#7202: Keluarga Terlibat LGBT

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Macam mana cara kita nak berhadapan dengan ahli keluarga kita yang amalkan LGBT? Apa yang patut saya lakukan untuk menyelamatkan mereka?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Untuk menjawab isu yang sensitif dan krisis semakin meruncing ini, kami bawakan firman Ilahi sebagai pedoman dan garis panduan mendepani isu-isu kritikal yang melanda kita. Allah SWT bertitah di dalam al-Quran:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ (80)

Maksudnya: “(Nabi Lut AS berkata:) Sesungguhnya kalian ini (lelaki kaum Sodom) menggauli lelaki untuk memenuhi syahwat seksual kalian berbanding kaum wanita. Bahkan kalian ini merupakan kaum yang melampaui batas.”

(Surah al-A‘raf: 81)

Kaum yang pertama membudayakan dan memasyhurkan amalan LGBT adalah kaum Sodom yang merupakan kaum Nabi Lut AS. Baginda menyeru agar mereka meninggalkan perbuatan tersebut khususnya perbuatan homoseksual dan lesbian. Imam Ibn ‘Atiyyah rahimahullah berkata menjelaskan konteks ayat di atas:

“Dan perkataan al-fahisyah yang digunakan di sini bermaksud: perbuatan homoseksual, hubungan sejenis antara lelaki yang menyetubuhi dubur lelaki lain. Diriwayatkan bahawa maksiat ini tidak pernah dilakukan oleh umat-umat sebelumnya.

al-Qadhi Abu Muhammad rahimahullah berkata: Sekalipun lafaz zahir ayat menyatakan sedemikian, namun ayat tersebut juga mempunyai kebarangkalian ia bermakna: “Tiada yang melazimi, membiasakan atau mempopularkan amalan ini sebelum kalian.” Diriwayatkan bahawa mereka (kaum Sadum) menggauli sesama jenis sesama mereka, diriwayatkan juga bahawa mereka hanya menggauli orang asing yang bertandang ke wilayah mereka sepertimana yang dinyatakan oleh Hasan al-Basri. ‘Amru bin Dinar berkata: Tiada lelaki yang menyetubuhi lelaki lain sebelum kaum Nabi Lut AS.” (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 2/424)

Berhubung dengan soalan di atas, kita nyatakan bahawa sekiranya ada ahli keluarga yang terlibat dengan budaya LGBT. Wajiblah ke atas mereka terutamanya wali seperti bapa, anak lelaki dalam keluarga untuk mencegah kemungkaran tersebut. Amar makruf dan nahi mungkar adalah suatu kewajiban terutamanya bagi umat Rasulullah SAW yang merupakan umat terbaik (Khayra Ummah). Allah SWT berfirman:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةࣱ یَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَیۡرِ وَیَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada dalam kalangan kalian sebuah kelompok yang mengajak manusia ke arah kebaikan, menyeru kepada makruf serta mencegah kemungkaran. Dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.”

(Surah Ali ‘Imran: 104)

Imam Jalaluddin al-Suyuti menafsirkan ayat di atas, mengungkapkan bahawa:

“[Dan hendaklah ada dalam kalangan kalian sebuah kelompok yang mengajak manusia ke arah kebaikan] iaitu: agama Islam [menyeru kepada makruf serta mencegah kemungkaran. Dan mereka itulah] iaitu golongan yang mengajak dan mengarahkan serta menghalang [ orang-orang yang beroleh kejayaan.] iaitu: kemenangan. Manakala perkataan min (مِنْ) dalam ayat di atas mengsiayaratkan kepada al-tab‘idh iaitu sebahagian; maksudnya, tugas ini adalah fardu kifayah ke atas sebahagian umat Islam, tidak wajib bagi semua umat melaksanakannya, dan bukan semua orang Muslim layak melaksanakannya seperti orang yang jahil.” (Lihat Tafsir al-Jalalain, hlm. 81)

Ayat di atas meskipun merupakan suatu fardu kifayah kepada umat Islam. Namun, kewajiban amar makruf dan nahi mungkar ini lebih ditegaskan lagi apabila berkaitan ahli keluarga. Wali tetap wajib melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap ahli keluarganya. Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ قُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِیكُمۡ نَارࣰا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَیۡهَا مَلَـٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظࣱ شِدَادࣱ لَّا یَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَاۤ أَمَرَهُمۡ وَیَفۡعَلُونَ مَا یُؤۡمَرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, jauhkanlah diri kalian dan ahli keluarga kalian daripada api neraka, yang bahan bakarnya merupakan manusia dan batu-bata. Di dalamnya ada malaikat yang kadar lagi bengis, mereka tidak akan pernah mengingkari suatu pun arahan Allah dan akan sentiasa taat melaksanakan apa sahaja (azab) yang diarahkan.”

