#7145: Perdagangan Zaman Jahiliyyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana amalan perdagangan pada zaman Jahiliyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ (1) إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ (2) فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَٰذَا الْبَيْتِ (3) الَّذِي أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَآمَنَهُم مِّنْ خَوْفٍ (4)

Maksudnya: “Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah) (1) (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam), (2) Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, (3) Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.”

(Surah Quraisy: 1-4)

Al-Tabari menjelaskan: Firman Allah, ‘لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ’, huruf lam ini bermakna takjub. Oleh itu, maksud ayat ini adalah, takjublah kamu semua terhadap kebiasaan orang-orang Quraisy, iaitu perjalanan mereka pada musim sejuk dan musim panas, hingga mereka meninggalkan penyembahan terhadap Tuhan pemilik rumah ini (Ka’bah), yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar, dan mengamankan mereka dari ketakutan. Firman Allah, ‘رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ’ maksudnya ialah, perjalanan orang-orang Quraisy terdapat dua bahagian, satu ke Syam pada musim panas, dan satu lagi ke Yaman pada musim sejuk. (Lihat Jami’ al-Bayan, 25/961)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pendapat Syeikh al-Mubarakfuri menyebut: Perniagaan adalah cara utama untuk memperoleh keperluan hidup. Pengembaraan dengan tujuan perniagaan tidak dapat dijalankan kecuali keadaan selamat dan aman. Keamanan sukar dirasai di Semenanjung Tanah Arab kecuali pada bulan-bulan haram. Pada bulan-bulan tersebut aktiviti perniagaan dijalankan di pasar-pasar utama dan terkenal seperti pasar Ukaz, Zu Al-Majaz, Majannah, dan sebagainya. Dari aspek pembuatan produk atau barang, masyarakat Arab tidak mempelopori bidang ini. Kebanyakan masyarakat Arab terlibat dalam perusahaan jahitan atau tenunan dan perusahaan mengawet kulit-kulit binatang. Perusahaan ini dipelopori oleh orang-orang Arab di Yaman dan Hirah serta bandar-bandar di Syam. Walau bagaimanapun, terdapat aktiviti perladangan, pertanian, dan penternakan haiwan di Semenanjung Tanah Arab. Boleh dikatakan semua kaum wanita menceburkan diri dalam pembuatan pakaian. Tetapi, barang-barang yang diniagakan terdedah kepada peperangan dan persengketaan. Kemiskinan dan kelaparan adalah fenomena umum yang terdapat dalam masyarakat Arab. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 54)

Dr. Akram Dhiya’ al-’Umari menyebut: Sumber pendapatan utama penduduk Makkah adalah daripada perdagangan. Perindustrian ketika itu masih sedikit, dan yang paling ketara adalah tempat pembuatan senjata seperti tombak, pedang, baju besi, anak panah, dan pelbagai jenis pisau. Selain itu, terdapat juga tempat pembuatan tembikar dan kayu-kayan untuk membuat rumah dan perabot. Sumber pendapatan lain seperti menggembala kambing dan berburu juga cukup dikenali. Namun,perdagangan tetap menjadi tumpuan utama ekonomi Makkah. Perjanjian dan persekutuan yang berlaku merupakan sebab utama perkembangan kota Makkah. Perkembangan modal yang besar banyak disebabkan oleh peralihan daripada perdagangan tempatan kepada perdagangan antarabangsa.

Pertikaian antara Parsi dan Rom membantu perkembangan laluan perdagangan laut sebagai ganti laluan darat antara Iraq dan Syam. Barang-barang diangkut dari India ke Yaman, kemudian ke Makkah dan seterusnya ke Syam. Kafilah-kafilah semakin maju dengan penyertaan modal oleh penduduk Makkah, sama ada besar atau kecil, mengikut kemampuan kewangan mereka. Perdagangan ini juga membantu memperkukuh jalinan sosial penduduk Makkah, kerana diikat oleh pelbagai kepentingan, terutamanya ikatan kekeluargaan. Namun, kerjasama tidak mungkin berlaku tanpa perbezaan status sosial, bermula dari golongan kaya, kemudian golongan pertengahan, dan akhirnya golongan miskin. Modal yang besar berada di tangan golongan kaya dan berkembang pesat melalui perdagangan, serta memberikan pinjaman berunsur riba kepada mereka yang memerlukan. Mereka juga mengembangkan modal melalui pertanian di Taif yang berdekatan dengan Makkah. Keadaan di Makkah adalah sedemikian rupa, di mana golongan kaya makan menggunakan pinggan besar yang diperbuat daripada emas dan perak, sementara majoriti penduduk Makkah hidup dalam kesusahan.

Perdagangan di Makkah kadang-kadang ditempuh melalui jalur laut sebelum meneruskan perjalanan melalui jalur darat. Namun, mereka belum memiliki armada laut untuk mengangkut barang dagangan mereka. Mereka hanya memanfaatkan kapal-kapal Habasyah untuk menyeberang ke negeri Habasyah. Sementara itu, kapal-kapal Rom hanya sampai ke pelabuhan penduduk sebelum berpindah ke Jeddah pada masa pemerintahan Uthman. Dari negeri Habasyah, kaum Quraisy mengimport kayu kemenyan, minyak wangi, bulu, gading gajah, kulit binatang, rempah-ratus, dan hamba abdi. Sementara dari Syam, kaum Quraisy mengimport gandum, tepung, minyak, dan arak. Dari India, mereka mengimport emas, timah putih, batu permata, gading gajah, kayu cendana, rempah-ratus seperti lada dan seumpamanya, barang-barang tenunan dari sutera, kapas, katun, urjuwan (sejenis kayu gaharu), minyak wangi istimewa, za’faran, bekas-bekas yang diperbuat daripada perak, tembaga, dan besi. Sedangkan kaum Quraisy sendiri membawa beberapa hasil pengeluaran negeri Arab seperti minyak, kurma mentah, bulu, bulu unta, bulu binatang lain, kulit, dan minyak samin.

Ekonomi perdagangan memerlukan keselamatan. Kaum Quraisy mempunyai strategi yang tenang dan lemah lembut, bukan dengan cara menunjukkan kekuatan untuk mencapai tujuan dagangan serta keselamatan laluan perdagangannya di luar. Kaum Quraisy tidak pernah terlibat dalam peperangan sebelum kedatangan Islam, kecuali Perang Fijar yang berlaku sebanyak empat kali dan perang itu hanyalah perang kecil serta pertempuran biasa. Malah, Rasulullah sempat menyaksikan kejadian terakhir iaitu Perang Fijar keempat ketika baginda berusia 20 tahun, dan Quraisy tidak berjaya mencapai kemenangan ke atas bangsa Arab dalam pertempuran tersebut. Yang membantu Quraisy dalam menjaga keselamatan adalah keberadaan Ka’bah, di mana orang-orang Arab dari pelbagai penjuru datang untuk melaksanakan ibadah haji. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah oleh Dr. Akram Dhiya’ Al-‘Umari, hlm. 64)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”