#7207: Sudah Qada’ Solat, Masih Diazab?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Kita sudah melaksanakan qadha’ solat. Adakah di akhirat nanti, Kita akan masih diseksa?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kewajiban mengqadha’ solat-solat fardhu ditegaskan di sisi nas-nas syarak bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Perkara ini merupakan persepakatan majoriti (jumhur) para fuqaha keempat-empat mazhab. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran al-Karim:

إِنَّنِیۤ أَنَا ٱللَّهُ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّاۤ أَنَا۠ فَٱعۡبُدۡنِی وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكۡرِیۤ

Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan selain Aku maka sembahlah Daku sahaja dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

(Surah Taha: 14)

Ayat Quran di atas ini ditafsirkan oleh baginda Rasulullah SAW sendiri sebagai kewajiban untuk segera melaksanakan solat fardu yang pernah ditinggalkan apabila kembali mengingatinya.

Membayar hutang solat-solat yang pernah ditinggalkan (Qadha’ Solat) merupakan suatu kefarduan dan kewajiban hutang kepada Allah SWT yang wajib dilangsaikan. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلاةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ ﴿وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي﴾

Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa dan tertinggal solat, maka hendaklah dia melaksanakan solat tersebut sejurus sahaja mengingatinya. Tiada penebus baginya selain itu. Allah SWT berfirman (yang bermaksud): “Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” [Surah Taha: 14].

Riwayat al-Bukhari (597); Muslim (684)

Imam Abu Ibrahim al-Muzani menukilkan nas Imam al-Syafi’i yang berdalilkan hadith di atas ini, Imam al-Syafi’i berkata: “Seseorang yang meninggalkan solat, hendaklah dia mengqadha’ solat tersebut pada mana-mana waktu, tiada waktu larangan untuk melaksanakan solat qadha’ berdasarkan hadith di atas ini.” (Lihat Mukhtasar al-Muzani, hlm. 113)

 ‘Abdullah bin ‘Abbas RAnhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَتى رَجُلٌ النبيَّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ فَقالَ له: إنَّ أُخْتي قدْ نَذَرَتْ أنْ تَحُجَّ، وإنَّها ماتَتْ، فَقالَ النبيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ: لو كانَ عَلَيْها دَيْنٌ أكُنْتَ قاضِيَهُ قالَ: نَعَمْ، قالَ: فاقْضِ اللَّهَ، فَهو أحَقُّ بالقَضاءِ

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata kepada baginda: Sesungguhnya saudara perempuanku telah bernazar untuk melaksanakan Haji kemudian dia meninggal dunia.” Kemudian bertanya: “Sekiranya dia mati dalam keadaan meninggalkan hutang, apakah engkau wajib melunaskannya?” Lelaki itu berkata: “Ya.” Nabi SAW menjawab: “Maka lunaskanlah hutang dengan Allah, hutang tersebut lebih besar dan utama untuk dipenuhi dan dilunaskan.”

Riwayat al-Bukhari (6699)

Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa jika seseorang sudah menqadha’ solat yang pernah dia tinggalkan, maka dia mendapat pahala melaksanakan solat qadha’ itu dan terangkatlah sebarang tuntutan hutang solat tersebut daripadanya. Hal ini berdasarkan keumuman nas syarak yang menyatakan bahawa setiap amal ibadat pasti akan diganjarkan dan tidak sia-sia. Allah SWT berfirman:

وَمَا یَفۡعَلُوا۟ مِنۡ خَیۡرࣲ فَلَن یُكۡفَرُوهُۗ وَٱللَّهُ عَلِیمُۢ بِٱلۡمُتَّقِینَ

Maksudnya: “Dan setiap kebaikan yang kalian lakukan pasti tidak akan disia-siakan atau dilupakan begitu sahaja, dan Allah Maha Mengetahui tentang keadaan orang-orang yang bertakwa.”

