#7127: Memakan Makanan yang Mengandungi Karagenan (Carrageenan)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah produk makanan yang mengandungi carrageenan halal dan harus untuk dimakan? Ini kerana saya pernah terbaca bahawa carrageenan tidak bagus atau memberi mudarat kepada kesihatan. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Definisi dan Pengenalan Ringkas Karagenan (Carrageenan)

Seterusnya, kami terangkan secara ringkas berkenaan karagenan terlebih dahulu. Karagenan ialah bahan tambahan makanan yang biasa diekstrak daripada rumpai laut merah. Pengilang sering menggunakannya sebagai agen pemekat. Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) telah meluluskan penggunaan bahan tambahan ini, tetapi kebimbangan mengenai keselamatannya masih ada.

Bentuk karagenan yang berbeza mempunyai kegunaan dan potensi risiko yang berbeza. karagenan gred makanan diekstrak daripada rumpai laut merah dan diproses dengan bahan alkali. Apabila karagenan diproses dengan asid, ia menghasilkan bahan yang dipanggil karagenan terdegradasi, atau poligenan, yang memberi risiko kesihatan yang ketara. Poligenan adalah bahan yang menyebabkan keradangan. Penyelidik sering menggunakannya untuk menguji ubat anti-radang baru di makmal. Poligenan tidak diluluskan sebagai bahan tambahan makanan.

Karagenan terdegradasi, atau poligenan, tidak selamat untuk dimakan. Penyelidikan pada haiwan menunjukkan bahawa ia boleh menyebabkan tumor dan ulser pada usus, dan mungkin juga mencetuskan kanser kolon. Oleh kerana bahaya yang mungkin wujud, kajian mengenai kesan potensinya terhadap manusia adalah terhad. Penemuan seperti ini telah menyebabkan Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser menyenaraikan poligenan sebagai karsinogen[1] manusia yang mungkin. Ini bermakna agensi tersebut telah menilai bukti bahawa poligenan boleh menyebabkan kanser pada haiwan dan menyimpulkan bahawa ia mungkin mempunyai kesan yang sama pada manusia.

Beberapa saintis bimbang bahawa karagenan gred makanan juga berbahaya. Ini disebabkan oleh pelbagai kajian, sejak tahun 1960-an, menunjukkan bahawa bahan ini mungkin terdegradasi dan menjadi toksik apabila bercampur dengan asid perut. Komuniti perubatan tidak pasti sejauh mana karagenan terdegradasi dalam sistem pencernaan. Ini bermakna kita tidak tahu jika sebarang jumlah karagenan adalah toksik. Penting untuk diperhatikan bahawa tiada kajian berkaitannya melibatkan manusia.

Penemuan ulasan/kajian dari tahun 2017 menunjukkan bahawa karagenan yang tidak terdegradasi juga boleh menyebabkan keradangan dan gangguan usus, mencadangkan bahawa bahan ini mungkin menyumbang kepada ulser dan penyakit usus rengsa [Irritable Bowel Disease (IBD)]. Namun, kajian tahun 2018 menyimpulkan bahawa tidak ada bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan mengenai kesan kesihatan karagenan yang tepat. Bukti anekdot (anecdotal evidence)[2] menunjukkan bahawa menghilangkan karagenan dari diet boleh memberikan kelegaan daripada masalah pencernaan, seperti kembung dan IBD. Namun, laporan ini bukan hasil daripada penyelidikan saintifik.

Karagenan mempunyai pelbagai kegunaan. Walaupun ia tiada rasa atau nilai pemakanan, ia adalah ejen pengental dan penstabil yang berguna. Sesetengah pengeluar memasukkannya dalam produk seperti susu coklat, untuk mengelakkan susu daripada berpisah. Ia juga boleh menggantikan lemak dalam makanan yang tidak mengandungi lemak atau rendah lemak serta produk pengganti tenusu yang ditujukan kepada pasaran vegan. Sesetengah pengeluar menggunakan karagenan sebagai pengikat dalam daging deli yang diproses. Ada juga yang menyuntikkannya ke dalam hidangan ayam/itik yang telah dimasak terlebih dahulu untuk melembutkan daging dan mengekalkan kelembapannya lebih lama. Syarikat sering menggunakan karagenan sebagai alternatif vegan kepada gelatin dan dalam pencuci mulut, sebagai contohnya. Ia juga merupakan bahan biasa yang terdapat dalam makanan haiwan dalam tin (canned pet food). Produk bukan makanan, seperti gel penyegar udara dan ubat gigi juga sering mengandungi karagenan. FDA menghendaki pengeluar menyatakan pada label sama ada produk mengandungi karagenan (atau tidak).

