#7136: Orang yang Cinta Allah dan Rasul-Nya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat hadis yang menunjukkan sahabat yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang cintakan Allah dan Rasul-Nya dan Allah serta Rasul-Nya cintakannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّـهُ غَفُوورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku (Rasulullah SAW), nescaya Allah akan mengasihi kamu serta mengampuni dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah Ali ‘Imran: (31)

Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa ayat ini membawa maksud jika ada yang mendakwa bahawa dia mencintai Allah maka ikutlah Nabi SAW dalam segenap sudut. Ikutlah wahyu yang telah diturunkan kepada Baginda. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/140)

Kami nyatakan hadith Nabi SAW dalam riwayat Anas bin Malik:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang  menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai  seseorang melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kekufuran seperti mana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.”

Riwayat Bukhari (16) dan Muslim (43)

Maksud manisnya iman di sini bukan seperti manisnya gula atau madu. Akan tetapi, ia lebih besar daripada semua rasa manis. Rasa manis yang diperolehi oleh seseorang di dalam hatinya, kelazatan tersebut tidak setara dengan apa pun. Dia akan memperoleh kelapangan dalam dadanya, cinta kepada kebaikan dan cinta terhadap orang-orang yang melakukan kebaikan. (Lihat Syarah Riyadh al-Salihin, 3/258)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan orang yang dimaksudkan itu ialah Saidina Ali R.A. Hal ini berdasarkan hadith Sahl bin Sa’d bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika Perang Khaibar:

لأُعْطِيَنَّ الرَّايَةَ رَجُلاً يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، وَيُحِبُّهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ‏.‏ ‏

Maksudnya: “Aku akan menyerahkan panji kepada seorang lelaki yang mencintai Allah dan Rasul-Nya dan dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya.”

Maka para sahabat kesemuanya mengharapkannya, namun Nabi SAW bersabda: “Panggilkan Ali untukku.” Lalu Ali yang sedang sakit mata dibawa ke hadapan Nabi SAW, kemudian Baginda meludah pada kedua matanya dan menyerahkan panji kepadanya sehingga Allah menurunkan kemenangan melalui kedua tangannya.

Riwayat Muslim (2404) dan al-Tirmizi (3724)

Syeikh al-Mubarakfuri menceritakan kisah ini secara terperinci seperti berikut: Ketika Perang Khaibar, iaitu pada malam tentera Islam memasuki ke Khaibar, Rasulullah SAW berkata, “Sesungguhnya pada esok hari aku akan memberikan bendera ini kepada seorang lelaki yang Allah akan memberikan kemenangan melalui kedua tangannya, beliau mencintai Allah dan Rasul-Nya dan beliau turut dicintai Allah serta Rasul-Nya.”Maka semalaman orang ramai membicarakan siapakah di antara mereka yang akan diberikan bendera tersebut.

Pada pagi keesokan harinya, mereka pun datang kepada Rasulullah SAW sambil mengharapkan agar Baginda SAW menyerahkan bendera itu kepada mereka. Rasulullah SAW bertanya, “Di mana Ali bin Abi Talib?” Mereka menjawab, “Wahai Rasulullah, dia mengadu sakit mata.” Kemudian beberapa orang pergi menjemput Ali R.A untuk datang. Apabila dia tiba, Rasulullah SAW meludah ke matanya dan mendoakan kesembuhannya. Seketika itu juga, matanya sembuh seolah-olah sebelum itu beliau tidak mengalami kesakitan. Lalu, Rasulullah SAW pun menyerahkan bendera pasukan kepada Ali R.A.

Setelah mengambil bendera itu, Ali R.A berkata, “Wahai Rasulullah, apakah aku akan terus memerangi mereka sehingga mereka menjadi seperti kita?” Rasulullah SAW menjawab, “Jangan terburu-buru bertindak melainkan setelah engkau pergi ke tempat mereka dan mengajak mereka untuk memeluk Islam. Sampaikan kepada mereka kewajiban yang perlu mereka tunaikan kepada Allah. Demi Allah, jika ada seorang lelaki yang Allah beri hidayah melalui usahamu, maka itu lebih baik daripada engkau memiliki unta merah (yakni harta paling bernilai dalam kalangan orang Arab ketika itu.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 632 dan Sahih al-Bukhari, no. 4210)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”