#7104: Status Jamak Qasar: Musafir Berlainan Negeri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dari Johor Bahru, pada ahad tengahari saya mulakan perjalanan ke Muar (sampai malam) , sampai di Muar, saya tinggal selama 2 hari di sana. Pada hari selasa, saya bergerak ke Negeri Sembilan (tidak dirancang) dan tinggal di sana sehingga jumaat pagi. Pada jumaat petang, saya musafir balik ke Johor. Ini kerana saya keluar bekerja tidak menentu bergantung kepada arahan kerja yang diberi. Kadangkala lebih dari 81km dan adakalanya kurang 81km. Soalan saya, bolehkah saya jamak qasar selama mana berada di Muar dan di Negeri Sembilan atau tidak boleh disebabkan kita sudah tahu ingin keluar bekerja selama tempoh itu. (dari ahad hingga jumaat).

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Hendaklah kita ketahui bahawa solat qasar merupakan anugerah Allah SWT kepada kita, khasnya bagi yang musafir. Benarlah hadith sebagaimana riwayat Saidina Umar bin al-Khattab R.A, katanya: Sabda Nabi SAW:

 صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya: “Ianya (solat Qasar) adalah sedekah dari Allah untuk kamu semua, terimalah sedekah daripada Allah tersebut.”

Riwayat Muslim (686)

Hadis ini menunjukkan solat secara Qasar disyariatkan ketika dalam permusafiran sebagai satu pemberian kasih-sayang dan memberi keringanan kepada manusia. Namun ia bukanlah satu kemestian atau wajib dilakukan oleh orang yang bermusafir kerana kesemua para ulama telah bersepakat, pihak yang dikurniakan sedekah tidak menjadi kewajipan ke atasnya menerima sedekah yang diberikan kepadanya itu. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn al-Battal, 2/10)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk anda melakukan jamak qasar sewaktu dalam perjalanan ke Muar sehinggalah pulang semula ke Johor Bahru. Ini kerana anda menepati syarat jamak qasar seperti melebihi 2 marhalah (anggaran 81 km), musafir dengan tujuan yang harus, tidak menetap di suatu tempat melebihi 4 hari dan seterusnya. Oleh itu, sekiranya melebihi 2 marhalah maka boleh untuk anda melakukan jamak qasar, namun jika tidak melebihi 2 marhalah maka anda perlu solat secara penuh seperti biasa.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)