#7108: Umat Manusia Hanya Dua Jantina, Tiada yang Ketiga

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sebenarnya umat manusia mempunyai 3 jantina: lelaki, perempuan dan juga khunsa?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.”

(Surah al-Nisa’: 1)

Imam al-Qurtubi menafsirkan, Allah SWT membatasi keturunan Nabi Adam A.S dan Hawa kepada dua jantina (lelaki dan perempuan). Maka, ini menunjukkan bahawa khunsa bukanlah jantina ketiga yang berbeza, tetapi pada hakikatnya mereka kembali kepada salah satu daripada dua jantina tersebut. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/2)

Di dalam ayat lain, semasa Allah SWT mengkhabarkan kepada kita perihal hari Akhirat kelak, hanya dua jantina sahaja yang disebutkan dalam zahir firman-Nya, tanpa meletakkan satu kategori jantina ketiga yang khusus bagi golongan khunsa. Allah SWT berfirman:

لِّيُدْخِلَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا وَيُكَفِّرَ عَنْهُمْ سَيِّـَٔاتِهِمْ ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عِندَ ٱللَّهِ فَوْزًا عَظِيمًۭا (٥) وَيُعَذِّبَ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ وَٱلْمُنَـٰفِقَـٰتِ وَٱلْمُشْرِكِينَ وَٱلْمُشْرِكَـٰتِ ٱلظَّآنِّينَ بِٱللَّهِ ظَنَّ ٱلسَّوْءِ ۚ عَلَيْهِمْ دَآئِرَةُ ٱلسَّوْءِ ۖ وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ وَلَعَنَهُمْ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَهَنَّمَ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًۭا (٦)

Maksudnya: “(Allah melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan – ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka). (5) Dan supaya Ia menyeksa orang-orang munafik – lelaki dan perempuan, dan orang-orang musyrik – lelaki dan perempuan, yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa Ia akan mengecewakan RasulNya). Atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam; sedang neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (6)”

(Surah al-Fath: 5-6)

Zahir ayat ini, dapat kita teliti bahawa orang beriman, orang yang kufur dan golongan munafik, kesemua mereka ini hanya disifatkan dengan dua jantina sahaja tanpa dikhususkan apa-apa jantina yang ketiga. Kami tekankan di sini, kesilapan yang berlaku adalah apabila kita mendakwa wujudnya jantina yang ketiga. Adapun perbincangan Islam berkenaan golongan khunsa, perkara ini sememangnya thabit, malahan banyak diulas oleh para fuqaha Islam.

Oleh yang demikian, pendirian yang kami bawakan ini bukanlah bertujuan untuk menafikan kewujudan golongan khunsa, sebaliknya ia bertujuan untuk menjelaskan kepada masyarakat bahawa khunsa ini bukanlah jantina ketiga. Mereka ini adalah satu golongan yang mempunyai ciri-ciri dari kedua-dua jantina; lelaki dan perempuan. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (5/127) menjelaskan, golongan khunsa ini terbahagi kepada dua:

Pertama: Khunsa yang tidak musykil, merujuk kepada seseorang yang lebih cenderung kepada sifat kelelakian atau sifat kewanitaan. Sebagai contoh, jika dia berkahwin dan mempunyai anak, maka dia jelas seorang lelaki, atau jika dia berkahwin dan hamil, maka dia jelas seorang wanita.

Kedua: Khunsa yang musykil, adalah seseorang yang jantinanya tidak jelas, sama ada lelaki atau wanita. Para ulama fiqh menyebut tanda-tanda pada khunsa yang boleh membantu untuk menentukan sama ada dia lebih cenderung kepada sifat kelelakian atau kewanitaan, meskipun tanda itu hanya akan terzahir selepas mencapai usia baligh. Sekiranya dia baligh dengan cara air mani, maka dia seorang lelaki. Manakala jika dia baligh dengan cara didatangi darah haid, maka dia jelas seorang wanita.

Pada era kemajuan dunia perubatan ini, sangat sedikit kebarangkalian untuk para ilmuwan perubatan untuk tidak dapat menentukan kecenderungan jantina seseorang khunsa itu. Meskipun begitu, sekiranya masih ada yang tidak dapat dipastikan kecenderungan jantina mereka, maka inilah yang disebutkan sebagai khunsa musykil.

Melihat tafsiran para ulama, mereka ada mengeluarkan kritikan terhadap masyarakat awam yang menafikan kewujudan khunsa ini. Imam al-Qurtubi menukilkan kalam Imam Abu Bakr bin al-‘Arabi, bahawa sebahagian orang awam menafikan kewujudan khunsa kerana mereka berpendapat bahawa Allah SWT telah membahagikan jantina makhluk kepada lelaki dan perempuan (atau jantan dan betina). Beliau katakan: Ini adalah kejahilan terhadap bahasa, kelemahan dalam memahami kefasihan bahasa, dan kurangnya pengetahuan mengenai keluasan kuasa Allah.

Adapun kuasa Allah SWT, Dia Maha Luas Pengetahuan-Nya. Zahir al-Quran tidak menafikan kewujudan khunsa; kerana Allah SWT berfirman:

لِّلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۚ

Maksudnya: “Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya.”

