#7201: Cara Sambut Maal Hijrah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bagaimanakah cara kita nak meraikan kedatangan tahun hijrah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Peristiwa Hijrah merupakan detik yang agung dan mulia di sisi sejarah Islam. Kami mulakan dengan membawakan firman Allah SWT di dalam al-Quran al-Majid:

وَقُل رَّبِّ أَدۡخِلۡنِی مُدۡخَلَ صِدۡقࣲ وَأَخۡرِجۡنِی مُخۡرَجَ صِدۡقࣲ وَٱجۡعَل لِّی مِن لَّدُنكَ سُلۡطَـٰنࣰا نَّصِیرࣰا

Maksudnya: “Dan katakanlah: Wahai Tuhan, masukkan daku ke dalam tempat masuk yang benar; dan keluarkan daku pada tempat keluar yang benar. Dan jadikanlah aku mempunyai perlindungan dan bantuan dari sisi-Mu.”

(Surah al-Isra’: 80)

Ayat di atas merupakan arahan kepada Rasulullah SAW supaya berhijrah keluar meninggalkan kota Makkah al-Mukarramah, pergi menuju ke kota Madinah al-Munawwarah untuk meneruskan perjuangan menegakkan akidah Tauhid dan syariat Islam yang suci. al-Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i berkata ketika menafsirkan ayat di atas:

“Firman-Nya: [Dan katakanlah: Wahai Tuhan, masukkan daku ke dalam tempat masuk yang benar; dan keluarkan daku pada tempat keluar yang benar.] Yang dimaksudkan dengan tempat masuk dan tempat keluar adalah: perbuatan memasuki sesebuah tempat dan keluar daripada sesuatu tempat. Para ulama Tafsir berbeza pendapat tentang maksud ayat ini: Ibn ‘Abbas, al-Hasan dan Qatadah mengatakan: [masukkan daku ke dalam tempat masuk yang benar]: iaitu masuk ke kota Madinah. [dan keluarkan daku pada tempat keluar yang benar] iaitu: keluar dari Mekah. Ayat ini turun ketika Nabi SAW diarahkan untuk berhijrah.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 3/157)

Hijrah berasal daripada perkataan hajara [هَاجَرَ] yang bermaksud perpindahan, meninggalkan atau keluar dari sesuatu tempat dan pergi ke tempat yang lain. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah mentakrifkan Hijrah sebagai:

Hijrah: bermaksud meninggalkan [التَّرْكُ], hijrah dari sesuatu adalah berpindah dari satu tempat menuju ke tempat yang lain. Manakala Hijrah dari sudut istilah syarak bermaksud: Meninggalkan segala perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Dari sudut perspektif Islam, Hijrah boleh difahami secara dua wajah;

Pertama: Perpindahan dari negara yang tidak aman kepada negara yang lebih aman sepertimana peristiwa Hijrah pertama iaitu dari Makkah ke Ethiopia, begitu juga peristiwa Hijrah kedua iaitu dari Makkah ke Madinah.

Kedua: Perpindahan dari negara Kufur ke negara Islam; sepertimana Nabi SAW menetap di Madinah, dan para Sahabat dari negara-negara musyrikin berpindah ke Madinah untuk bersama dengan baginda dan umat Islam apabila mampu melaksanakannya. Hijrah ketika itu hanya khusus kepada berhijrah ke Madinah, pengkhususan tersebut dimansuhkan setelah peristiwa Fath Makkah. Yang kekal adalah keumuman arahan agar berpindah dari negara kafir ke negara Islam bagi yang berkemampuan melaksanakannya .” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1/24-25)

Peristiwa Hijrah ini berlaku hasil daripada Perjanjian Aqabah ke-2 yang berlaku antara Rasulullah SAW dengan jemaah Haji dari Yathrib yang dikenali sebagai kelompok al-Ansar. Kelompok ini mempunyai kekuatan dan berjanji akan membela Rasulullah serta membantu perjuangan baginda. Umat Islam melihat potensi untuk lebih maju jika hidup bersama Ansar. Perkara ini tidak disenangi oleh kaum Musyrikin.

