#7169: Adakah 2 Marhalah: 81 km?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Betulkah ada jarak 81 km dan boleh buat jamak qasar? Sebab baru-baru ini saya ada terbaca dalam internet diwartakan ada jarak baru untuk solat jamak. Mohon penjelasan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Kesimpulan

Menjawab persoalan  di atas, kami nyatakan para ulama kontemporari berbeza pendapat dalam menentukan kiraan semasa bagi dua marhalah seperti berikut:

  • Al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff mengatakan 2 marhalah bersamaan 82KM.
  • Syaikh Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan 88.704KM.
  • Syaikh Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan 81KM.

Justeru, kami katakan kita  bebas untuk memilih mana-mana sahaja kiraan di atas. Bahkan, menurut Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-118 yang bersidang pada 16 hingga 17 Februari 2021 telah membincangkan mengenai Hukum Penentuan Kadar Dua Marhalah, Qaryah Dan Balad Dari Perspektif Fiqh Semasa. Muzakarah berpendapat bahawa Hukum Penentuan Kadar Dua Marhalah, Qaryah dan Balad Dari Perspektif Fiqh Semasa adalah seperti berikut :-

  • Penyelarasan kadar dua (2) marhalah adalah 81 km (taqribi).
  • Persempadan dan penentuan qaryah dan balad adalah mengikut pilihan seperti berikut :
    • Persempadanan mengikut kaedah, uruf dan ketetapan negeri-negeri selaras dengan Akta / Enakmen Negeri; atau
    • Persempadanan mengikut peta yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM); atau
    • Persempadanan mengikut peta yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) melalui sistem i-PLAN; atau
    • Persempadanan baharu yang mengambil kira populasi kepadatan satu-satu penempatan secara vertikal (seperti kondominium/rumah pangsa seumpamanya) yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.
  • Bagi tujuan pembangunan aplikasi dan keperluan teknologi digital, ditetapkan nilai kadar dua (2) marhalah adalah 81 km (taqribi) selaras dengan pandangan syarak dan ukuran semasa serta diharuskan menggunakan nilai 11 km (termasuk 81 km) dari titik mula musafir bagi persempadanan qaryah dan balad.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)