(Surah al-Syu‘ara’: 49)

Ayat-ayat yang menceritakan perihal lelaki dan wanita tanpa menyebutkan golongan khunsa, ini tidak bermakna penafian terhadap kewujudan mereka. Ia hanyalah perkhabaran tentang majoriti makhluk yang wujud, dan tidak disebut sesuatu yang jarang atau ganjil; kerana ia termasuk dalam umum permulaan ayat, iaitu “Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi.” Realiti yang berlaku sekarang juga membuktikan bahawa khunsa itu wujud. (Lihat  al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 16/52)

Jawatankuasa Fatwa dari Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah juga ada mengeluarkan sebuah kajian fatwa berkenaan perspektif syari‘ah Islam terhadap golongan khunsa ini. Syari‘ah Islam memandang mereka ini dengan pandangan yang selari dengan keimanan kepada qadha’ dan qadar, serta keyakinan bahawa semua ciptaan Allah SWT itu di atas kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Oleh itu, tidak boleh merendahkan seseorang kerana sifat yang Allah SWT ciptakan dan pilih untuk ada pada dirinya, sebagaimana juga tidak dibenarkan membezakan seseorang dengan yang lain berdasarkan jantina, warna kulit, keturunan, atau asal usul; kerana semua manusia adalah sama di hadapan Allah. Firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Begitu juga, sesiapa yang diuji dengan kekurangan atau kecacatan yang sedikit berbeza dari penciptaan manusia yang sempurna, syari‘ah Islam memberikan kesempurnaan hak sebagaimana yang diberikan kepada semua manusia. Syari‘ah juga mengangkat kedudukannya berdasarkan sumbangannya kepada agama dan umatnya, serta berdasarkan kedudukannya di sisi Tuhannya.[1]

Khunsa itu sendiri telah dikenal pasti dalam sektor perubatan sebagai satu masalah kecelaruan kromosom, dan ia dikenali sebagai hermaphrodite atau disorders of sex development (DSD). Kata seorang Pakar Pediatrik dan Endokrin Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Arini Nuran Md Idris, ada ketika DSD berlaku ekoran bayi memiliki corak kromosom berbeza daripada XX dan XY seperti 47XXY, 45X, 45X/46XY, 46XX atau 46XY yang akan menyebabkan pembentukan kelenjar seks tidak normal.[2]

Kesimpulan

Kami simpulkan di sini bahawa jantina dalam segala penciptaan itu hanya ada dua, sama ada lelaki atau perempuan, jantan atau betina. Benarlah firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “Dia (Allah SWT) mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Surah al-Syura: 49)

Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat di atas menyatakan, bahawa didatangkan kepada manusia dalam empat keadaan. Ada di antaranya mendapat anak perempuan, dan ada yang mendapat anak lelaki. Ada pula daripadanya yang mendapat kedua-duanya, dan ada pula daripadanya yang tidak mendapat anak. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT berhak menentukannya agar manusia beriman dan bergantung harap sepenuhnya kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/198)

Syeikh al-Maraghi pula menjelaskan: “Dia (yakni Allah SWT) menciptakan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dia mampu menganugerahkan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menganugerahkan anak-anak lelaki kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki. Dia mampu menganugerahkan anak lelaki dan perempuan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki serta mampu tidak mengurniakan keturunan kepada sesiapa sahaja yang dikehendak-Nya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/705)

Dalam pada itu, kami tidaklah menafikan kewujudan sebilangan kecil individu yang diuji oleh Allah SWT sebagai khunsa. Ia diklasifikan sebagai satu masalah kesihatan yang melibatkan kromosom. Kita tidak menjadikan masalah kesihatan ini sebagai satu jantina baharu bagi setiap makhluk bernyawa, tetapi kita dikurniakan akal fikiran dan ilmu untuk mengenalpasti kecenderungan golongan yang diuji ini sama ada sifat fizikal mereka itu lebih menjurus ke arah kelelakian atau kewanitaan.

Semoga Allah SWT memberikan ketabahan hati kepada individu yang diuji dengan masalah DSD ini. Tetapkanlah hati kita untuk berdoa kepada Allah SWT serta mensyukuri segala apa yang dikurniakan kepada kita, kerana tidak ada yang membezakan di antara setiap makhluk di muka bumi ini melainkan ketaqwaan kepada-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/research-fatwas/2745/%D9%86%D8%B8%D8%B1%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%B4%D8%B1%D9%8A%D8%B9%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%A5%D8%B3%D9%84%D8%A7%D9%85%D9%8A%D8%A9-%D8%A5%D9%84%D9%89-%D8%A7%D9%84%D8%AC%D9%86%D8%B3-%D8%A7%D9%84%D8%AB%D8%A7%D9%84%D8%AB#:~:text=%D8%AA%D9%86%D8%B8%D8%B1%20%D8%A7%D9%84%D8%B4%D8%B1%D9%8A%D8%B9%D8%A9%20%D8%A7%D9%84%D8%A5%D8%B3%D9%84%D8%A7%D9%85%D9%8A%D8%A9%20%D8%A5%D9%84%D9%89%20%D9%85%D8%A7,%D9%86%D8%B3%D8%A8%D8%9B%20%D9%81%D8%A7%D9%84%D9%86%D8%A7%D8%B3%20%D8%A8%D9%8A%D9%86%20%D9%8A%D8%AF%D9%8A%20%D8%A7%D9%84%D9%84%D9%87. Diakses pada 4 Sept 2024.

[2] Lihat https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/kesihatan-mental-lain/pondan-bukan-khunsa/. Diakses pada 4 Sept 2024.