#7181: Kesahihan Doa Tengok Cermin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar bahawa doa melihat cermin yang kita biasa berdoa itu tidak sahih?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Melihat ke dalam cermin adalah perkara yang diharuskan, malah ia boleh menjadi sunat; agar seseorang dapat mengelakkan perkara yang mencacatkannya dan memperbaiki apa yang perlu diperbaiki, serta supaya wanita dapat berhias untuk suaminya.

Ibn Qudamah berkata: “Dianjurkan untuk memakai celak secara ganjil, menggunakan minyak rambut secara berkala, melihat cermin, dan memakai wangi-wangian. Hanzal berkata: Aku melihat Abu Abdullah (Ahmad bin Hanbal) mempunyai dulang yang di dalamnya terdapat cermin, celak, dan sikat. Apabila dia selesai dengan wiridnya, dia akan melihat cermin, memakai celak, dan menyikat rambutnya.” (Lihat al-Mughni, 1/128)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Dianjurkan untuk melihat ke dalam cermin agar dapat mengelakkan perkara yang mencacatkan dirinya dan memperbaiki apa yang perlu diperbaiki.” (Lihat Syarh al-Umdah, hlm. 232)

Status Hadith Doa Melihat Cermin

Mengenai doa yang diriwayatkan ketika melihat ke dalam cermin, ia tidak sahih. Namun, jika seseorang mengucapkannya dari semasa ke semasa tanpa beriktikad bahawa ia adalah sunnah dan tanpa menisbahkannya kepada Nabi SAW, maka tidak mengapa.

  • Diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib, R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا نَظَرَ وَجْهَهُ فِي الْمِرْآةِ قَالَ: (الْحَمْدُ لِلَّهِ ، اللَّهُمَّ كَمَا حَسَّنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي

Maksudnya: “Bahawa Nabi Muhammad SAW apabila melihat wajahnya di dalam cermin, baginda akan berkata: (Segala puji bagi Allah, Ya Allah sebagaimana Engkau telah memperindah ciptaan fizikku, perindahkanlah akhlakku).”

Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn al-Sunni dalam Amal al-Yaum wal-Lailah (163) melalui jalan al-Husain bin Abi al-Sariy, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin al-Fadl, daripada ‘Abdul Rahman bin Ishaq, daripada al-Nu’man bin Sa’d, daripada ‘Ali bin Abi Talib, R.A. Namun, sanad (rantaian perawi) ini palsu: Ibn Abi al-Sariy seorang pendusta, dia didustakan oleh Abu ‘Urubah dan saudaranya Muhammad sebagaimana disebut dalam Tahzib al-Tahzib (2/315). Dan ‘Abdul Rahman bin Ishaq, ditinggalkan (riwayatnya), ditinggalkan oleh Ahmad dan yang lain. (Lihat al-Mizan, 2/548).

  • Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا نَظَرَ فِي الْمَرْآةِ قَالَ: ( الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي حَسَّنَ خَلْقِي وَخُلُقِي ، وَزَانَ مِنِّي مَا شَانَ مِنْ غَيْرِي

Maksudnya:Adalah Rasulullah SAW apabila melihat dalam cermin, baginda berkata: (Segala puji bagi Allah yang telah memperindah ciptaan fizikalku dan akhlakku, dan memperelokkan apa yang cacat pada orang lain).”

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la (2611) – dan melalui jalan ini oleh Ibn al-Sunni dalam “Amal al-Yaum wa al-Lailah” (164) -: Telah menceritakan kepada kami ‘Amru bin Husain, telah menceritakan kepada kami Yahya bin al-‘Ala’, daripada Safwan bin Sulaim, daripada ‘Ato’ bin Yasar, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma.

Dalam sanad hadith ini terdapatnya Yahya bin al-‘Ala’, Imam Ahmad berkata berkenaannya: seorang pendusta yang mengada-adakan hadith sebagaimana disebut dalam al-Mizan (4/397). Dan ‘Amru bin al-Husain, kata Abu Hatim: riwayatnya tidak boleh diterima, tiada nilainya, dan kata al-Daraqutni: dia ditinggalkan. (Lihat al-Tahzib, 8/20).

Diriwayatkan juga oleh Abu al-Syeikh dalam “Akhlak al-Nabi” (527), dan Abu al-Hussain al-Bazzaz dalam “Ghara’ib Malik” (161) melalui jalan Aban bin Sufyan, daripada Abu Hilal, daripada Hisham bin ‘Urwah, daripada bapanya, daripada ‘Aisyah R.Anha, dengan sanad yang sama. Aban bin Sufyan, kata al-Daraqutni: dia ditinggalkan. (Lihat Mizan al-I’tidal, 1/7).

  • Daripada Anas bin Malik, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا نَظَرَ وَجْهَهُ فِي الْمِرْآةِ قَالَ : ( الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي سَوَّى خَلْقِي فَعَدَلَهُ ، وصَوَّرَ صُورَةَ وَجْهِي فَحَسَّنَهَا، وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

“Adalah Rasulullah SAW apabila melihat wajahnya di dalam cermin, baginda berkata: (Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan tubuh badanku dengan sempurna, membetulkannya, dan memperelokkan wajahku, serta menjadikan aku dalam kalangan orang-orang Islam).”