Imam Ibn Sa‘d meriwayatkan di dalam al-Tabaqat seraya menceritakan faktor Hijrah, kata beliau:

لَمَّا صَدَرَ رِجَالُ العَقَبَةِ الثَّانِيَةِ مِنْ عِنْدِ رَسُولِ اللَّهِ، طَابَتْ نَفْسُهُ -صلى اللَّه عليه وسلم- وَقَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مَنَعَةً وَقَوْمًا أَهْلَ حَرْبٍ وَعُدَّةٍ وَنَجْدَةٍ، وَجَعَلَ البَلَاءَ يَشْتَدُّ عَلَى المُسْلِمِينَ مِنَ المُشْرِكِينَ لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ خُرُوجِهِمْ إِلَى المَدِينَةِ، فَضَيَّقُوا عَلَيْهِمْ، وَنَالُوا مِنْهُمْ مَا لَمْ يَكُوُنوا يَنَالُونَ مِنَ الشَّتْمِ وَالأَذَى، فَشَكَا ذَلِكَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ -صلى اللَّه عليه وسلم- وَاسْتَأْذَنُوهُ في الهِجْرَةِ

Maksudnya: “Ketika mana beredarnya para pembai‘at daripada Baiah Aqabah ke-2 pulang ke Madinah, hati baginda Nabi SAW menjadi riang gembira. Hal ini kerana Allah SWT telah mengurniakan kepada baginda sebuah kaum yang akan membela baginda, dan mempertahankan baginda dengan kekuatan pertahanan, peperangan, persiapan dan ketegasan. Manakala, ujian seksa yang menimpa umat Islam daripada pihak Musyrikin juga semakin meruncing apabila mereka mendapat tahu bahawa umat Islam akan berhijrah ke bumi Madinah. Musyrikin berasa marah dan gusar. Mereka meningkatkan gerakan memburukkan umat Islam dan menyeksa mereka, lantas umat Islam mengadu kepada Rasulullah SAW lantas meminta izin baginda untuk berhijrah.”

Riwayat Ibn Sa‘d di dalam al-Tabaqat al-Kubra (1/108)

Rasulullah SAW juga pernah diwahyukan menerusi mimpi sebelum itu agar keluar berhijrah ke bumi Yathrib yang kemudiannya ditukar nama kepada nama kota Madinah. Abu Musa al-Asy‘ari RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَأَيْتُ فِي المَنَامِ أَنِّي أُهَاجِرُ مِنْ مَكَّةَ إِلَى أَرْضٍ بِهَا نَخْلٌ، فَذَهَبَ وَهَلِي إِلَى أنَّهَا اليَمَامَةُ أَوْ هَجَرُ، فَإِذَا هِيَ المَدِينَةُ يَثْرِبُ

Maksudnya: “Aku melihat dalam mimpiku bahawa aku berhijrah keluar dari Makkah ke tanah yang penuh dengan pohon kurma. Aku mengagak tempat tersebut adalah Yamamah atau Hajar. Namun, hakikatnya ia adalah kota al-Madinah atau kota Yathrib.”

Riwayat al-Bukhari (3622) di dalam kitab al-Manaqib daripada Sahih al-Bukhari: bab Petanda Kenabian [ِعَلَامَاتُ النُّبُوَّة]; Muslim (2272) di dalam kitab al-Ru’ya daripada Sahih Muslim: bab Mimpi Nabi [رُؤْيَا النَّبِيِّ]

Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah hanya atas arahan Allah semata-mata. Pemilihan tempat diarahkan oleh-Nya, begitu juga detik untuk mulai keluar. Semuanya ditentukan oleh Allah. Abu Hurairah RA pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda mengenai tempat yang baginda diarahkan untuk berhijrah:

أُمِرْتُ بِقَرْيَةٍ تَأْكُلُ القُرَى، يَقُولُونَ: يَثْرِبُ، وَهِيَ المَدِينَةُ، تَنْفِي النَّاسَ كَمَا يَنْفِي الكِيرُ خَبَثَ الحَدِيدِ

Maksudnya: “Aku diarahkan untuk pindah ke sebuah kampung yang akan mengatasi  dan menakluk kampung-kampung yang lain. Namanya: Yathrib, iaitu kota Madinah. Kota ini akan menapis manusia sepertimana api panas menyingkirkan karat daripada besi.”

