#7221: Niat Mandi Wajib tetapi Mandi Keesokan Paginya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah mandi junub yang mana niatnya diselangi dengan tidur? Contohnya, pada waktu malam selepas selesai bersama dengan pasangannya, dia hanya berniat mandi junub kemudian dia tidur. Pagi esoknya dia hanya mandi tanpa sebarang niat, adakah sah mandinya itu sebagai mandi junub?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

 إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Seterusnya, para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak sah niat mandi wajib tetapi menangguh pelaksanaannya. Hal ini kerana niat sebegitu umpama sekadar kehendak atau cita-cita sahaja. Maka, perbuatan mandi wajib perlu dilakukan terus setelah berniat mandi wajib.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.