#7138: Kematian Saidina ‘Ali, Gelaran, Kuniyah dan Cincin Saidina Ali

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kisah kematian Saidina Ali, serta gelaran dan cincinnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”

(Surah al-Ahzab: 33)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan Saidina Ali menjadi khalifah selama empat tahun sembilan bulan. Pada cincinnya tertera kalimah Allah al-Malik, gelarannya adalah Abu al-Hasan dan juga Rasulullah SAW menggelarnya dengan Abu Turab. Ini kerana Nabi SAW mendapatinya tidur di dalam masjid dan terdapat kesan tanah pada badannya. Lantas Rasulullah SAW mengejutkannya seraya berkata:

قُمْ أَبَا تُرَاب

Maksudnya: “Bangunlah wahai bapa tanah.”

Riwayat al-Bukhari (441) dan Muslim (2409).

Beliau juga digelar dengan Haidarah. Saidina Ali meriwayatkan 86 atau 85 hadith.

Dikatakan datang satu orang lelaki daripada Murad sedang dia solat di masjid seraya berkata: Berjagalah kerana ada kaum daripada Murad datang untuk membunuh kamu. Jawab Saidina Ali: Sesungguhnya bersama setiap lelakki itu terdapat dua malaikt yang akan menjaganya. Selama mana dia belum ditakdirkan lagi. Apabila sudah berlaku takdir Ilahi, malaikat membiarkan antaranya dan takdirnya. Sesungguhnya ajal itu perisai yang kukuh dan akhirnya Abd al-Rahman bin Muljim telah membunuhnya pada pagi Jumaat tahun 40 Hijrah yang hanya berbaki tujuh hari sahaja lagi untuk menyambut Raya Aidilfitri. Ada pendapat mengatakan sepuluh hari baki. Dan ada kata 21 hari. Ada juga pendapat kata dia dibunuh pada hari Ahad pada usia 63 tahun dan dimandikan oleh dua anaknya yakni Hasan dan Husain dan Abdullah bin Ja’far. Disolatkan jenazahnya oleh al-Hasan dan dikebumikan di padang pasir berhampiran masjid jama’ah di Rahbah yang melalui pintu-pintu Kandah. Inilah pendapat Saghani. Atau berghampiran di sisi Masjid jamek dan kuburnya dihilangkannya, yakni tidak diketahui oleh orang ramai. (Lihat  (Lihat al-Futuhat al-Wahbiyyah bi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 85)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”