Riwayat al-Bukhari (1871) di dalam kitab Fadha’il al-Madinah daripada Sahih al-Bukhari: bab Keutamaan Madinah yang Menapis Manusia [فَضْلُ الْمَدِينَةِ وَأَنَّهَا تَنْفِي النَّاسَ]; Muslim (1382) di dalam kitab al-Haj daripada Sahih Muslim: bab Kota Madinah Sendiri Menyingkir Kejahatan Dalamnya [الْمَدِينَةُ تَنْفِي شِرَارَهَا]

Syeikh Ali Tantawi rahimahullah mengulas dengan begitu baik dan indah sekali tentang detik Hijrah ini seraya mengatakan:

“Umat Islam berhijrah kali kedua namun kali ini merupakan penghijrahan ke sebuah tempat bangsa Arab juga, iaitu ke sebuah kota yang ditakdirkan akan mengekalkan legasi Islam selama-lamanya, mengubah nasib sebuah tempat yang terpencil dan sepi, sehingga ia menjadi mulia dan tersohor dengan keberkatan Muhammad SAW; sehingga ia menjadi penghulu dan induk sekalian kota, pusat bagi sekalian ibu negara; daripadanya terpancar sinar kebaikan dan petunjuk agar ia menebar ke seluruh dunia. Tersebar luas ke seantero dunia seluruh kebaikannya, tempat yang terpacaknya muara punca kuasa bagi sekalian raja dan penguasa, kekayaan dan kekuasaan dari segenap tempat. Demikianlah al-Madinah al-Munawwarah.” (Lihat Rijal min al-Tarikh, hlm. 15)

Sambutan Maal Hijrah

Peristiwa yang agung ini sewajarnya disambut dan diraikan dengan penuh gembira dan bahagia. Hijrah meningkatkan martabat Islam. Segala sesuatu yang mengunggulkan Islam wajiblah diraikan dengan gembira.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran al-Karim sepertimana yang diriwayatkan di sisi qiraat Abu Ja‘far al-Madani, Ya‘qub al-Hadhrami dan salah satu wajah qiraat Ibn ‘Amir al-Syami:

قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَ ٰ⁠لِكَ فَلْتَفْرَحُوا هُوَ خَیۡرࣱ مِّمَّا تَجۡمَعُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Dengan limpah kurniaan Allah dan rahmat kasih-sayang-Nya; maka oleh yang demikian itu, bergembiralah kalian semua kerananya. Yang demikian itu lebih baik berbanding apa yang kalian himpunkan (berupa kesenangan duniawi).”

(Surah Yunus: 58)

Gembira kerana nikmat Islam dan bahagia kerana keunggulan Islam adalah arahan Allah kepada Rasulullah dan sekalian umat Muslimin. Imam Ibn Jarir al-Tabari menafsirkan ayat di atas seraya berkata:

“Allah SWT bertitah kepada Nabi-Nya, Muhammad SAW: [Katakanlah] wahai Muhammad kepada sekalian kelompok yang mendustakan dirimu dan mendustakan Kitab yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu [dengan limpah kurniaan Allah] wahai sekalian manusia, yang mengurniakan segenap kurniaan-Nya buat kalian iaitu nikmat tertinggi dari-Nya, nikmat Islam. Dia mengajarkannya kepada kalian, dan mengajak kalian kepadanya [jua rahmat kasih-sayang-Nya] dengannya, Dia mengasihani dan menyayangi kalian, Dia turunkannya kepada kalian, Dia ajar segala sesuatu berkenaan al-Kitab yang sebelumnya kalian tidak ketahui, yang demikian itu adalah nikmat al-Quran [maka oleh yang demikian itu, hendaklah mereka bergembira dengannya; yang demikian itu lebih baik berbanding apa yang mereka himpunkan] Islam yang diajak itu, dan al-Quran yang diturunkan kepada kalian itu, lebih baik berbanding kesenangan duniawi, harta yang melimpah dan kekayaan yang mewah.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 12/194)