(Surah Ali ‘Imran: 115)

Ayat di atas menegaskan bahawa setiap amal ibadah pasti ada pahalanya. al-Qadhi Imam Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i mengatakan ketika menafsirkan ayat di atas:

“Makna ayat di atas: setiap perbuatan yang kalian lakukan berupa amal kebaikan, maka ganjarannya tidak akan luput, bahkan akan diberikan sebagai balasan kebaikan kalian, dan akan diganjarkan dengan ganjaran yang sama baik.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/94)

Dalam masa yang sama, setiap kebaikan adalah penghapus kepada keburukan dan kejahatan sebelumnya, terutamanya amalan Solat. Ibadah Solat menghapus dosa-dosa dengan begitu berkesan sekali sepertimana yang Tuhan telah janjikan. Allah SWT berfirman:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَیِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفࣰا مِّنَ ٱلَّیۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَـٰتِ یُذۡهِبۡنَ ٱلسَّیِّـَٔاتِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّ ٰ⁠كِرِینَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah solat pada dua kemuncak siang serta beberapa waktu pada malam hari; sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu menghapus kejahatan-kejahatan. Demikianlah ingatan buat orang yang sentiasa mahu mengambil peringatan.”

(Surah Hud: 114)

Imam al-Syaukani ketika mengulas tentang ayat di atas ini, menukilkan tafsiran para Salaf menerangkan makna amalan kebaikan yang menghapuskan keburukan, kata beliau:

“Ibn Jarir (al-Tabari), Muhammad bin Nasr (al-Marwazi), Ibn Mardawayh meriwayatkan (menerusi sanad mereka sehingga kepada) Ibn Mas‘ud berkenaan tafsiran firman Allah: إِنَّ ٱلۡحَسَنَـٰتِ یُذۡهِبۡنَ ٱلسَّیِّـَٔاتِۚ [Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu menghapus kejahatan-kejahatan.] Mereka menafsirkan: (Kebaikan itu adalah) solat lima waktu.” (Lihat Fath al-Qadir, 2/604)

Namun, turut wajib diingatkan di sini bahawa, jika dia tertinggal solat tersebut tanpa sebarang keuzuran, maka dia turut mendapat dosa atas kesalahannya tersebut iaitu solat di luar waktu. Allah SWT mewajibkan kita untuk solat tepat pada ruang waktu yang telah ditetapkan. Firman-Nya:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِینَ كِتَـٰبࣰا مَّوۡقُوتࣰا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman dengan ketetapan waktu yang telah ditetapkan.”

(Surah al-Nisa’: 103)

Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi menjelaskan ayat di atas:

“[Sesungguhnya solat itu diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman dengan ketetapan waktu yang telah ditetapkan] iaitu waktu-waktu yang diwajibkan, Zaid bin Aslam berkata: mauquta bermaksud munajjama iaitu telah ditetapkan titik masanya (durasi masa bagi sesebuah solat), perlu dilaksanakan pada titik masa yang telah diarahkan. Maksud ayat ini di sisi ahli Bahasa: (Solat itu) diwajibkan untuk dilaksanakan pada waktunya, apabila sesuatu itu telah ditetapkan masa atau waktunya yang khusus, maka ia bersifat mauqut atau mu’aqqat. Ini merupakan tafsiran Zaid bin Aslam.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/374)

Menunaikan solat di luar waktu tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan syarak adalah suatu dosa dan kemaksiatan terhadap Allah SWT. Seseorang yang telah melaksanakan solat qadha’ pun, dosa menunaikan solat di luar waktu masih ada pada dirinya, melainkan jika Allah berkehendak untuk mengampunkan dirinya.

Kesimpulannya, orang yang menunaikan solat di luar waktu secara qadha’ telah mengangkat kewajiban solat tersebut dan beroleh pahala solat itu, namun jika dirinya melewatkan solat hingga melaksanakannya di luar waktu dengan sengaja, dia akan mendapat dosa menunaikan solat di luar waktu. Adapun azab Tuhan, ia tertakluk kepada kehendak Allah sendiri. Jika Dia berkehendak untuk mengazab, Dia laksanakan. Jika Allah berkehendak untuk mengampunkan dan memaafkan, maka Dia akan laksanakan sedemikian. Ingatlah bahawa Allah Maha Penyayang lagi Maha Pengampun. Namun, ingatlah jua bahawa Dia Maha Melihat dan Menilai. Azab-Nya amat pedih dan begitu dahsyat bagi orang yang ingkar.

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman yang baik serta kefaqihan dalam beragama kepada kita semua. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى شُكْرِكَ، وَذِكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, bantulah kami untuk mensyukuri nikmat-Mu, sentiasa mengingati-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan cara yang terbaik.”

Riwayat Ahmad (7969)

Wallahu a‘lam.