#7107: Tangan yang Ada Jarum: Wudhuk atau Tayammum?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan, jika seseorang itu masuk hospital dan ada jarum ditangan yang dilekatkan. Macam mana cara ambil air sembahyang. Adakah perlu tayamum atau ambil seperti biasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

Rukun Tayammum

Terdapat 3 rukun tayammum:

  • Tempat niat di dalam hati. Oleh itu seseorang hendaklah berniat dalam hatinya perbuatan tayammum tersebut, malah sunat melafazkannya dengan kata, sahaja aku mengharuskan solat, solat fardhu, solat sunat dan seumpamanya yang hendak dilakukannya. Apabila seseorang bertayammum dengan niat mengharuskan yang fardhu, dia boleh melakukan beberapa amalan sunat yang lain bersamanya.
  • Menyapukan debu tanah ke muka dan kedua-dua belah tangan hingga siku dengan dua kali tepukan, yakni menepukkan dua tangan ke atas debu tanah yang suci dan menyapukannya ke seluruh muka. Kemudian menepukkannya lagi ke atas debu tanah tersebut dan menyapukannya pula pada kedua-dua belah tangannya hingga siku dengan cara tapak tangan kiri menyapu tangan kanan dan tapak tangan kanan menyapu tangan kiri.
  • Tertib menurut cara yang telah disebutkan. Ini kerana tayammum menggantikan wudhu’ yang tertib adalah antara rukunnya.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas,  kami nyatakan, anda hendaklah mengambil wudhuk seperti biasa  kecuali di tempat yang ada jarum dan pelekat tersebut. Oleh kerana air tidak mengenai tangan yang ada jarum itu, maka ia perlu diganti dengan tayammum mengikut mazhab Syafi’i. Pendapat yang kedua menyatakan anda berhak tayammum sahaja.

Maka, dalam situasi saudara kami cenderung kepada yang pertama iaitu wudhuk terlebih dahulu dan hanya menggantikan tempat yang tidak dikenakan air dengan tayammum (menyapu debu tanah ke muka dan kedua tangan hingga ke siku. Manakala, di tangan yang ada jarum, hanya perlu meratakan debu tanah di atas pelekat jarum sahaja tanpa membukanya).

Akan tetapi, jika anda berasa  sukar, kita boleh bertaqlid kepada mazhab Hanafi dan Maliki dengan hanya tayammum sahaja dan tidak wajib menggabungkan kedua-duanya. Inilah juga yang saya nyatakan tadi sebagai pendapat yang kedua.

 Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun :16)

Al-Baghawi berkata: Ayat ini merupakan ayat nasakh bagi ayat ke-102 surah Ali ‘Imran yang dahulunya syadid dalam melakukan ibadah dan juga taat kepada perintah Allah, maka ayat ini diturunkan sebagai keringanan kepada umat Islam supaya beribadah kepada-Nya sesuai dengan kemampuan mereka. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 8/144)

Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan (1/868), bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendalah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.

Riwayat al-Bukhari (7288)

Akhir kalam, semoga Allah mengurniakan kesembuhan dan ketabahan buat saudari dalam melayari episod kehidupan ini.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan kita menjadi hamba-hamba-Nya yang soleh yang sentiasa mematuhi titah-perintah-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahfi: 10)