Persoalannya, bagaimanakah hendak menyambut Maal Hijrah menurut pedoman dan petunjuk Sunnah Rasulullah SAW?

  1. Membaca Doa Sunnah Ketika Melihat Anak Bulan Tahun Baharu Hijrah

Setiap kali Rasulullah SAW melihat anak bulan baharu dan begitu juga tahun baharu, baginda akan membaca doa memohon keselamatan dan perlindungan. Pelbagai doa telah diriwayatkan daripada baginda Nabi Muhammad SAW ketika baginda melihat anak bulan menjelang bulan baharu, begitu juga tahun baharu.

Talhah bin ‘Ubaidillah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW membaca:

اللَّهُمَّ أهِلَّهُ عَلَيْنا باليُمْنِ وَالإِيمانِ وَالسَّلامَةِ وَالإِسْلامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah bulan baharu ini penuh kebertuahan dan tetap di atas keimanan buat kami. Penuh kesejahteraan dan teguh di atas Islam buat kami. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah (wahai bulan).”

Riwayat al-Tirmizi (3451); Imam al-Tirmizi menilainya hasan gharib di dalam al-Jami‘ (5/447) pada sanadnya ada perawi bernama Sulaiman bin Sufyan al-Madini; dilemahkan oleh Imam Yahya bin Ma‘in dan Imam Abu Hatim al-Razi. Imam al-‘Uqaili menyatakan dalam al-Du‘afa’ al-Kabir (2/136) bahawa hadith atas ini merupakan hadith yang paling kuat berkenaan doa melihat hilal.

Manakala, ‘Abdullah bin ‘Umar RAnhuma pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW membaca:

اللَّهُ أكْبَرُ، اللَّهُمَّ أهِلَّهُ عَلَيْنا بالأمْنِ والإِيْمَانِ والسَّلامَةِ والإِسلامِ، وَالتَّوْفِيقِ لِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَى، رَبُّنا وَرَبُّكَ اللَّهُ

Maksudnya: “Allah Maha Besar. Ya Allah, jadikanlah bulan baharu ini penuh keamanan dan tetap di atas keimanan buat kami. Penuh kesejahteraan dan teguh di atas Islam buat kami; serta taufik ke arah jalan yang Engkau cintai dan redhai. Tuhan kami dan Tuhanmu adalah Allah (wahai bulan).”

Riwayat al-Darimi di dalam al-Musnad (1687); Ibn Hibban di dalam al-Sahih (888); al-Baihaqi di dalam al-Da‘awat al-Kabir (519); dinilai daif oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam al-Futuhat al-Rabbaniyyah (4/330), Syeikh al-Albani di dalam takhrij al-Kalim al-Tayyib (162) menilainya sahih kerana mempunyai banyak jalur sokongan.

Di dalam sebuah hadith mursal pula, diriwayatkan bahawa Qatadah bin Di‘amah al-Sadusi pula meriwayatkan secara balaghah bahawa Rasulullah SAW menyebutkan:

هِلالٌ خَيْرٍ وَرُشْدٍ، هِلالُ خَيْرٍ وَرُشْدٍ، هِلالُ خَيْرٍ وَرُشْدٍ، آمَنْتُ بالله الَّذي خَلَقَكَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي ذَهَبَ بِشَهْرِ كَذَا وجَاءَ بِشَهْرِ كَذَا

Maksudnya: “Anak bulan yang bakal membawa kebaikan dan petunjuk. Anak bulan yang bakal membawa kebaikan dan petunjuk. Anak bulan yang bakal membawa kebaikan dan petunjuk. Aku beriman kepada Allah yang menciptakanmu. Segala puji bagi Allah yang mengakhirkan bulan lepas (misalnya: Zulhijjah) dan mendatangkan bulan ini (misalnya: Muharram tahun baru).”

