#7218: Bila Waktu Bersyukur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah kita semestinya bersyukur kepada Allah SWT mengikut pandangan Imam al-Ghazali?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

Maksudnya: “Dan sememangnya sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.”

(Surah Saba’: 13)

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab:

يَا عَائِشَةُ أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

Maksudnya: “Wahai Aisyah! Apakah tidak patut aku ini menjadi seorang hamba yang bersyukur?”

Ibn Battal berkata: Dalam hadith ini terdapat keterangan bahawa seseorang boleh memilih ibadah yang berat, walaupun memberi kesan buruk pada badannya. Ini kerana apabila Nabi SAW melakukan hal itu sedangkan Baginda telah mengetahui bahawa dosanya akan diampuni, lalu bagaimana dengan seseorang yang belum tahu akhir hidupnya, lebih-lebih lagi mereka yang belum ada jaminan bahawa dia bukan penghuni neraka.” Akan tetapi, hal ini harus difahami jika tidak menimbulkan kebosanan kerana keadaan Nabi SAW adalah paling sempurna sehingga Baginda SAW tidak merasa bosan dalam beribadah kepada Tuhannya meskipun hal itu memberi kesan buruk bagi dirinya. (Lihat Fath al-Bari, 6/230)

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Ghazali berkata: Maka ketahuilah, bahawa kita wajib bersyukur ketika kita memperolehi kenikmatan agama dan duniawi, sesuai dengan kadar kedua-duanya.

Manakala, bila mana kita ditimpa kesulitan hidup dan musibah di dunia seperti terhadap diri, keluarga atau harta, maka sebahagian berpendapat bahawa adakah hamba itu perlu bersyukur ke atasnya?

Sebahagian mereka berkata: Tidak diharuskan bersyukur atas musibah itu, tetapi ia harus bersabar menghadapinya. Adapun, syukur itu hanyalah adalah terhadap nikmat tidak kepada yang lain. Seterusnya, para ulama itu mengatakan, “Syukur juga tidak perlu dilakukan untuk sebuah kesulitan hidup yang kita terima, kecuali terdapat nikmat-nikmat Allah dalam kesulitan tersebut. Maka, pada saat itu kita harus bersyukur atas nikmat-nikmat yang seiring dengan kesulitan itu, bukan atas kesulitan-kesulitan itu sendiri.” Dan nikmat-nikmat tersebut ialah seperti yang dikatakan oleh Abdullah bin Umar R.A:

مَا ابْتُلِيتُ بِبَلِيَّةٍ إِلَّا كَانَ لِلّه عَلَيَّ فِيهَا أَرْبَعُ نِعَمٍ إِذْ لَمْ تَكُنْ فِي دِيِني وَإِذْ لَمْ أُحْرَمْ الرِّضَا وَإِذْ لَمْ تَكُنْ أَعْظَم وَإِذْ رَجَوْتُ الثَّوَابَ عَلَيْهَا.

Maksudnya: “Tiada aku diuji dengan suatu ujian, melainkan Allah SWT telah memberi empat kenikmatan untukku, yakni: ujian itu tidak mempengaruhi keyakinan agamaku, tidak terjadi musibah yang lebih besar padaku, ujian itu tetap membuatku ikhlas menerima keputusan Allah SWT dan kerana aku boleh mengharapkan pahala dari musibah yang aku alami.”[1] (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 340-342)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat kitab Faidh al-Qadir oleh ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi, 2/133.