#7130: Kawasan-Kawasan Khutbah Haji

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Adakah lokasinya ditetapkan seperti khutbah 7 Zulhijjah di Makkah, Hari Nahr dan Nafar Awal di Mina. Jika boleh dilaksanakan oleh travel agent, adakah boleh kami laksanakan di kawasan Aziziyah yang terletak di luar Mina untuk ketiga-tiga khutbah berkenaan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Firman Allah SWT:

 وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

(Surah al-Hajj: 27)

Kami mulakan dengan membawa firman Allah SWT di dalam al-Furqan selepas memohon perlindungan-Nya daripada kejahatan syaitan jua segenap keburukan, firman-Nya:

وَأَتِمُّوا۟ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِۚ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perlaksanaan ibadah Haji dan ‘Umrah dengan ikhlas kerana Allah semata-mata.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa sesiapa yang melaksanakan ibadah Haji atau Umrah, wajiblah ke atas dirinya untuk melaksanakan semua rukun dan wajib Haji, serta mestilah memenuhi tuntutan sunnah yang digalakkan di dalam Manasik Haji.

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi berkata ketika menafsirkan ayat suci di atas di dalam Tafsir beliau: “Para ulama berbeza pendapat tentang arahan al-Itmam (menyempurnakan) di dalam ayat ini, sebahagiannya berkata: Iaitu mesti menyempurnakan semua manasiknya, mematuhi semua aturannya, melaksanakan semua sunnahnya. Ini adalah pendapat Ibn ‘Abbas, ‘Alqamah, Ibrahim al-Nakha‘i dan Mujahid.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/241)

Berhubung dengan soalan di atas, termasuk dalam sunnah Haji adalah perlaksanaan Khutbah-khutbah Haji. Khutbah ini ada empat, disunatkan dan mesti dilaksanakan oleh pemimpin Jemaah Haji.

Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Idhah, kata beliau:

“Semua sekali khutbah-khutbah Haji itu ada empat khutbah: Yang pertama, khutbah pada hari-7 (Zulhijjah) di Makkah. Kedua, khutbah pada hari Arafah. Ketiga, khutbah pada Hari Nahr di Mina. Keempat, khutbah pada hari al-Nafr al-Awwal di Mina juga. Di dalam setiap khutbah ini mestilah berisi ajaran tentang tatacara perlaksanaan Manasik Haji serta hukum-hakamnya sehinggalah tempoh khutbah seterusnya; semuanya dilakukan sebanyak satu khutbah sahaja dan selepas Solat Zohor, melainkan khutbah di Arafah; ia dilaksanakan sebanyak 2 khutbah dan sebelum Solat Zohor.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 264-265)

Berdasarkan nas di atas, nyatalah bahawa khutbah-khutbah Haji dan lokasi perlaksanaannya adalah dipenuhi seperti yang berikut:

  • Khutbah pada 7 Zulhijjah di Makkah al-Mukarramah
  • Khutbah pada 9 Zulhijjah (Hari Arafah) di Arafah
  • Khutbah pada 10 Zulhijjah (Hari Nahar) di Mina
  • Khutbah pada 12 Zulhijjah (Hari Nafar Awal) di Mina

 

 

Khutbah Haji Isi Kandungan Khutbah
Khutbah Hari al-Zinah (7 Zulhijjah) Khutbah untuk menyeru agar jemaah Haji bersiap sedia untuk menuju ke Mina pada esok hari, 8hb Zulhijjah; serta menjelaskan ibadah Haji yang akan dilaksanakan sehingga 9hb Zulhijjah.
Khutbah Hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) Khutbah sebelum Zohor; sama hukumnya seperti khutbah Jumaat, berpesan ke arah Taqwa dan kebaikan, menjelaskan berkenaan ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (sehingga esok).
Khutbah Hari Nahar (10 Zulhijjah) Penjelasan tentang ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (sehingga 12 Zulhijjah) dan soal-jawab berkenaan Fiqh Manasik Haji.
Khutbah Hari Nafar Awal (12 Zulhijjah) Penjelasan tentang ibadah Haji yang akan dilaksanakan selepas itu (hingga selesai Haji) dan soal-jawab berkenaan Fiqh Manasik Haji.

