#7109: Memegang Kemaluan Isteri: Adakah Perlu Mandi Wajib?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum pegang kemaluan isteri bermain di luar tanpa tidak memasukkan zakar suami ke faraj isteri perlu mandi wajib ataupun tidak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (4/84). Begitu juga diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.”

(Surah al-Baqarah: 223)

Ayat di atas bermaksud, Isteri-isteri kamu adalah tempat kamu bercucuk tanam, melahirkan anak-anak untuk kamu; seperti tanah yang mengeluarkan buah-buahan. Maka datangilah tempat bercucuk tanam itu — iaitu faraj — dari mana-mana arah yang kamu suka dan bagaimana cara pun yang kamu suka asalkan di faraj. Dan sediakanlah untuk diri kamu dengan melakukan kebaikan, termasuklah seorang lelaki menggauli isterinya dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan berharap mendapatkan zuriat yang soleh. Bertakwalah kepada Allah dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, termasuklah apa yang telah disyariatkan kepada kamu mengenai wanita. Ketahuilah bahawa kamu akan menemui-Nya pada hari kiamat, berdiri di hadapan-Nya, dan Dia akan membalas kamu berdasarkan amalan-amalan kamu. Dan berilah berita gembira — wahai Nabi — kepada orang-orang beriman dengan apa yang menggembirakan mereka ketika bertemu Tuhan mereka, iaitu nikmat yang kekal dan melihat wajah-Nya yang mulia. (Lihat al-Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 35).

Perkara yang mewajibkan mandi wajib

Terdapat enam perkara yang mewajibkan mandi:

  • Memasukkan hasyafah ke dalam faraj (persetubuhan).
  • Keluarnya air mani.
  • Haid (Darah yang terbit dari rahim perempuan).
  • Nifas (Darah yang keluar dari seorang wanita ketika melahirkan anak).
  • Wiladah (Melahirkan anak).
  • Meninggal dunia. (Lihat Safinah al-Naja, hlm. 20)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan jimak merupakan salah satu sebab yang diwajibkan bagi kedua pasangan untuk mandi wajib. Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إذَا الْتَقَى الْخِتَانَانِ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ وَإِنْ لَمْ يُنْزِلْ

Maksudnya: “Apabila dua kemaluan (zakar dan faraj) bertemu, maka wajib mandi walaupun tidak inzal (keluar air mani)”

Riwayat Muslim (105)

Maka, dalam isu anda memegang kemaluan isteri atau seumpamanya, tidak perlu untuk mandi wajib melainkan keluarnya air mani.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”