#711: Menyanyi ketika Buang Air dalam Tandas

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menyanyi dalam tandas ketika buang air besar? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya:Dan orang yang terdahulu — yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada orang Muhajirin dan Ansar, dan orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 100)

Lafaz “وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ” bermaksud mereka yang meneladani orang-orang yang pertama-tama memeluk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka ialah generasi setelah para sahabat dan generasi setelahnya lagi sehinggalah hari kiamat, jika meneladani mereka dengan baik dalam perbuatan dan ucapan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 259)

Bercakap-cakap ketika buang air

Pada asasnya bercakap-cakap ketika buang air dalam tandas termasuk dalam perkara yang dilarang dan menyalahi adab. Dalam al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan, bercakap-cakap dan seumpamanya ketika buang air dihukumkan sebagai makruh. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar R.Anhuma:

أَنَّ رَجُلاً مَرَّ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبُولُ فَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْه

Maksudnya:Seorang lelaki lalu ketika Rasulullah SAW buang air kecil. Dia memberi salam tetapi Baginda tidak menjawabnya.”

Riwayat Muslim (370)

Begitu juga hadith daripada Abu Sa‘id R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَخْرُجْ الرَّجُلاَنِ يَضْرِبَانِ الْغَائِطَ كَاشِفَيْنِ عَنْ عَوْرَتِهِمَا يَتَحَدَّثَانِ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَمْقُتُ عَلَى ذَلِكَ

Maksudnya:Janganlah keluar dua orang menuju ke tempat buang air dalam keadaan aurat terbuka sambil bercakap-cakap ketika buang air, kerana Allah SWT murka terhadap perbuatan tersebut.”

Riwayat Abu Dawud (15)

Bukan itu sahaja, diqiaskan perbuatan makan, minum, perlakuan yang sia-sia dan seumpamanya — termasuklah menyanyi — ketika membuang air sama seperti tegahan tersebut. Selain daripada itu, Sa‘id Ba‘isyin menyebutkan, tidak boleh bercakap-cakap ketika sedang membuang air (yakni qadha’ hajat) sekalipun percakapannya itu bukanlah berbentuk zikir kerana terdapat larangan mengenainya. Begitulah juga halnya, tidak dibolehkan untuk bercakap-cakap ketika tidak membuang air selagi mana masih berada di dalam tandas sekalipun tujuan masuknya ke dalam tandas bukan untuk membuang air. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/51; Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 121)

Di samping itu, Ibn Hajar al-Haitami menyatakan, makruh bercakap-cakap melainkan adanya keperluan semasa keluarnya air kencing atau najis — yakni ketika qadha’ hajat — sekalipun percakapan itu bukan berbentuk zikir atau menjawab salam kerana terdapatnya larangan daripada bercakap-cakap ketika buang air. Jika seseorang itu bersin, maka dia hendaklah mengucapkan tahmid — yakni ‘alhamdulillah’ — dalam hatinya sahaja sebagaimana orang yang sedang berjimak. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu bercakap-cakap tetapi tidak didengari oleh dirinya, hukumnya tidak makruh. Begitu juga sekiranya seseorang itu takut berlakunya apa-apa perkara yang tidak diingini jika tidak bercakap, hukumnya juga tidak makruh. Manakala jika bukan semasa keluarnya sesuatu — yakni sama ada air kencing atau najis — maka dihukumkan makruh pada perkataan berupa zikir dan al-Quran sahaja. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/170)

Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa makruh bercakap-cakap ketika qadha’ hajat (buang air) menurut kesepakatan para ulama. Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, semua jenis percakapan ada sama dari segi kemakruhan. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian — yakni dibolehkan bercakap-cakap ketika qadha’ hajat — pada situasi-situasi yang ada keperluan seperti ternampak orang buta jatuh ke dalam perigi, nampak ular dan seumpamanya. Maka ketika itu, tidak lagi makruh untuk bercakap-cakap dalam situasi-situasi tersebut, bahkan diwajibkan pada kebanyakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/88)

Selain itu, Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin juga pernah ditanya berkenaan hukum bercakap-cakap ketika berada di dalam bilik air sebelum qadha’ hajat (buang air). Beliau menjawab, hal itu tidak mengapa, khususnya ketika adanya keperluan bagi perkara tersebut kerana di sana tidak ada larangan yang jelas berkenaan perkara tersebut, melainkan apabila dua orang sedang buang air dan duduk bersebelahan antara satu sama lain sambil berbual-bual. Inilah yang dilarang. Adapun semata-mata percakapan di dalam tempat buang air, maka tidak ada sebarang larangan mengenainya. (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 11/171)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa perbuatan bercakap-cakap tanpa sebarang keperluan, termasuklah menyanyi ketika buang air sama ada di dalam tandas atau selainnya adalah makruh. Hal ini kerana perbuatan tersebut menyalahi adab-adab ketika buang air serta terdapat nas yang melarangnya. Apatah lagi bercakap-cakap dalam tandas yang merupakan tempat yang dianggap kotor dan sunyi daripada zikrullah. Justeru, kita sepatutnya diam dan hanya bercakap sekiranya ada keperluan, serta bersegera untuk keluar darinya setelah selesai urusan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H