#7196: Maksud Tawadhu’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud tawadhu dan pembahagian tawadhu’ serta bentengnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pengertian tawadhu’ (التَّواضُعُ) secara bahasa adalah ‘التَّذَلُّلُ’ (ketundukan) dan ‘التَّخَاشُعُ’ (rendah hati). Dari sudut istilah, tawadhu’ adalah akhlak mulia yang merangkumi banyak kebaikan. Tawadhu’ adalah tunduk dan patuh kepada kebenaran, serta kesediaan menerima kebenaran itu daripada sesiapa pun yang mengatakannya, sama ada dalam keadaan redha mahupun marah. Tawadhu’ adalah merendahkan diri dan bersopan santun. Tawadhu’ adalah apabila engkau tidak melihat dirimu mempunyai nilai lebih berbanding hamba Allah yang lain. Tawadhu’ adalah apabila engkau tidak melihat orang lain memerlukanmu. (Lihat al-Tawadhu’ fi Dhau’ al-Quran wa al-Sunnah, hlm. 8)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW:

وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلاَّ رَفَعَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang bertawadhu’ yang ditujukan semata-mata kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat (darjat)nya.”

Riwayat Muslim (2588)

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: Terdapat dua pandangan mengenai maksud hal ini:

Pertama: Allah – Maha Tinggi – akan memberinya pahala di dunia sebagai balasan atas sikap rendah hatinya kepada-Nya, dan sikap rendah hatinya itu akan menanamkan dalam hati manusia kasih sayang, kedudukan, dan kemuliaan.

Kedua: Pahala itu akan diberikan di akhirat sebagai balasan atas sikap rendah hatinya.” (Lihat Ikmal al-Mu’lim, 8/28)

Al-Zurqani berkata: “Dan tidaklah seseorang itu merendahkan diri kepada Allah (melainkan Allah akan mengangkatnya) di dunia dengan menganugerahkan kasih sayang dan kedudukan dalam hati manusia, atau di akhirat dengan memberikannya kedudukan yang tinggi kerana kerendahan dirinya di dunia, atau kedua-duanya sekali.” (Lihat Syarh al-Zurqani ‘ala al-Muwatta’, 4/549)

Kerendahan hati ialah kepatuhan penuh kepada kebenaran dan tunduk kepada perintah Allah dan Rasul-Nya; mematuhi perintah dan menjauhi larangan, dengan kerendahan hati kepada sesama manusia, merendahkan diri kepada mereka, serta menghormati yang muda dan tua, yang mulia dan hina. Lawannya adalah kesombongan; iaitu menolak kebenaran dan merendahkan orang lain. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, hlm. 91)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan kenyataan daripada Imam al-Ghazali yang berkata:

Tawadhu’ pada masyarakat awam ialah merasa keberkecukupan dalam berpakaian, tempat tinggal, dan berkenderaan dengan cara yang sederhana apa adanya. Sedangkan takabburpada orang awam adalah keadaan yang berlawanan daripada hal-hal tersebut.

Sedangkan tawadu’ di sisi golongan khusus adalah membiasakan diri menerima kebenaran, daripada sesiapa pun datangnya kebenaran itu. Sedangkan takabbur pada golongan tertentu (khawwas) adalah enggan menerima kebenaran yang datang daripada sesiapa pun. Dan sifat seperti itu merupakan maksiat bahkan dosa besar.

Adapun benteng bagi memelihara sifat tawadu’ bagi masyarakat awam adalah dengan cara selalu mengingati pelbagai kehinaan pada awal dan akhir mahupun kehidupan yang sedang dipelajari. Sebagaimana dikatakan oleh para ‘ulama’, bahawa awal kehidupan manusia hanyalah setitis air mani, dan akhirnya menjadi bangkai yang membusuk. Dan di antara keduanya, manusia adalah pembawa kotoran dalam perut.

Adapun benteng tawadu’ bagi golongan tertentu (khawwas) adalah sentiasa mengingati seksa ke atas orang-orang yang menyimpang daripada kebenaran (haqq) dan menuju ke arah kebatilan. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 207-208)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”