahkan perjalanannya SAW bersama bapa saudaranya ke Busra, serta amaran rahib Buhaira kepada bapa saudaranya mengenai orang Yahudi dan Romawi, berdasarkan riwayat al-Tirmizi, serta berpegang kepada riwayat-riwayat lain yang lemah, seperti riwayat Ibn Ishaq daripada Abdullah bin Abi Bakar bin Muhammad bin ‘Amr bin Hazm al-Ansari, (w. 135 H), yang merupakan salah seorang tabi’in yang memfokuskan kepada sirah. Namun, sanad Ibn Ishaq ini adalah mursal dan lemah meskipun kebanyakan penulis bergantung pada riwayat ini dalam kisah Buhaira.

Begitu juga dengan riwayat Abu Mijlaz Lahik bin Hamid (w. 106 H) dengan sanad sahih tetapi mursal. Begitu juga mursal al-Zuhri, dan terdapat dua riwayat dari jalan al-Waqidi yang disebut oleh Ibn Sa’d dan Abu Nu’aim al-Isfahani. Dan riwayat-riwayat al-Waqidi dapat digunakan sebagai rujukan jika tidak ada perselisihan, meskipun riwayat-riwayatnya tidak boleh dijadikan hujah, bahkan tidak dianggap dalam memperkuatkan yang lemah menurut ulama hadith,” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, 1/106).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kisah pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan rahib Buhaira semasa baginda mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib, dalam perjalanan ke Syam, adalah satu peristiwa yang terkenal dalam Sirah Nabawiah yang mana Buhaira mengenali Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah melalui tanda-tanda kenabian dan memperingatkan Abu Talib mengenai bahaya yang mungkin dihadapi oleh baginda.

Walaupun kisah ini diriwayatkan dalam beberapa riwayat seperti riwayat al-Tirmizi dan al-Baihaqi, ulama hadith mempunyai pandangan berbeza mengenai status hadith ini. Ada yang menganggapnya sebagai hasan atau sahih, tetapi terdapat juga ulama seperti al-Zahabi yang mengkritik sebahagian daripada kisah ini, menyatakan bahawa terdapat beberapa perkara yang mungkar dan tidak masuk akal dalam riwayat tersebut yang mana terdapat elemen-elemen dalam kisah ini yang mungkin rekaan, seperti kehadiran Abu Bakar dan Bilal dalam peristiwa tersebut. Namun begitu, al-Zahabi tidak menolak sepenuhnya kisah ini, kerana dia mendahului hadith ini dengan berkata: “Perjalanannya bersama bapa saudaranya, jika benar.”

Walaupun demikian, kisah ini tetap menjadi sebahagian daripada kisah yang terkenal dalam kalangan ahli sirah, meskipun sanad dan matannya dianggap bermasalah  oleh sebahagian ulama. Namun begitu, meskipun kisah ini tidak sepenuhnya ditolak oleh ulama, terdapat banyak pertikaian mengenai status  riwayat tersebut, yang memerlukan untuk kita berhati-hati dalam menerimanya sebagai fakta sejarah yang sahih.

Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)