(Surah al-Tahrim: 6)

Berdasarkan ayat di atas, seorang wali dan pemimpin rumahtangga terutamanya wajib untuk melarang ahli keluarganya daripada melakukan sebarang dosa, maksiat, kejahatan dan apa sahaja keburukan. Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata:

“[Hindarilah juga keluarga kalian dari api neraka] iaitu: arahkan mereka melaksanakan kebaikan dan larang mereka daripada melakukan keburukan. Ajari mereka, dan adabkan mereka. Semua itu menjauhkan mereka daripada seksaan azab api neraka.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/169)

Teguran dan nasihat ini mestilah dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan dan nasihat-nasihat yang baik. Jika perlu membantah alasan dan logik yang mereka berikan, jelaskanlah bantahan dengan fakta dan hujah yang terbaik. Allah SWT berfirman:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِیلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِیلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan serta kata-kata nasihat yang baik. (Jika perlu) maka berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu itu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang sesat daripada jalan-Nya dan Dia jua yang lebih mengetahui tentang siapakah golongan yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Nahl: 125)

Ketika menafsirkan ayat di atas, Imam al-Baidhawi mengajar kepada kita tentang metode berdakwah dan menyeru manusia ke arah kebenaran serta kebaikan. Beliau berkata:

“[Serulah] kaum yang kamu diutuskan kepada mereka [ke jalan Tuhanmu] iaitu kepada agama Islam [dengan kebijaksanaan] iaitu kata-kata yang penuh hikmah, bijak dan tepat iaitu dalil yang jelas ke arah kebenaran yang memuaskan dan menghilangkan segala syubhat. [dan kata-kata nasihat yang baik] iaitu kata-kata dan slogan yang memuaskan, memujuk serta ungkapan yang bermanfaat, membawa kebaikan. Yang pertama (hikmah) adalah khusus untuk berdakwah kepada golongan cerdik pandai yang mencari kebenaran manakala cara kedua (kata-kata baik) adalah khas kepada orang awam [dan berdebatlah dengan mereka] iaitu berdebatlah dengan orang yang masih lagi berdegil selepas itu [dengan cara yang terbaik] iaitu dengan cara debat yang terbaik, berupa kelembutan, kesantunan, riak wajah yang tenang dan mendamaikan, menggunakan kaedah-kaedah penghujahan yang paling berkesan untuk memuaskan hati mereka dan menghilangkan kekusutan mereka.” (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 3/245)

Mulakan dengan teguran yang lembut dan baik. Kebanyakkan orang yang terlibat dengan LGBTQ+ adalah orang-orang yang tidak mengetahui dan kurang penguasaan ilmu pengetahuan. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

أَىِٕنَّكُمۡ لَتَأۡتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهۡوَةࣰ مِّن دُونِ ٱلنِّسَاۤءِۚ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡمࣱ تَجۡهَلُونَ

Maksudnya: “(Nabi Lut AS berkata:) Sesungguhnya kalian ini (lelaki kaum Sodom) menggauli lelaki untuk memenuhi syahwat seksual kalian berbanding kaum wanita. Bahkan kalian ini merupakan kaum yang bodoh lagi enggan mendengar sebarang nasihat.”

(Surah al-Naml: 55)

Kebanyakkan pengamal LGBT adalah orang yang tidak berilmu dan jahil tentang hakikat amalan yang mereka laksanakan. Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata di dalam Tafsir menegaskan pernyataan ini:

“Firman-Nya: [Bahkan kalian ini merupakan kaum yang bodoh lagi enggan mendengar sebarang nasihat] Tidaklah kalian melakukan perbuatan (lesbian dan homoseksual) ini melainkan kerana kalian kaum yang bodoh lagi jahil, tidak tahu mengagungkan hak Allah ke atas kalian, lantas kalian menyelisihi dan mengingkari arahan-Nya, dan memaksiati Rasul-Nya.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 19/481)

Kami sarankan di sini beberapa noktah untuk diikuti:

