#7128: Kisah Ali Banat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami kisah seorang yang sakit, akhirnya menjadi penderma yang tegar iaitu Ali Banat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)

Al-Imam al-Nasafi berkata: “Allah membuktikan kekuasaannya dalam menghidupkan yang mati seterusnya Allah menggesa supaya menginfak pada jalan Allah kerana pahalanya yang amat besar.” (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/216)

Syeikh al-Maraghi berkata: Ringkasnya orang yang mendermakan hartanya demi mencari keredaan Ilahi dan meninggikan agama-Nya adalah ibarat sebutir biji yang baik ditanam di tanah yang subur. Lalu ia tumbuh dengan subur serta menumbuhkan hasil tujuh ratus kali ganda. Antara yang dapat kita iktibarkan daripada ayat di atas juga ialah, Allah SWT akan mengurniakan tambahan tanpa had kepada orang yang bersedekah pada jalan-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/601)

Sayyid Qutb berkata: Al-Quran mengajak hati nurani manusia berkorban dan memberi, kerana (pada hakikatnya) dia tidak memberi, tetapi mengambil dan ia tidak berkurang tetapi bertambah. Kemudian rasa ingin memberi dirangsangkan lagi dengan pemandangan tanaman yang banyak memberikan hasil itu. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, iaitu ganjaran yang berlipat ganda, yang tidak terhingga dan tidak terkira. Allah melipatgandakan rezekinya yang tiada sesiapa pun mengetahui batasnya dan melipatgandakan rahmat-Nya yang tiada sesiapa mengetahui batas sempadannya.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/103-104)

Menjawab persoalan di atas, Ali Banat berasal dari Sydney, Australia. Pada usia 33 tahun, beliau telah berjaya mencapai kejayaan yang hebat, mempunyai dua buah perniagaan yang berkembang maju, dengan hidup yang mewah. Masa depannya kelihatan cerah. Namun, pada Julai 2015, Ali telah mendapat berita yang langsung tidak pernah terlintas di fikirannya. Beliau telah didiagnosis menghidapi tahap 4 penyakit Adenoid Cystic Carcinoma, sejenis barah tisu kelenjar. Sejak dari itu, beliau sedar bahawa hidupnya tidak akan sama lagi seperti dahulunya. Yang menyedihkan, barah ini telah merebak ke seluruh badannya termasuklah ke paru-paru dan tulang.

Pada mulanya, Ali berasa sangat terkejut dengan berita ini, seperti mana sesiapa yang ada dalam situasi yang sama, namun beliau dapat bersabar dan melihatnya dari sudut yang lebih positif. Beliau melihat barah ini sebagai ‘hadiah’ daripada Tuhan, suatu cara untuk mengubah dirinya untuk mendekati Penciptanya Yang Maha Esa. Kehidupan mewah dengan kereta lumba, pakaian mahal dan segala harta benda lain kini tidak lagi penting buat beliau, dan berasakan bahawa selama ini beliau mengejar cita-cita yang salah.

Tidak lama selepas itu, beliau dengan segera menjual perniagaannya dan mengembara ke Togo, Afrika, sebuah negara dengan 80 peratus penduduknya hidup dalam kemiskinan. Negara ini juga mempunyai populasi Muslim yang ramai, sekitar 12 hingga 20 peratus daripada keseluruhan rakyatnya. Di sana, Ali telah menggunakan duit hasil jualan perniagaannya untuk membina sebuah masjid bersama dengan sekolah untuk anak-anak yatim. Beliau kemudiannya meluaskan skop kepada sebuah projek, iaitu Muslims Around The World (MATW).

Projek ini juga mempunyai beberapa matlamat lain, antaranya termasuklah untuk membina sebuah kawasan perumahan kepada lebih 200 orang janda, membina hospital mini atau pusat kesihatan serta pusat perniagaan bagi menyokong kehidupan penduduk tempatan. Ali melalui laman GoFundMe, mengumpul dana untuk projeknya itu, dan memaklumkan akan menggunakan 100 peratus derma yang dikutip tanpa sebarang caj perkhidmatan untuk 3 buah projek yang berjalan serentak iaitu MATW Village, Chive Project dan Cemetry Project.

Walaupun doktor memaklumkan bahawa beliau hanya akan hidup selama lebih kurang 7 bulan sahaja, beliau hidup lebih 2 tahun daripada tempoh tersebut. Akhirnya pada Maghrib 29 Mei 2018, Ali Banat kembali ke Rahmatullah. Beliau kembali kepada Tuhan Yang Maha Esa pada bulan yang penuh dengan berkah, semoga Allah akan menempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman di syurga.[1]

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Nota Hujung:

[1] https://iluminasi.com/bm/kisah-bagaimana-barah-mengubah-kehidupan-ali-banat-menjadi-seorang-tokoh-islam-yang-dermawan.html