#7102: Program Perkhemahan dengan Pengisian Agama

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya sering melihat sebahagian parti politik sering menganjurkan program mukhayyam atau perkemahan yang diisi dengan pengajian agama pada setiap tahun. Adakah program begini ini sesuai menurut Islam, atau ia sebenarnya hanya doktrin yang menjurus ke arah taksub kepada sesebuah parti sebagaimana yang dilakukan Khawarij?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Apa sahaja bentuk dakwah dan juga didikan yang mendorong masyarakat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta meningkatkan pengetahuan terhadap ilmu agama, maka ia termasuk di antara sebaik-baik amal kebaikan serta jariah yang sewajarnya dipandang berat oleh seseorang Muslim. Allah SWT nyatakan di dalam firman-Nya:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًۭا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!’”

(Surah Fussilat: 33)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di berkata, ayat ini mengandungi gaya bahasa pertanyaan, dengan erti kata: Tidak ada seseorang yang lebih baik kata-katanya, tingkah lakunya juga keadaannya dari mereka yang menyeru kepada Allah.

Antara bentuk seruan kepada Allah SWT adalah; menanamkan kecintaan dalam hati masyarakat untuk menyembah-Nya, dengan cara memberikan penjelasan tentang pelbagai nikmat Allah, keluasan sifat pemurah-Nya, kesempurnaan rahmat-Nya, serta menyebut sifat-sifat kesempurnaan-Nya dan ciri-ciri keagungan-Nya.

Bentuk seruan lain juga adalah; anjuran untuk mengambil ilmu dan petunjuk dari al-Quran dan sunnah Rasul-Nya, dengan cara memberikan dorongan ke arah itu menerusi segala cara yang membawa kepadanya. Termasuk dalam hal ini, anjuran untuk berakhlak mulia, berbuat baik kepada semua makhluk, membalas orang yang berbuat buruk dengan kebaikan, menekankan silaturahim, dan berbakti kepada kedua orang tua.

Termasuk dalam konteks ayat ini, memberi nasihat kepada masyarakat umum pada waktu-waktu tertentu, saat terjadi peristiwa besar dan saat menghadapi musibah, dengan menyesuaikan nasihat tersebut dengan situasi yang sedang dihadapi. Masih banyak lagi contoh-contoh yang tidak terkira banyaknya dalam mengajak manusia ke arah kebaikan dan menegah mereka dari segala bentuk keburukan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 749)

Memahami nas al-Quran di atas, setiap Muslim berperanan untuk memilih jalan dakwah kepada Allah SWT dengan pelbagai cara yang bersesuaian dengan keadaan orang yang ingin didakwah, dengan syarat cara tersebut hukumnya harus di sisi syara‘. Tidaklah menjadi syarat bahawa cara tersebut mesti telah digunakan oleh generasi terdahulu dalam dakwah mereka kepada Allah; kerana cara berdakwah ini berbeza-beza dan sentiasa berubah-ubah mengikut tempat dan masa.

Uslub atau cara berdakwah ini pada hakikatnya memang dibincangkan oleh ulama Islam, sama ada ia perlu berpandukan kepada nas-nas syara‘, atau ia tertakluk kepada ijtihad para ilmuwan semasa. Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata dalam sebuah sesi yang diberikan nama al-Fatawa al-Thulathiyyah, bahawa uslub dakwah itu bukan bersifat tauqifi (berpandukan perintah syara‘ sahaja). Meskipun begitu, dakwah tidak boleh dilakukan dengan sesuatu yang haram.