  • Hendaklah kita memahami maksud sebenar LGBT serta implikasi buruk yang akan menimpa kepada pengamal LGBT ini.
  • Seboleh-bolehnya tanyalah kepada mereka yang benar-benar menjadi kaunselor atau terlibat secara langsung dalam merawat mereka yang terdiri daripada LGBT
  • Bergaullah dengan golongan LGBT yang telah kembali ke pangkal jalan untuk mendapat sebahagian tips-tips mereka sehingga mereka boleh berhijrah dan berubah kepada fitrah yang asal. Ini amat banyak manfaatnya.
  • Gunalah secara berhemah dan berhikmah dalam mendepani mereka yang terpengaruh dan terlibat dengan LGBT kerana jiwa mereka terlalu halus dan amat lemah. Mereka sentiasa merasakan diri mereka tersalah yang sepatutnya mereka adalah wanita atau sebaliknya.
  • Jangan biarkan mereka dalam ilusi mereka dan fatamorgana yang hanya menjarakkan diri mereka daripada kita tetapi sebaliknya sentiasa memberi hujahan yang terbaik serta berlemah-lembut dengan solusi yang dapat menjinakkan hati mereka.
  • Jarakkan mereka dari bergaul dengan sesama LGBT yang lain kerana seolah-olah mereka akan mempunyai kekuatan apabila bersama dengan mereka yang seumpamanya sehingga membutakan mereka kebenaran dan merasakan mereka di pihak yang sebenar.
  • Terdapat banyak kisah-kisah golongan ibu bapa yang mana anak-anaknya terlibat dengan LGBT sekalipun mereka bukan Islam amat tidak selesa dan redha dengan apa yang berlaku kepada anak-anak mereka. Hujah mereka adalah amat jelas kerana menyalahi fitrah dan sunnatullah yang Allah ciptakan. Dengan cara itu, sudah tentu memberi semangat kepada kedua ibu bapa dan keluarga memainkan peranan dalam menyadarkan kaum keluarga yang terbabit dengan LGBT. Ingatlah mereka sejuzuk daripada kita yang telah tergelincir daripada landasan dek kerana salahfaham berkenaan erti kehidupan sebenar sebagai khalifah Allah di muka bumi.
  • Ubah kehidupan mereka seperti ajaklah mereka untuk beribadat kepada Allah terutamanya solat kerana kesan solat terutamanya apabila dilakukan secara berjemaah boleh mencegah kemungkaran. Benarlah firman Allah SWT:

ٱتۡلُ مَاۤ أُوحِیَ إِلَیۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَاۤءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ

Maksudnya: “Bacalah apa yang kami wahyukan kepadamu berupa al-Kitab dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah kekejian dan kemungkaran. Mengingati Allah itu merupakan ibadah yang terbesar. Dan Allah Maha Mengetahui segala apa yang kalian lakukan.”

(Surah al-‘Ankabut: 45)

Imam Ibn Juzai al-Kalbi berkata ketika menafsirkan ayat di atas:

“[Sesungguhnya solat itu mencegah kekejian dan kemungkaran] apabila seseorang yang bersolat itu melaksanakannya dengan khusyuk, mengingati keagungan Allah yang mana dia sedang berdiri menghadap=Nya, maka ia akan mendorong dirinya untuk bertaubat dengan taubat nasuha yang membersihkan dirinya daripada segala kekejian dan kemungkaran. Solatnya menjadi pencegah bagi segala keburukan itu.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, )

Kesimpulannya, kita wajib mengajak mereka kembali kepada jalan fitrah dengan segenap cara dan upaya. Mulakan dengan sentiasa berusaha menjadi pendamping, pembantu dan pendorong mereka untuk berubah dan kembali kepada fitrah yang suci. Seimbangkan pendekatan lembut dan peringatan tegas. Beri kesedaran medikal dan kesihatan tentang bahayanya aktiviti yang mereka sedang lakukan tersebut. Beri nasihat yang seimbang antara galakan dan ancaman. Sekiranya mereka sudah sampai kepada tahap mengundang kemudaratan, perlulah dielak dan dicegah sebarang interaksi yang berbahaya bersama mereka.

Hal ini kerana, keburukan seperti penyakit dan maruah yang tercalar adalah lebih jelas dan tinggi kesannya (rajihah) berbanding kebarangkalian untuk keinsafan dirinya memutik dan kembalinya dirinya ke arah fitrah dan kebaikan. Ia lebih sukar dan berstatus marjuhah. Yang jelas mesti diutamakan; yang rajihah mesti diutamakan berbanding marjuhah. berdasarkan kaedah Fiqh yang menyebutkan:

أَنَّ دَرْءَ الْمَفَاسِدِ الرَّاجِحَةِ عَلَى الْمَصَالِحِ الْمَرْجُوحَةِ مَحْمُودٌ حَسَنٌ

Maksudnya: “Adalah jauh lebih terpuji dan terbaik, untuk kita menolak keburukan yang nyata berbanding memilih kebaikan yang bersifat kebarangkalian semata.” (Lihat Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam oleh Sultan al-‘Ulama; al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam, 1/5)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهمَّ جنِّبْني مُنكَراتِ الأخلاقِ والأهواءِ والأسواءِ والأدواءِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada keburukan akhlak, hawa nafsu, perangai buruk dan segala penyakit.”

Wallahu a‘lam.