#7121: Memberi Salam di Bahagian Awal Kawasan Perkuburan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah memadai memberi salam kepada orang yang telah meninggal dunia di bahagian awal kawasan perkuburan sahaja?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ يَمُرُّ عَلَى قَبْرِ أَخِيهِ المُؤْمِنِ فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا عَرَفَهُ، وَرَدَّ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Tidak ada seorang pun yang melintasi kubur saudaranya yang beriman, kemudian dia memberi salam, melainkan saudaranya  tersebut akan mengetahui perkara tersebut lalu menjawabnya.”

Riwayat al-Syaukani di dalam Nail al-Autar (3/305) dan Ibn Abd al-Barr di dalam al-Istizkar (1/185)

Ibn Qayyim menyebutkan: Hadith ini dan yang seumpamanya daripada hadith-hadith dan athar menunjukkan bahawa apabila seorang penziarah datang, orang yang diziarahi mengetahuinya, mendengar kata-katanya, merasa gembira dengan kehadirannya, dan membalasnya. Ini bersifat umum bagi para syuhada atau selain mereka, dan tiada waktu tertentu yang ditetapkan untuk perkara tersebut. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 9/484)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara adab ketika menziarahi kubur adalah dengan memberi salam kepada penghuni kubur dan mendoakan kesejahteraan dan keampunan kepada mereka. Galakan ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Sulaiman bin Buraidah daripada bapanya, katanya:

كانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يُعَلِّمُهُمْ إِذَا خَرَجُوا إِلَى المَقَابِرِ أَنْ يَقُولُوا: السَّلاَمُ عَلَى أهْلِ الدِّيَارِ: مِنَ المُؤْمنِيْنَ وَالمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ، نَسْأَلُ الله لَنَا وَلَكُمُ العَافِيةَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengajarkan kepada mereka, apabila mereka keluar untuk menziarahi kubur untuk mengucapkan: ‘Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kampung (kubur), daripada orang-orang Mukmin dan Muslim. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan mengikuti kamu. Kami memohon kepada Allah kesejahteraan bagi kami dan juga kamu.’”

Riwayat Muslim (975)

Begitu juga riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

مَرَّ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِقُبُورِ الـمَدِيْنةِ، فَأَقْبلَ عَلَيْهِمْ بِوَجْهِهِ فَقَالَ: السَّلاَمُ علَيْكُمْ يَا أهْلَ القُبُورِ، يَغْفِرُ اللهُ لَنا وَلَكُمْ، أنْتُم سَلَفُنَا، وَنَحْنُ بِالأَثَرِ

Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW melewati perkuburan Madinah, maka Baginda memalingkan mukanya ke arah mereka (kubur tersebut) lalu mengucapkan: ‘Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni kubur. Semoga Allah mengampuni kami dan juga kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan menyusul.”

Riwayat al-Tirmizi (1393)

Hadith ini menunjukkan bahawa memberi salam kepada mereka adalah seperti memberi salam kepada orang yang masih hidup, dan bahawa mereka mendengar salam tersebut. (Lihat Syarh al-Masabih, oleh Ibn Malik, 2/389)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan kedua hadith ini, beliau menyebutkan, kedua-dua hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakan untuk menziarahi kubur bagi tujuan mendoakan orang yang telah meninggal dunia, memohon keampunan buat mereka. Begitu juga bagi mengambil iktibar dan pengajaran dengan ziarah tersebut.

Hadith ini juga digalakan (sunat) untuk dibaca ketika menziarahi kubur kerana ia merupakan doa Nabi SAW kepada ahli Baqi‘ dan doa yang diajarkan oleh Baginda kepada Aisyah R.Anha. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/273-274).

Berkaitan isu yang diajukan, adalah memadai bagi  seseorang yang menziarahi kubur memberi salam kepada orang yang telah meninggal dunia di bahagian awal kawasan perkuburan sekali sahaja. Pandangan ini juga disebutkan oleh Syeikh Ibn Baz di mana beliau menyatakan: Itu sudah memadai dan dianggap sebagai satu ziarah, walaupun kubur-kubur tersebut berjauhan. Jika dia menziarahi dari semua arah, tidak mengapa. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi‘ah, 13/335, Majallah Buhus al-Islamiyyah, 75/74 )

Justeru, kami nyatakan bahawa tidak disyaratkan bagi seseorang yang menziarahi kubur untuk memberi salam kepada setiap penghuni kubur secara individu. Adalah memadai jika dia memberikan salam di awal kawasan perkuburan, dan ini sudah dianggap sebagai satu amalan ziarah yang sahih. Ini selaras dengan amalan yang telah diterangkan, di mana memberikan salam di kawasan perkuburan dianggap sebagai menghormati dan mendoakan penghuni kubur secara umum, seperti yang disarankan dalam hadith Rasulullah SAW. Dengan berbuat demikian, seseorang telah memenuhi sunnah dan mendapatkan pahala yang dijanjikan tanpa perlu memberi salam kepada setiap kubur secara khusus.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Wallahu‘alam