Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Mengapa seseorang mendapat keistimewaan memperolehi rahmat-Nya secara khusus, sedangkan yang lainnya ditarik nikmatnya, padahal kedua-duanya sama-sama berada dalam jalan ibadah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.
(Surah al-Zariyat: 56)
Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib R.A dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah. (Lihat Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 17/52)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan pandangan Imam al-Ghazali, katanya: Jawapan dari pertanyaan tersebut datang secara langsung dari Allah SWT, bahawa manusia harus cuba mengetahui rahsia Rububiyyah dan hakikat ‘ubudiyyah, dan harus memahami adab dalam hubungan dengan Allah SWT. Allah SWT telah berfirman:
لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ
Maksudnya: “Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.”
(Surah al-Anbiya’: 23)
Al-Baghawi berkata: “(لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ)” bermaksud, Allah tidak akan dipersoalkan tentang apa yang Dia lakukan kerana Dia adalah Tuhan yang Maha Berkuasa, yang memiliki hak mutlak untuk memerintah dan menentukan segala sesuatu. “(وَهُمْ يُسْأَلُونَ)” pula merujuk kepada makhluk-makhluk, iaitu manusia dan jin, yang akan dipertanggungjawabkan dan disoal mengenai perbuatan dan amalan mereka kerana mereka adalah hamba-hamba yang tertakluk kepada hukum dan perintah Allah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/314)
Aku katakan: Perumpamaan jalan ini di dunia adalah seperti sirat di akhirat pada tingkatan-tingkatannya, jaraknya dan pemutus-pemutusnya, serta ragam keadaan manusia di dalamnya. Maka, di antara mereka ada yang melaluinya seperti kilat yang menyambar. Ada pula yang melaluinya seperti angin kencang. Begitu juga, ada yang lseperti kelajuan kuda yang gagah. Ada pula yang seperti burung terbang, seperti berjalan kaki, atau dengan merayap, sehingga menjadi arang setelah sampai di tujuan. Ada yang merasakan desingan Neraka Jahanam, dan ada juga yang berjalan dengan kaki yang dirantai kemudian dilempar ke Neraka Jahanam.
Maka, demikian pula dengan jalan ibadah di dunia ini, yang terbahagi kepada dua cabang jalan, yakni: jalan (sirat) dunia dan jalan (sirat) akhirat. Jalan akhirat itu adalah bagi jiwa yang akan melihat dengan mata sendiri seksaan dan yang menakutkan. Sedangkan jalan dunia itu bagi hati. Mereka melihat bahaya dan mengerikannya neraka itu dengan intelektual dan pemahaman rohani. Perbezaan jalan dalam melalui jambatan sirat itu terkait dengan perbezaan tingkah laku mereka di dunia. Renungkanlah hal itu dengan sebenar-benarnya. Dan inilah penjelasannya. Semoga Allah SWT memberikan taufiq. (Lihat Minhaj al-Abidin, hlm. 361)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”