#718: Solat Berjemaah atas Talian (Online)

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Baru-baru ini ada tular satu video tiktok yang menunjukkan dua orang melakukan solat berjemaah secara atas talian. Justeru, bagaimanakah hukum solat berjemaah dengan cara begitu? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada riwayat Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

صَلاَةُ الجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah mengatasi solat secara bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat.

Riwayat al-Bukhari (645)

Hadith di atas merupakan galakan kepada kaum Muslimin dan Muslimat supaya menunaikan solat secara berjemaah kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Para fuqaha juga telah bersepakat bahawa bagi kaum lelaki, solat yang mereka tunaikan secara berjemaah di masjid adalah lebih baik berbanding solat mereka yang dilakukan secara bersendirian di rumah. Manakala bagi kaum perempuan pula, solat yang didirikan di rumah-rumah mereka adalah lebih baik. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/231-232)

Bagi menjawab soalan yang diajukan, kita mestilah melihat kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Di antaranya ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam. Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa disyaratkan untuk sahnya ikutan dalam solat berjemaah ialah makmum mengetahui segala pergerakan dalam solat orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya — yakni imam dan makmum — menunaikan solat di dalam masjid, luar masjid atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati oleh para ulama. Ulama mazhab al-Syafi‘i menyatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam, mendengar orang yang dibelakang imam, melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam, dan mereka telah menukilkan ijma‘ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut. Perkara yang sama disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini iaitu disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam dalam solat, supaya makmum itu dapat mengikut sama ada dengan melihat imam, melihat sebahagian daripada saf — yakni makmum yang lain, — mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/309; Mughni al-Muhtaj, 1/494)

Selain daripada itu, al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan bahawa di antara syaratnya juga ialah imam dan makmum hendaklah berhimpun pada suatu tempat sama ada di dalam masjid, atau luar masjid dengan jarak antara kedua-duanya — yakni imam dan makmum itu — tidak melebihi kira-kira 300 hasta lebih kurang. (Lihat Nail al-Raja’, hlm. 211)

Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat yang membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam. Oleh itu, di dalam al-Fiqh al-Manhaji ada dijelaskan lagi bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid, maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui. Ibn Hajar al-Haitami juga menyatakan perkara yang serupa di dalam kitabnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/181; Tuhfah al-Muhtaj, 2/313)

Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam berada di dalam masjid manakala makmum pula berada di luar masjid, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh. Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu:

  • Hendaklah tiada penghadang — yakni halangan — yang menghalang makmum daripada melihat imam atau melihat makmum lain yang melihat imam.
  • Makmum boleh sampai kepada imam tanpa perlu menyimpang dan membelok —dari arah kiblat.
  • Jarak antara kedua-duanya — yakni imam dan makmum — tidak melebihi 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297)

Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297; al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)

Di samping itu, Kamaluddin al-Damiri juga ada berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam, atau melihat sebahagian daripada saf, atau mendengar suara imam, atau mendengar suara muballigh merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat. Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar mensyaratkan perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum — dalam suatu tempat — kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan mengenai pergerakan imam, maka sudah tentu terbatalnya — yakni tidak perlu lagi — perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah di masjid, dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan — yakni mengikuti — solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahui pergerakkan imam tersebut. Justeru, ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)

Selain itu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain. Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio — atau secara atas talian mahupun online — kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing. Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan tujuan pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah — iaitu menghimpunkan manusia. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat berjemaah yang dilakukan secara atas talian (online) adalah tidak sah kerana hal tersebut tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.

Pada kesempatan ini, kami juga ingin menasihati semua agar sentiasa berhati-hati dalam soal agama. Sentiasalah merujuk kepada para alim ulama jika ada sebarang persoalan yang timbul sebelum melakukannya agar kita sentiasa berada dalam landasan yang betul sebagaimana yang dikehendaki oleh agama dan syarak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam

Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H