#7186: Tafsir Ayat 30 Surah al-Nur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan ayat 30 Surah al-Nur menurut pendapat ahli tafsir dan ulama tasawwuf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

 قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Maksudnya: Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menjaga pandangan matanya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka lakukan.

(Surah al-Nur: 30)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan (يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ) mengatakan bahawa Allah SWT memerintahkan orang islam untuk menjaga penglihatan daripada melihat apa yang mereka bersyahwat padanya. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Quran, 19/154)

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)

Imam al-Ghazali dalam Minhaj al-’Abidin menyebut:

Ayat di atas mengandung tiga makna sari yang penting:

Pertama, mengandung erti pendidikan. Untuk itu, setiap hamba wajib tunduk patuh akan didikan Allah dan memelihara adabnya. Jika hamba ingkar, dia termasuk orang yang bersifat su’ al-adab. Dan orang yang demikian tidak akan mendapatkan tempat yang mulia di sisi Allah SWT.

Kedua, ayat ini mengandungi peringatan. Hati yang bersih akan lebih banyak menumbuhkan kebaikan. Sebab, jika mata tidak terkendali melihat apa saja, ia akan cenderung melihat hal-hal yang diharamkan Allah. Sehingga, hati akan selalu bersandar kepada hal-hal tersebut. Dan jika Allah tidak mengasihinya, dia akan menjadi orang yang celaka. Sepertimana yang telah diriwayatkan,  “Seseorang itu setiap kali melihat sesuatu yang merosakkan hatinya, hatinya akan lebur mendidih seperti mendidihnya kulit binatang yang hendak disamak, ia bakal menjadi sesuatu yang tidak berguna lagi.”[1]

Ketika mata melihat sesuatu benda itu termasuk dalam perkara yang mubah, dan hati menjadi terpengaruh dengannya, maka saat itu akan datang godaan, serta tumbuhlah cita-cita dan hasrat yang tidak mungkin kesampaian, sehingga ia memutuskan hasrat untuk mengerjakan kebaikan. Sedangkan jika mata tidak menyaksikan hal itu, nescaya hati akan terlepas daripada godaan-godaan tersebut.

Saidina ‘Isa al-Masih AS bersabda, “Berhati-hatilah, janganlah engkau melihat (sesuatu yang tidak baik). Sebab, penglihatan itu akan membangkitkan syahwat di hatimu, dan mengundang fitnah bagi pelakunya.”[2]

Zu al-Nun berkata, “Penahan syahwat yang paling ampuh adalah memalingkan pandangan dari segala yang tidak perlu.” (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 196-197)

Justeru, peri pentingnya kita mematuhi titah perintah Allah dari sebarang maksiat seupaya mungkin. Marilah sama-sama kita berdoa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Nota Hujung:

[1] Ahmad bin Hanbal di dalam al-Wara’ (65) secara balaghah daripada perkataan Khalid bin Abi ‘Imran. Perkataan al-Naghl النّغلbermaksud: kerosakan.

[2] Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimasyq (47/462), al-Baihaqi di dalam al-Zuhd al-Kabir (384).