Di sana terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin terjadi akibat daripada pengambilan karagenan termasuk:

  • keradangan
  • kembung
  • Penyakit Radang Usus (IBD).
  • Ketidaktoleran glukosa.
  • Kanser kolon.
  • Alergi makanan.

Bahkan sesetengah orang melaporkan bahawa menghapuskan karagenan dari diet telah membantu melegakan simptom ketidakselesaan perut, seperti kembung dan IBD. Walau bagaimanapun, tiada penyelidikan saintifik yang menyokong tuntutan ini.[3]

Hukum Memakan Makanan yang Mengandungi Karagenan

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa secara umumnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudharatan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan — dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Selain itu, al-Qarafi juga ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal — berlepas daripada hukum haram.

Begitu juga sebagaimana yang diketahui karagenan ini diekstrak daripada rumpai laut merah. Sehubungan dengan itu, hukum asal bagi sesuatu yang keluar atau diambil dari laut, tidak kira tumbuh-tumbuhan atau selainnya, adalah halal dan diharuskan selagi tidak memberi mudarat.

Allah SWT berfirman:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Imam al-Qurtubi ketika menjelaskan berkenaan “وَطَعَامُهُ” menyatakan, perkataan “الطعام” (makanan) adalah lafaz yang mempunyai pelbagai makna, yang merujuk kepada segala yang dimakan, dan ia juga boleh merujuk kepada sesuatu yang khusus, seperti air, gandum, kurma, atau susu sahaja. Ia juga kadang-kadang merujuk kepada tidur. Di sini, ia bermaksud apa yang dilemparkan oleh laut dan terapung di atasnya.

Al-Daraqutni meriwayatkan daripada Ibn Abbas mengenai (tafsiran) firman Allah ‘Azza wa Jalla di atas bahawa “haiwan buruan laut” merujuk kepada haiwan laut yang diburu/ditangkap  dan “makanannya” pula merujuk kepada apa yang dilemparkan oleh laut. Perkara yang sama turut diriwayatkan daripada Abu Hurairah, dan ini adalah pendapat ramai sahabat dan tabi‘in.

Selain itu, diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa “makanannya” merujuk kepada bangkainya, yang juga berada dalam maksud tersebut. Selain daripada itu, turut diriwayatkan daripadanya bahawa beliau menyebutkan, lafaz “makanannya” adalah merujuk kepada apa yang diasinkan daripadanya dan kekal. Malah, terdapat sekelompok ulama yang berpegang dengan pendapat yang sama dengannya dalam hal itu. Ada juga yang berpendapat, “makanannya” ialah garam yang terbentuk dari airnya, dan segala yang ada di dalamnya, termasuk tumbuhan dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 6/318).

Begitulah juga sememangnya syariat mewajibkan pemeliharaan nyawa dan mengharamkan pengambilan sesuatu yang boleh memudaratkannya dengan jelas atau dalam kebanyakan kes; berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Begitu juga firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍۢ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًۭا ٢٩ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَٰنًۭا وَظُلْمًۭا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًۭا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu (29). Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).

(Surah al-Nisa’: 29-30)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menyebutkan, maksudnya adalah janganlah sebahagian daripada kamu membunuh sebahagian yang lain, dan janganlah seseorang membunuh dirinya sendiri. Ini termasuk juga mendedahkan diri kepada kebinasaan dan melakukan perkara-perkara yang berisiko membawa kepada kematian dan kebinasaan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 175).