‘Abd al-Razzaq di dalam al-Musannaf (7353); Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf (30368); Imam Abu Daud di dalam al-Marasil (532) menyatakan bahawa hadith ini hanya sahih sebagai riwayat mursal Tabi‘in sahaja, adapun sanad yang muttasil pula adalah tidak sahih.

Adapun dalil yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW turut berdoa ketika masuk Tahun Baharu adalah riwayat mauquf daripada ‘Abdullah bin Hisyam RA bahawa:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَعَلَّمُونَ هَذَا الدُّعَاءُ كَمَا يَتَعَلَّمُونَ الْقُرْآنَ إِذَا دَخَلَ الشَّهْرُ وَالسَّنَةُ: اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ وَجِوَارٍ مِنَ الشََّيْطَانِ وَرِضْوَانٍ مِنَ الرَّحْمَنِ

Maksudnya: “Para Sahabat Rasulullah SAW sentiasa mengajar doa ini sepertimana mereka mengajar surah-surah daripada al-Quran, iaitu doa ketika masuk bulan baharu dan tahun baharu: Ya Allah, masukkanlah kami ke dalamnya dengan keimanan dan kesejahteraan jua Islam, jauhkan kami daripada syaitan, dan limpahkan kami keredhaan Tuhan yang Maha Pengasih.”

Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu‘jam al-Ausat (6241); Isma‘il al-Asbahani di dalam al-Targhib wa al-Tarhib (1291); al-Khatib al-Baghdadi di dalam al-Muttafiq wa al-Muftariq (862); menepati syarat sahih di sisi al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah (2/378), dinilai hasan oleh Imam al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (10/139). Imam al-Asbahani dan al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan hadith menerusi jalur ‘Abdullah bin al-Sa’ib al-Ghifari RA.

Seyogianya kita mengamalkan doa-doa sunnah yang ma’thur di atas, kemudian bolehlah menambah apa-apa sahaja doa kebaikan dan keberkatan yang dicadangkan oleh para ulama dan orang-orang soleh ketika Awal Tahun dan Akhir Tahun.

  1. Menghayati Sejarah Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW

Sambutan Maal Hijrah wajiblah digunakan sebaiknya untuk menyebarkan pembudayaan Sirah Nabawiah dalam kalangan masyarakat. Ajarlah Sirah Nabi khususnya peristiwa Hijrah Baginda ke kota al-Madinah al-Munawwarah. Kisah dan cerita ini wajib diketahui oleh sekalian umat Islam. Para Salaf amat mementingkan penceritaan Sirah Nabi kepada anak-anak mereka. Sambutan ini mesti dimanfaatkan untuk tujuan tersebut.

Ilmu Sirah sama pentingnya dengan ilmu al-Quran di sisi para Imam Salaf dan Ahli al-Bait Rasulullah SAW. Imam al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan menerusi sanadnya daripada Imam ‘Ali bin al-Husain bin ‘Ali bin Abi Talib mengatakan bahawa:

كُنَّا نُعَلَّمُ مَغَازِيَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسَرَايَاهُ كَمَا نُعَلَّمُ السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Kami (para Salaf dan Ahli al-Bait Rasulullah) mengajar anak kami ilmu Sejarah Nabi Muhammad SAW sepertimana kami mengajar anak kami untuk membaca surah-surah daripada al-Quran.” (Lihat al-Jami‘ li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami‘ oleh al-Khatib al-Baghdadi, 2/195)