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam “Mu’jam al-Ausat” (787), dan Ibn al-Sunni dalam “Amal al-Yaum wal-Lailah” (165) melalui jalan Salm bin Qadim, katanya: telah menceritakan kepada kami Hashim bin ‘Isa al-Barri, daripada al-Harith bin Muslim, daripada al-Zuhri, daripada Anas bin Malik. Hisham bin ‘Isa yang terdapat dalam sanad ini, al-‘Uqaili berkata berkenaan dengannya: hadithnya munkar. (Lihat al-Dhu’afa’ al-Kabir, 4/343). Dan al-Harith bin Muslim, kata al-Daraqutni: Majhul (tidak dikenali). (Lihat Lisan al-Mizan, 2/160).

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam “Al-Du’a” (489) melalui jalan Maslamah, telah menceritakan kepada kami Hisyam bin ‘Urwah, daripada bapanya, daripada ‘Aisyah, dengan sanad yang sama. Maslamah: adalah Ibn Muhammad al-Thaqafi, kata Yahya bin Ma’in: tiada nilainya. Dan kata Abu ‘Ubaid al-Ajri: Aku bertanya kepada Abu Dawud: Adakah dia meriwayatkan daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada bapanya daripada ‘Aisyah: (Berhati-hatilah dengan Zanj kerana mereka diciptakan dengan rupa yang cacat)? Abu Dawud menjawab: Sesiapa yang meriwayatkan ini, tuduhlah dia. (Lihat Mizan al-I’tidal, 4/112).

  • Diriwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَنَاوَلُ الْمِرْآةَ فَيَنْظُرُ فِيهَا يَقُولُ: (الْحَمْدُ لِلَّهِ، أَكْمَلَ خُلْقِي، وَحَسَّنَ صُورَتِي، وَزَانَ مِنِّي مَا شَانَ مِنْ غَيْرِي

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW mengambil cermin dan melihat ke dalamnya, kemudian baginda berkata: (Segala puji bagi Allah, yang menyempurnakan ciptaan fizikku, memperelokkan rupaku, dan memperelokkan apa yang cacat pada orang lain).”

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Marwazi dalam Zawa’id al-Zuhd (1174) melalui jalan ‘Abdullah bin al-Muthanna bin Anas bin Malik, katanya: Telah menceritakan kepada saya seorang lelaki daripada keluarga Anas bin Malik bahawa dia mendengar Anas bin Malik berkata sebagaimana hadith di atas. Namun, sanad ini adalah lemah; kerana ada perawi yang tidak dinamakan dalam sanad itu tidak diketahui (majhul).

Diriwayatkan oleh al-Bazzar dalam Musnad-nya (7322), melalui jalan Dawud bin al-Muhbir, telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin al-Muthanna daripada Thumamah, daripada Anas, dengan sanad yang sama. Ibn al-Muhbir ditinggalkan dan dituduh sebagai pendusta. (Lihat al-Mizan, 2/20).

Justeru, hadith berkenaan dengan doa melihat cermin mempunyai pelbagai jalan periwayatan yang semuanya lemah, tiada satu pun yang sahih.

Namun begitu, terdapat hadith yang dinilai sahih berkenaan dengan doa ini, tetapi ia tidak ada kaitan dengan doa pengkhususan melihat cermin melainkan ia dibaca secara umum sahaja yang ia boleh dibaca pada bila-bila masa sebagaimana riwayat daripada Aisyah, katanya, bahawa Rasulullah SAW sering berdoa:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: اللهُمَّ أَحْسَنْتَ خَلْقِي، فَأَحْسِنْ خُلُقِي

Maksudnya: ‘Ya Allah, Engkau telah memperelokkan kejadian fizikalku, maka perelokkanlah akhlakku.’

Riwayat Ahmad 24392, Abu Ya’la (5075), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (8183). Syaekh Ahmad Syakir mengatakan dalam Takhrij Musnad Ahmad bahawa sanadnya sahih. Syeikh Syu’aib al-Arnaut juga mengatakan Sahih sebagaimana dalam Ta’liq Musnad Ahmad, (40/457)

Doa dalam hadith ini adalah dengan lafaz umum tanpa dikhususkan ketika melihat cermin.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa melihat cermin adalah perbuatan yang diharuskan dalam Islam, terutama untuk tujuan memperbaiki penampilan atau bagi wanita berhias untuk suaminya atau yang seumpamanya dengan tujuan yang baik

Adapun doa yang dikaitkan dengan melihat cermin serta hadith-hadith yang khusus mengenai doa ketika melihat cermin adalah tidak sahih dan juga mempunyai sanad yang lemah. Beberapa riwayat mengenai doa ini melalui sanad yang tidak boleh diterima kerana adanya perawi yang ditinggalkan atau yang memalsukan hadith. Oleh itu, tidak ada hadith yang sahih yang secara khusus menyebut doa yang dibaca ketika melihat cermin.

Namun begitu, terdapat satu hadith sahih yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha di mana Rasulullah SAW sering berdoa:

اللَّهُمَّ أَحْسَنْتَ خَلْقِي، فَأَحْسِنْ خُلُقِي

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau telah memperelokkan kejadian fizikalku, maka perelokkanlah akhlakku.”

Doa ini bersifat umum dan boleh diamalkan ketika melihat cermin atau pada bila-bila masa sahaja tanpa beriktikad bahawa ia adalah sunnah untuk melihat cermin sahaja dan tanpa menisbahkannya kepada Nabi SAW.