Selain itu, terdapat hadith Nabi SAW, Baginda bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak juga membalas kemudharatan.”

Riwayat Ibn Majah (2341) dan dinilai sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah.

Dalam hadith di atas, mudarat itu dapat dibahagikan kepada beberapa pecahan:

Pertama: Mudarat Secara Fizikal dan Emosi

  • Kemudaratan secara fizikal. Bermaksud, mudarat itu kesannya pada tubuh seseorang dengan apa jua bentuk serangan, atau mudarat pada hartanya, atau apa jua yang terkait dengan perkara fizikal.
  • Kemudaratan secara emosi. Mudarat ini kesannya berkait dengan psikologi seseorang, sama ada kerana qazaf (tuduhan zina), penghinaan, memburukkan nama baiknya, dan lain-lain.

Kedua: Mudarat Berdasarkan Kesannya

  • Mudarat yang kesannya segera. Sebagai contoh, membuka kedai makan atau restoran di tengah-tengah gedung menjual baju, sedangkan dia tahu baju-baju di kawasan itu akan berbau kerana restorannya.
  • Mudarat yang kesannya lewat. Mudarat ini amat jelas dalam masyarakat kita, seperti merokok. Perokok itu mungkin akan menghidapi kanser akibat ketagihan rokoknya, tetapi kesannya tidaklah berlaku serta-merta. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 346-347).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa jika sesuatu makanan itu terbukti memberikan mudarat yang jelas atau dalam kebanyakan kes secara langsung, maka haram untuk mengambilnya dalam kuantiti yang boleh menyebabkan kemudaratan tersebut. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.” (Lihat Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul, hlm. 360).

Namun, karagenan yang digunakan dalam produk-produk makanan tertentu digunakan dalam kadar tertentu, yang berbeza-beza dari satu makanan ke makanan lain, dan mudaratnya mungkin tidak kelihatan dengan serta-merta. Bahkan berkemungkinan ramai yang mengambilnya tanpa mengalami mudarat. Apatah lagi, tidak ada bukti yang jelas lagi sabit melalui kajian-kajian saintifik yang membuktikan kesan sampingan atau mudarat terhasil akibat kesan pengambilan karagenan ini. Malah Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) turut meluluskan penggunaanya sebagai aditif makanan. Oleh sebab itu, kami berpendapat bahawa pengambilan makanan yang mengandungi karagenan adalah diharuskan dan dibolehkan sebagaimana hukum asalnya, selagi mana tidak ada bukti yang jelas lagi pasti akan kemudaratannya.

Kaedah fiqh menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Meskipun begitu, kami juga menyarankan sekiranya dapat dielakkan pengambilan makanan yang mengandungi karagenan, maka ini adalah lebih baik sebagai mengambil langkah menjaga kesihatan, bahkan di sana terdapat banyak makanan yang sihat dan bermanfaat lagi halal sebagai pengganti.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Karsinogen atau Carcinogen adalah bahan, organisme, atau agen yang mampu menyebabkan kanser. Karsinogen boleh berlaku secara semula jadi dalam persekitaran (seperti sinaran ultraviolet dalam cahaya matahari dan virus tertentu) atau mungkin dihasilkan oleh manusia (seperti asap ekzos kenderaan dan asap rokok).

(Lihat https://www.genome.gov/genetics-glossary/Carcinogen#:~:text=Definition&text=A%20carcinogen%20is%20a%20substance,exhaust%20fumes%20and%20cigarette%20smoke). Diakses pada 5 September 2024).

[2] Secara ringkasnya, bukti anekdot adalah bukti yang hanya berdasarkan pemerhatian peribadi, dikumpulkan secara santai atau tidak sistematik. (Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Anecdotal_evidence. Diakses pada 5 September 2024). Dalam erti kata lain, ia tidak semestinya benar atau boleh dipercayai, kerana berdasarkan pengalaman peribadi dan bukannya fakta atau penyelidikan.

[3] Lihat https://www.medicalnewstoday.com/articles/323117#foods. Diakses pada 5 September 2024.