Ilmu Sejarah Rasulullah SAW merupakan kunci kemuliaan dan kegemilangan serta kemajuan duniawi dan ukhrawi. Imam Ibn Syihab al-Zuhri rahimahullah mengungkapkan bahawa:

عِلْمُ الْمَغَازِي وَالسَّرَايَا عِلْمُ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Maksudnya: “Ilmu Sejarah (antaranya informasi tentang pertempuran dan peperangan) Nabi SAW adalah ilmu (yang penting) untuk (kebaikan) dunia dan akhirat.” (Lihat Hada’iq al-Anwar oleh Muhammad bin ‘Umar al-Himyari al-Syafi‘i, 1/8; al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir al-Dimasyqi al-Syafi‘i, 3/241)

Seharusnya, kita menggiatkan usaha penyebaran ilmu Sirah terutamanya kisah Hijrah Rasulullah ketika Sambutan Maal Hijrah sekaligus mengambil pedoman dan iktibar daripadanya, supaya membentuk jatidiri Muslim dan Mukmin yang terbaik, cemerlang, progresif, kompeten dan berdaya saing sepertimana anjuran Sunnah Nabawi.

  1. Menghayati Kehendak Saidina‘Umar bin al-Khattab

Apabila Saidina Umar pada zaman pemerintahannya ingin menentukan tarikh Islam, beliau membuka cadangan kepada para Sahabat. Ada yang ingin memilih tarikh Maulidur Rasul, dan ada lagi pendapat yang lain. Tiba-tiba, seorang mengemukakan tarikh berdasarkan Hijrah Nabi SAW dan ia menarik minat Saidina Umar kerana alasannya, Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dengan kebatilan. Di situ juga, umat Islam merdeka daripada belenggu cengkaman Musyrikin Mekkah. Begitu juga, Rasulullah SAW boleh membina Negara Islam mengikut acuan Mardhatillah dan menjadi contoh kepada ummah selepasnya dalam membentuk Daulah Islamiyyah yang dikenali sebagai Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur.

Segala hukum–hakam Islam dapat dipraktiskan daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada pemerintahan yang bukan semata-mata teori tetapi tatbiqi dan perlaksanaan.

Kesimpulan: Maal Hijrah Sesuai Sunnah

Kesimpulannya yang hendak kami tegaskan di sini, meraikan kedatangan tahun Hijrah atau peristiwa Maal Hijrah perlulah menuruti pedoman Sunnah Rasulullah SAW di dalam hadith-hadith dan pedoman para ulama Salafussoleh yang diriwayatkan kepada kita seperti yang telah dinyatakan iaitu mengamalkan pembacaan doa Sunnah yang khusus ketika melihat anak bulan, memperbanyakkan doa memohon kebaikan, seterusnya menghayati peristiwa Hijrah Rasulullah dengan istiqamah mempelajari Sirah baginda, dan menanam azam menjadi seorang Muslim yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Di samping itu, kami mencadangkan agar majlis sambutan Maal Hijrah diisi dengan program merancakkan majlis-majlis pembelajaran al-Quran dari sudut Tajwid mahupun Tadabbur, disuburkan dengan majlis-majlis penghayatan Hadith-Hadith Nabawi, majlis penghayatan Ilmu Sirah Rasulullah di samping majlis qasidah, nyanyian nasyid dan hiburan alternatif Islami. Kita merupakan umat ilmu dan amal, bukan sekadar umat berpesta suka-ria dan mengenang peristiwa.

Alhamdulillah, kita melihat Jabatan-jabatan Agama Negeri di peringkat negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di peringkat pusat menganjurkan model sambutan Maal Hijrah yang begitu baik dan cemerlang setiap kali menjelang tarikh sambutannya pada Awal Muharram. Bentuk sambutan tersebut sewajarnya diraikan, dimartabatkan, diteruskan dan dicontohi.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ يا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّت قَلْبي على دِينكَ

Maksudnya: “Wahai Allah! Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati (menguasainya), teguhkan hatiku di atas agama-Mu (Islam).”

Wallahu a‘lam.