 

Khutbah ini bertujuan memberi taklimat berkenaan tentatif perjalanan ibadah Haji dan penjelasan hukum-hakam Manasik serta sesi soal-jawab seperti Klinik Hukum. Ia hanya dilaksanakan berbentuk satu khutbah sahaja, dan dimulakan dengan talbiyah sekiranya khatib dalam keadaan berihram. Adapun jika khatib tidak berihram, dia memulakan khutbah dengan bertakbir.

Al-Khatib al-Syirbini menyatakan: “Khutbah (Haji) ini dimulakan dengan talbiyah sekiranya penyampai khutbah itu dalam keadaan berihram, jika tidak, maka hendaklah dia bertakbir sepertimana yang dinukilkan di dalam kitab Majmu‘ daripada fatwa Imam al-Mawardi [serta mengajar] di dalam isi kandungan khutbah tersebut [Manasik (Haji) yang akan dilaksanakan sebentar lagi].” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/258)

 

Berhubung dengan isu melaksanakan khutbah-khutbah ini di lokasi yang berlainan daripada lokasi yang disebutkan di atas, secara zahirnya adalah dibolehkan kecuali bagi khutbah Hari Arafah, ia wajib dilaksanakan di kawasan Arafah sahaja.

Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah ada mengisyaratkan kebolehan melaksanakan khutbah-khutbah Haji selain khutbah Arafah ini di tempat lain seperti di luar Makkah. Imam Syihabuddin al-Ramli al-Kabir menukilkan pendapat Imam Muhibbuddin al-Tabari dan al-Azra‘i yang membolehkannya dalam Hasyiah beliau atas kitab al-Asna: “Sekiranya mereka (jemaah Haji) sudah pergi menuju ke arah tempat wukuf sebelum memasuki Makkah, (tetap) dianjurkan ke atas imam mereka (pemimpin Jemaah mereka) untuk melakukan (khutbah) sepertimana yang dilakukan oleh imam (pemimpin) di Makkah; pendapat ini difatwakan oleh Imam al-Muhibb al-Tabari dan Imam al-Azra‘i. Namun, saya tidak berpendapat untuk melaksanakan seperti ini bagi khutbah-khutbah yang lain.” (Lihat Hasyiah al-Ramli al-Kabir ‘ala al-Asna, 1/485)

Menurut zahir nas di atas, yang membolehkan adalah pendapat Imam al-Muhibb al-Tabari dan Imam al-Azra‘i, mereka membolehkan khutbah pertama di hari ke-7 untuk dilaksanakan oleh pemimpin Jemaah Haji yang lain di luar kota Makkah, maka kita boleh mengqiyaskan kebolehan ini dengan khutbah-khutbah di Mina; manakala pendapat Imam al-Ramli al-Kabir pula hanya membolehkannya pada khutbah pertama di hari ke-7 sahaja, manakala bagi khutbah-khutbah yang lain; beliau tidak mengesyorkannya dilaksanakan di tempat selain Mina. Namun pendapat ini dinilai gharib di dalam mazhab oleh al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 4/103)

Khususnya dalam konteks perlaksanaan Manasik Haji kini, penempatan dan pergerakan jemaah Haji Malaysia khususnya sepanjang di Muzdalifah dan bermabit di Mina sudah ditetapkan oleh pihak Muassasah dengan arahan pihak berkuasa; berdasarkan kemaslahatan jemaah Haji dan semua pihak, bagi mengelakkan kesulitan dan kesesakan. Oleh yang demikian, ketetapan tersebut wajib diikuti meski ada yang dilihat berbeza dengan perbuatan zahir hadith Rasulullah SAW. Pihak pengurus dan penyelia jemaah Haji boleh melaksanakan khutbah tersebut di kawasan-kawasan petempatan yang dirasakan bersesuaian.

Oleh yang demikian, kami simpulkan di sini bahawa khutbah-khutbah pada Hari al-Zinah (7 Zulhijjah), Hari Nahar dan Hari Nafar Awal boleh dilaksanakan oleh pemimpin rombongan agensi perlancongan di tempat lain di sekeliling kota Makkah dan berhampiran Mina, berdasarkan ikhtiyar (pendapat yang dipilih) Imam Muhibbuddin al-Tabari dan Imam al-Azra‘i dalam kalangan al-Syafi ‘iyyah meskipun dinilai gharib (ganjil) di sisi Imam Ibn Hajar al-Haitami; pengamalan qaul yang marjuh dalam fatwa adalah dibenarkan bagi memudahkan urusan, melancarkan pergerakan, mengelakkan sebarang kesulitan/kesukaran dan menggapai kemaslahatan rombongan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.