#7219: Tafsir Ayat 19 Surah al-Nisa’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 19 daripada Surah al-Nisa’ mengikut ulama’ tafsir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا ‎

Maksudnya: “Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

 (Surah al-Nisa’: 19)

Al-Tabari berkata: Maknanya adalah, “Janganlah kamu semua mempersulit isteri-isteri kamu agar kamu dapat mengambil kembali sebahagian harta yang telah kamu berikan kepada mereka tanpa ada sesuatu yang mencurigakan dan kederhakaan daripada mereka, melainkan perlakukanlah mereka dengan baik meskipun kamu semua tidak menyukai mereka. Barangkali saja kamu tidak menyukai mereka dan kamu tetap menahan mereka (tidak mencerainya), padahal sebenarnya Allah – dalam penahanan kamu dengan kebencian terhadap mereka – akan memberikan kebaikan yang sangat banyak; berupa anak yang diberikan kepada kamu melalui mereka, atau kamu akan menyayangi mereka yang sebelumnya kamu tidak menyukainya.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 5/618)

Ibn Kathir berkata: Apabila salah seorang di antara kamu tidak menyukai isterinya, maka hendaklah dapat menahan diri dan tidak menceraikannya. Boleh jadi sikap sabar itu mengandungi kebaikan yang banyak, baik di dunia mahupun akhirat. Ibn ‘Abbas menyebut, “Hendaklah suami berlaku lemah lembut terhadap isteri. Boleh jadi ia memperoleh keturunan darinya, dan dari anaknya itu dia akan memperoleh kebaikan yang banyak.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/235)

Imam al-Ghazali pula berkata: Kebaikan menurut Allah SWT adalah lebih banyak dari yang engkau bayangkan. Dan yang namanya nikmat itu tidaklah mesti berbentuk sesuatu yang lazat dan disukai oleh hati kita. Namun, sesuatu dikatakan baik itu kerana ia meninggikan darjat penerimanya.

Apabila sebuah musibah itu merupakan jalan atau penyebab bertambahnya kemuliaan seorang hamba dan ketinggian darjatnya, maka itu pada hakikatnya juga merupakan nikmat dari Allah SWT pada hamba-Nya. Sekalipun secara zahirnya itu, dilihat sebagai musibah.

Semoga Allah peliharakan kita daripada sebarang musibah, dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”