Beliau juga memperakui, memang tidak syak lagi bahawa dakwah kepada Allah SWT ini merupakan sebahagian dari ibadah, sebagaimana perintah Allah SWT dalam firman-Nya:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh  hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-Quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menytakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)

Jika seseorang mampu memberikan nasihat melalui cara tersebut, tidak diragukan lagi bahawa ini adalah cara yang baik. Jika dia ingin menambah cara lain yang dibenarkan oleh Allah, tidak ada masalah dengan itu, tetapi dengan syarat bahawa cara tersebut tidak mengandungi perkara yang haram. (Lihat Durus al-Syeikh al-‘Uthaimin, 11/121; al-Sahwah al-Islamiyyah, hlm. 81-83)

Oleh yang demikian, tidak menjadi masalah sekiranya mana-mana pihak untuk mengadakan sebarang program, seperti mukhayyam yang diisi dengan pendekatan agama dan kerohanian. Kita seharusnya sentiasa bersangka baik, terutamanya apabila tujuan dari penganjuran program seperti ini adalah untuk memperkenalkan masyarakat tentang Islam, kekuasaan Tuhan dalam penciptaan-Nya, serta mewujudkan kerehatan jasmani serta rohani apabila dikelilingi alam semula jadi.

Imam al-Nawawi pernah menukilkan sebuah kalam yang dinisbahkan kepada Imam al-Syafi‘i, katanya: “Sesiapa yang ingin agar Allah memberinya kebaikan, hendaklah dia berbaik sangka terhadap orang lain.” (Lihat al-Majmu‘, 1/31)

Adapun pernyataan bahawa tindakan itu merupakan perbuatan Khawarij, ini tidak tepat kerana Khawarij melakukan demikian dengan niat untuk menjauhi masyarakat pada zaman ‘Ali bin Abi Talib R.A kerana mereka beranggapan bahawa para sahabat R.Anhum serta umat Islam umumnya adalah zalim, dan mereka berakhir dengan mengkafirkan serta memerangi mereka. Imam Ibn Kathir menceritakan berkenaan ini dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (7/285): “Kaum Khawarij berkumpul di rumah Abdullah bin Wahb al-Rasibi – salah seorang pemuka Khawarij yang meninggal pada tahun 658H –, lalu dia menyampaikan khutbah yang penuh makna, yang membuat mereka zuhud terhadap dunia ini dan lebih mengutamakan akhirat serta Syurga. Dia juga mendorong mereka untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Kemudian dia berkata: ‘Mari kita keluar wahai saudara-saudaraku dari kampung ini yang penduduknya zalim, menuju ke salah satu daerah di pergunungan atau ke salah satu bandar ini, untuk menentang hukum-hukum yang zalim ini’.”

Sekadar makluman kami, program mukhayyam atau perkhemahan yang sarat dengan pengajian Islam serta tarbiah diri tidak akan diakhiri dengan unsur kebencian sesama masyarakat setempat, apatah lagi bermusuhan dengan masyarakat Islam lain yang hanya berbeza pegangan politik semata-mata. Akan tetapi, sekiranya memang terdapat bibit-bibit kebencian yang cuba ditanam dalam diri setiap peserta program tersebut, dengan niat agar kelak mereka keluar sebagai pentaksub satu-satu parti khusus dalam politik, sungguh perbuatan tersebut amatlah tidak sepatutnya berlaku dan bersalahan dengan hukum syara‘.

Ingatlah bahawa tidak ada yang membezakan mana-mana fahaman politik atau kecenderungan ideologi melainkan ketakwaan setiap pengikutnya kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا أَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ، إِلَّا بِالتَّقْوَى

Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.”

Riwayat Ahmad (23489)

Kami mengingatkan kepada umat Islam di Malaysia khususnya agar sentiasa berusaha untuk mengecapi kesatuan hati dan satu suara agar agama yang suci ini akan kekal utuh di negara merdeka ini, dengan memimpin masyarakatnya ke arah kemajuan dan keharmonian sejagat. Tidak usah diwujudkan percikan api kebencian sesama sendiri, sebaliknya tanamkanlah rasa hormat-menghormati sesama kita. Semoga dengannya, Islam akan semakin mudah diterima, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai ikon negara Islam yang terbaik di mata dunia.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

Wallahu a‘lam