#7203: Calar Kereta Orang, Tidak Sempat Minta Maaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Apa hukum jika kita membuka pintu kereta sehingga terkena kereta sebelah dan ada kesan goresan sedikit. Walaubagaimanapun kita tidak sempat berjumpa pemilik kenderaan utk meminta maaf. Dan kita juga tidak mengenali pemilik kenderaan tersebut. Apa yang patut kita lakukan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan dengan menukilkan Kalam Ilahi di dalam kitab-Nya nan suci. Allah SWT berfirman:

 إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَـٰنِ وَإِیتَاۤىِٕ ذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَیَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَاۤءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡیِۚ یَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengarahkan kalian agar berlaku adil dan baik, serta memberi kepada kaum kerabat, dan mencegah keburukan dan kemungkaran serta kezaliman. Dia menasihati kalian supaya kalian sentiasa dalam keadaan beringat.”

(Surah al-Nahl: 90)

Imam al-Nasafi berkata ketika menafsirkan ayat di atas:

“[Sesungguhnya Allah mengarahkan kalian agar berlaku adil] dengan mengagihkan hak secara sama rata dalam kalangan kalian, meninggalkan kezaliman, memberi hak kepada setiap pihak dan kelompok yang berhak mendapatkannya.” (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 2/229)

Oleh yang demikian, orang yang mengalami kerosakan barang berhak mendapat ganti rugi berupa bayaran sama nilai atau barang tersebut secara sama; daripada orang yang menyebabkan kerosakan tersebut. Ini merupakan hak dirinya yang wajib dipenuhi. Setiap kerosakan, mesti dijamin dan dibayar ganti rugi.

Jaminan dan bayaran pampasan ini dipanggil sebagai al-Dhaman (الضَّمَانُ) di sisi syariat Islam. Dalil pensyariatannya sebelum bertunjangkan dalil al-Ijma‘ adalah berdasarkan hadith Saidina Abu Umamah al-Bahili RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْعَارِيَةُ مُؤَدَّاةٌ، وَالزَّعِيمُ غَارِمٌ، وَالدَّيْنُ مَقْضِيٌّ.

Maksudnya: “Orang yang meminjam, wajib memulangkan pinjaman. Orang yang menjamin wajib membayar wang jaminannya. Orang yang berhutang wajib bayar hutang.”

Riwayat Abu Daud (3565); al-Tirmizi (1265); Ibn Majah (3405); dinilai hasan oleh Imam al-Tirmizi sendiri di dalam al-Jami‘ (2/544), juga dinilai hasan oleh Imam Ibn al-Mulaqqin di dalam al-Badr al-Munir (6/707). Dinilai salih oleh Imam Abu Daud di dalam al-Sunan (5/417); kerana perawi bernama Isma‘il ibn ‘Ayyasy yang asalnya begitu lemah namun dinilai hasan al-hadith apabila meriwayatkan hadith ahli Syam, Ahmad bin Hanbal dan al-Bukhari menerimanya. (Lihat al-Sunan al-Kubra, 1/89)

Perkara ini juga pernah dilakukan oleh Junjungan Besar, Rasulullah SAW. Saidina ‘Abdullah bin ‘Abbas RAnhuma pernah meriwayatkan bahawa:

أَنَّهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – تَحَمَّلَ عَنْ رَجُلٍ عَشَرَةَ دَنَانِيرَ

Maksudnya: “Baginda SAW pernah membayar jaminan pampasan untuk seorang lelaki dengan nilai harga sebanyak 10 dinar.”

Riwayat Abu Daud (3327); Ibn Majah (2406); dinilai sahih dan maqbul di sisi fuqaha’, dinilai sedemikian oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari di dalam Asna al-Matalib (4/583) dan Imam Ibn al-Mulaqqin di dalam Tuhfah al-Muhtaj (2/269).

Berdasarkan hadith di atas, Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menafsirkan al-Dhaman sebagai:

“Takrif al-Dhaman dari sudut bahasa bermaksud iltizam, sesuatu yang wajib dan lazim berlaku. Manakala dari sudut istilah syarak pula, ia bermaksud: sebuah tuntutan persis hutang yang sabit pada tanggungan orang lain atau kewajiban mendatangkan apa sahaja barangan yang dijamin atau bahagian sesiapa yang berhak untuk memperolehnya.” (Lihat Fath al-‘Allam Syarh Ahadith al-Ahkam, hlm. 466)

Bagi menjawab persoalan di atas, apabila berlaku suatu kerosakan, pihak yang menyebabkan kerosakan atau kerugian wajib untuk membayar ganti rugi. Bayaran pampasan ganti rugi disebabkan kerosakan ini dipanggil sebagai dhaman itlaf atau dhaman bi al-itlaf dari perspektif Fiqh.

Semua ini wajib dilaksanakan meskipun kita tidak mengenali siapakah individu tersebut, atau tidak sempat berjumpa secara berhadapan dengan individu tersebut.

Para fuqaha dan ashab al-wujuh dalam kalangan ulama al-Syafi‘iyyah seperti Imam Abu al-Hasan al-Mawardi, Imam Abu al-Mahasin al-Ruyani dan Imam Abu al-Khair al-Imrani menaskan bahawa ganti rugi tetap wajib dibayar meskipun kerosakan tersebut terjadi hasil kerana tersilap atau tidak sengaja. (Lihat al-Hawi al-Kabir oleh al-Mawardi, 17/270; Bahr al-Mazhab oleh al-Ruyani, 14/377; al-Bayan Syarh al-Muhazzab oleh al-‘Imrani, 6/127)

Oleh yang demikian, Imam Ibn al-Rif‘ah rahimahullah dalam kalangan muhaqqiqin menyimpulkan dengan berkata di dalam Syarah al-Tanbih:

“Begitu juga tiada beza dengan apa yang kami nyatakan di atas berupa kewajiban membayar denda jika pelaku mengatakan: Kami sengaja berbohong atau kami tersilap; hal ini kerana pembayaran pampasan ganti rugi terhadap harta adalah tidak berbeza hukumnya antara sengaja dengan tersilap. Kedua-duanya melazimkan wajib bayar ganti rugi.” (Lihat Kifayah al-Nabih Syarh al-Tanbih, 19/288)

Tuntasnya, perbuatan merosakkan harta benda orang lain dipanggil sebagai al-Itlaf dan diwajibkan untuk memberikan al-dhaman bil itlaf (الضَّمَانُ بِالْإِتْلَافِ: bayaran ganti rugi atas kerosakan). Anda wajib meletakkan atau meninggalkan sebarang tulisan berisi maklumat diri seperti nombor telefon untuk tuan punya kereta yang tercalar menghubungi anda bagi meneruskan tindakan selanjutnya dan berhubung mengenai tuntutan ganti rugi walau sedikit jumlahnya. Jika dia memaafkan dan merelakan, barulah tuntutan tersebut gugur daripada anda dan anda berdua beroleh ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Begitu juga kita hendaklah beristighfar untuknya dan untuk kita di samping bersedekah bagi pihaknya mengikut kesesuaian jumlah nilai kerosakan. Banyakkan berdoa kepada Allah seperti:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَاۤ إِن نَّسِینَاۤ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَیۡنَاۤ إِصۡرࣰا كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَاۤۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami atas perkara yang kami lupa atau perkara yang kami silap. Wahai Tuhan kami, janganlah engkau berikan beban kepada kami sepertimana yang telah ditimpakan ke atas umat-umat yang terdahulu sebelum kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau uji kami dengan perkara yang kami tidak mampu. Ampunkan kami dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami maka menangkan kami ke atas orang yang kafir.”

Wallahu a‘lam.