#7182: Tipu Daya Syaitan Agar Jangan Beribadat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah syaitan akan menggoda manusia dengan pelbagai cara. Antaranya bisikan, “Wahai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadah. Sebab, jika Allah telah menetapkanmu sebagai orang yang berbahagia pada hari akhirat kelak, maka meninggalkan ibadah pun tidak menjadikan mudharat ke atas dirimu. Engkau tetap menjadi orang berbahagia. Dan sebaliknya, jika Allah menetapkanmu sebagai orang celaka, tidak ada guna engkau beribadah, engkau akan tetap celaka jua.”

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا۟ ٱلشَّيْطَـٰنَ ۖ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌۭ ٦٠ وَأَنِ ٱعْبُدُونِى ۚ هَـٰذَا صِرَٰطٌۭ مُّسْتَقِيمٌۭ ٦١ وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنكُمْ جِبِلًّۭا كَثِيرًا ۖ أَفَلَمْ تَكُونُوا۟ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata terhadap kamu! Dan (Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembah-Ku, inilah jalan yang lurus. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?”

(Surah Yasin : 60-62)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Allah SWT menyatakan: “Bukankah Aku memberikan perintah kepada kamu dan menyuruh kamu di dunia untuk tidak menyembah syaitan, supaya kamu tidak mentaatinya dalam maksiat kepada Allah (sesungguhnya dia adalah musuh yang nyata bagi kamu)? Aku katakan kepada kamu: Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang jelas bagi kamu. Dia telah menampakkan kebencian terhadap kamu dengan menolak untuk sujud kepada kamu, iaitu kepada nenek moyang kamu, sebab iri hati terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada mereka, seperti kemuliaan dan kesombongan yang diberikan Allah kepada mereka, sehingga dia berhasil mengeluarkan mereka (Adam dan Hawa) dari syurga. (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/470)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali:

Orang-orang yang dipelihara Allah sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan, “Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku menuruti perintah-Nya. Allah Maha Mengetahui. Dia menetapkan sesuatu dengan kehendak-Nya, dan berbuat apa saja sesuai dengan kehendak-Nya. Walau bagaimana keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku akan tetap beribadah untuk memperbanyakkan pahala. Dan jika aku ditetapkan sebagai orang yang celaka, aku juga akan tetap beribadah, agar tidak menjadi penyesalan buatku.

Sekiranya aku masuk ke dalam neraka, padahal aku taat, itu lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana berbuat maksiat. Tetapi tidak akan demikian kenyataannya, sebab janji Allah pasti terbukti, dan firman-Nya pasti benar. Allah telah menjanjikan pahala kepada siapa saja yang taat pada-Nya. Barangsiapa mati dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah, nescaya dia tidak akan dimasukkan neraka, melainkan pasti syurgalah tempatnya. Jadi, masuknya seseorang ke dalam syurga bukan kerana semata kekuatan amalannya, melainkan kerana janji Allah yang pasti dan suci!” (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 172-174)

Kelak, orang-orang yang berbahagia dan beruntung akan mengatakan:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي صَدَقَنَا وَعْدَهُ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah membuktikan janji-Nya iaitu (memasukkan kami ke dalam syurga).”

(Surah al-Zumar: 74)

Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kita. Sesungguhnya, dalam taat kepada Allah sangat banyak godaan dan tipu daya syaitan untuk menggagalkannya. Bandingkan segala permasalahan dan perbuatan kepada keadaan tersebut, dan mohonlah pertolongan Allah agar sentiasa terlindung dan terpelihara dari kejahatan syaitan. Sesungguhnya, segala sesuatu berada di bawah kekuasaan Allah, dan kepada Allah-lah kita mengharapkan taufik dan keredaan.

وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيُّ الْعَظِيمِ

Tiada daya untuk meninggalkan maksiat dan tidak ada kekuatan untuk mengerjakan ketaatan, melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.