#7222: Antara Musibah yang Paling Rugi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat musibah yang boleh merugikan kita sebagaimana kata ahli hukama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah: 155)

Pada ayat ini, Allah SWT memberi khabar bahawa Dia menguji hamba-hamba-Nya yang beriman dengan beberapa ujian di saat mereka berada dalam keadaan suka dan duka, dan kesemua ini (mereka yang diuji Allah S.W.T dalam kalangan hambaNya) mendapat pahala jika mereka bersabar terhadapnya. Mereka kemudiannya mengucapkan lafaz istirja’ bukti sebagai seorang yang sabar dan syukur. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/467)

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Ghazali berkata:

Menurut para ahli hikmah, pada dasarnya, musibah-musibah yang menimpa manusia itu terdapat lima jenis:

  1. Sakit di tempat yang terasing.
  2. Kefakiran di masa tua.
  3. Meninggal di usia muda.
  4. 4. Buta setelah melihat.
  5. Nyanyuk setelah memiliki pengetahuan.

Dan yang lebih baik dari itu ialah kata-kata seseorang:

لِكُلِّ شَيْءٍ إِذَا فارَقَتْهُ عِوَضُ … . وَلَيْسَ لِلهِ إِنْ فارَقَتْ مِنْ عِوَضٍ

Maksudnya: “Bagi tiap-tiap sesuatu yang ditinggalkan, pasti ada penggantinya, Namun tidak ada pengganti bagi Allah, bila mana engkau berpisah dengan-Nya.

(Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 357)

Jelas di sini apabila seseorang bersama dengan Allah dan mengabdikan kepada-Nya sekalipun nikmat yang lain ditarik, dia pasti beruntung kerana hubungannya dengan Allah. Apa-apa nikmat yang telah ditarik termasuklah mata yang dikasihi apabila dia redha dan sabar dengan penuh keimanan nescaya Allah gantikannya dengan kurniaan yang besar. Benarlah sabda Nabi SAW:

Daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman:

إِذَا ابْتَلَيْتُ عَبْدِي بِحَبِيبَتَيْهِ فَصَبَرَ، عَوَّضْتُهُ مِنْهُمَا الجَنَّةَ» يُرِيدُ: عَيْنَيْهِ

Maksudnya: “Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan mengambil dua benda yang dikasihinya, lalu dia tetap bersabar, maka Aku menggantikan keduanya dengan syurga.” Maksudnya adalah kedua matanya.

Riwayat al-Bukhari (5653)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Sabda Baginda, ‘إِذَا ابْتَلَيْتُ عَبْدِي بِحَبِيبَتَيْهِ’, hal ini ditafsirkan pada akhir hadith, “maksudnya adalah kedua matanya.” Namun, tidak ada penegasan tentang siapa yang mentafsirkannya. Maksud dua kekasih adalah yang dikasihi, kerana keduanya merupakan anggota badan paling dicintai manusia, di mana kehilangan keduanya menimbulkan kesulitan besar, kerana tidak dapat melihat hal-hal yang menggembirakan atau menghindari hal-hal yang tidak diinginkan.

Sabda Baginda, ‘فَصَبَرَ’ (“lalu dia bersabar”). Al-Tirmizi menambah dalam riwayatnya daripada Anas, ‘وَاحْتَسَبَ’ (“dan mengharap pahala”). Demikian diriwayatkan Ibn Hibban dan al-Tirmizi daripada hadith Abu Huraitah. Begitu juga dinukilkan Ibn Hibban daripada hadith Ibn Abbas. Maksudnya, dia bersabar sambil menghadirkan dalam ingatan pahala yang dijanjikan Allah bagi yang bersabar atas ujian itu, kerana amal perbuatan itu akan diganjar-kan sesuai dengan niatnya. Ujian Allah kepada hamba-Nya di dunia bukan kerana kemurkaan-Nya, bahkan mungkin untuk menolak perkara yang tidak diinginkan, atau menghapus dosa, atau mengangkat darjat. Apabila seorang hamba menerima hal itu dengan redha, maka sempurnalah maksud tersebut. Jika tidak, maka keadaannya seperti yang disebutkan dalam hadith Salman, “Sesungguhnya sakit seorang mukmin dijadikan Allah sebagai kaffarah (penghapus dosa) baginya dan jalan bertaubat. Adapun sakit seorang pelaku dosa adalah seperti unta yang diikat para pemiliknya, kemudian mereka melepaskannya tanpa dia tahu mengapa diikat dan mengapa dilepas.”) Hadith ini diriwayatkan Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Adab al-Mufrad dengan sanad yang mauquf. (Lihat Fath al-Bari, 28/32)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.