#7190: Bahaya Hasad Dengki dan Ciri-Ciri Orang yang Berhasad

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami ingin mendapat kepastian tentang bahaya dan bala sifat hasad dengki serta mengenali ciri-ciri orang yang berhasad dengki.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara kerugian yang berhasad dengki itu ialah:

  • Boleh memakan kebajikan

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ

Maksudnya: Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.

Riwayat Abu Daud di dalam al-Sunan (4903) menerusi hadith Abu Hurairah RA, Ibn Majah di dalam al-Sunan (4110) Abu Ya’la di dalam al-Musnad (3656) menerusi hadith Anas bin Malik RA.

  • Hasad mendorong sifat jahat dan maksiat

Menjawab persoalan di atas, seperti yang dikatakan oleh Wahb ibn Munabbih bahawa, “Orang yang hasad mempunyai tiga ciri:

  • Jika berdepan, dia menjilat dan membodek,
  • Jika di belakang, dia mengumpat dan mencela,
  • Senang jika orang lain mendapat kecelakaan.” (Lihat Hilyah al-Auliya’ oleh Abu Nu’aim al-Isfahani, 47/10)

Kiranya cukup pengetahuan kita mengenai hasad. Hanya kepada Allah jualah kita berlindung dari kejahatan orang-orang berhasad dengki. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 223-224)

Allah SWT berfirman:

وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Maksudnya: Dan [aku berlindung kepada-Mu, wahai Allah] daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.

(Surah al-Falaq: 5)

Al-Syaukani berkata: Dengki adalah harapan agar kenikmatan yang diberikan Allah kepada seseorang dapat hilang darinya. (Lihat Fath al-Qadir, 7/221)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”