#7227: Memahami Had Nafkah yang Wajib ke atas Suami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya bekerja di sebuah Mahkamah Rendah Syariah, dan bertanggungjawab menguruskan bahagian penceraian. Kebanyakan kes penceraian yang difailkan itu datang dari pihak perempuan, dan majoriti mereka mendakwa bahawa suami mereka tidak menunaikan nafkah. Apabila diselidik, ‘nafkah’ yang mereka dakwa tidak diberikan itu bukanlah kelengkapan harian dan makanan asasi seperti yang ditetapkan oleh Islam, sebaliknya duit poket bulanan untuk kegunaan peribadi sahaja. Mohon pencerahan datuk bagi masalah kefahaman masyarakat kita ini.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Melihat masalah penceraian yang kian berleluasa dengan sebab ‘nafkah’ duit poket ini, kami terpanggil untuk kembali memberikan pencerahan berkenaan apakah itu nafkah, dan benarkah duit poket itu termasuk dalam salah satu kewajipan syara‘ yang ditetapkan ke atas seorang suami, mengikut kemampuan dirinya dan juga keperluan asas isteri. Allah SWT berfirman:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍۢ مِّن سَعَتِهِۦ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُۥ فَلْيُنفِقْ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَا ۚ

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya.”

(Surah al-Talaq: 7)

Menerusi ayat ini, Imam al-Qurtubi mengatakan, salah satu masalah yang dibincangkan dalam ayat ini adalah berkenaan nafkah yang wajib ke atas suami. Dia hendaklah menunaikan nafkah kepada isteri serta anaknya menurut kemampuannya, sehingga dia boleh memberikan nafkah yang lebih jika dia mempunyai kemampuan. Bagi sesiapa yang miskin, nafkahnya adalah sesuai dengan keadaannya.

Maka, nafkah tersebut diukur berdasarkan dua perkara:

  • Keadaan orang yang memberi nafkah; iaitu suami atau bapa.
  • Keperluan orang yang dinafkahi; iaitu isteri dan anak.

Hal ini pula dengan penilaian berdasarkan kehidupan biasa menurut adat setempat. Maka, mufti akan melihat kepada keperluan orang yang dinafkahi terlebih dahulu, kemudian melihat kepada keadaan orang yang memberi nafkah. Jika keadaan orang yang memberi nafkah itu mencukupi, maka perbelanjaan nafkah itu boleh dikeluarkan sesuai dengan keperluan orang yang dinafkahi. Jika keadaan suami hanya cukup untuk memenuhi keperluan orang yang dinafkahi, ia akan dikurangkan sesuai dengan kemampuannya.

Imam al-Qurtubi kemudiannya menukilkan pandangan Imam al-Syafi‘i serta fuqaha mazhabnya: “Nafkah itu telah ditentukan dan ditetapkan, tidak perlu kepada ijtihad hakim atau mufti mengenainya. Nafkah itu dinilai berdasarkan kepada keadaan suami semata-mata, sama ada dia dalam keadaan susah atau senang, dan tidak mengambil kira keadaan isteri dan keperluannya.” Pandangan ini cukup baik menurut Imam al-Qurtubi kerana tindakan mengambil kira keadaan suami yang susah atau senang itu akan dapat menghentikan pergaduhan yang berlaku mengenai isu kecukupan dalam nafkah ini. Hakim atau orang lain tidak akan tahu apakah kadar kecukupan sebenar bagi si isteri juga anak-anak, maka jika hakim memutuskan sesuatu yang pada hakikatnya memang di luar kemampuan suami, maka hal ini akan menimbulkan pergaduhan. Suami akan mendakwa bahawa isteri meminta lebih dari kadar kemampuannya, manakala isteri pula tetap mempertahankan bahawa apa yang dipinta itu semuanya berada dalam lingkup kemampuan suami. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 18/170)

Rasulullah SAW juga mengingatkan para suami agar menunaikan nafkah kewajipan kepada isteri-isteri mereka sesuai dengan keperluan. Ini sebagaimana yang thabit dalam hadith Jabir bin Abdullah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ، وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ‏.‏ فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ، فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke tempat tidurmu. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan cara yang tidak menyakitkan. Dan hak mereka ke atas kamu adalah dengan memberikan mereka nafkah serta pakaian dengan cara yang ma‘ruf.”

Riwayat Muslim (1218)

Cara yang ma‘ruf itu bermaksud, pada kadar keperluan isteri yang dinafkahi itu tanpa berlebih-lebihan atau terkurang, atau berdasarkan keadaan suami, sama ada dalam keadaan miskin atau senang. Inilah hujjah yang membezakan sudut pandang mazhab al-Maliki, iaitu dengan mengambil kira kadar kemampuan suami dan juga kadar keperluan isteri serta anak-anak. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj, 14/46)

Mengambil kira keperluan isteri ini juga merupakan pandangan yang lebih kuat, sebagaimana perintah Rasulullah SAW kepada Hindun binti ‘Utbah R.Anha ketika suaminya Abu Sufyan R.A didakwa sebagai seorang yang kedekut dalam bab nafkah. Lalu Baginda SAW bersabda:

خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَبَنِيكِ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Ambillah (daripada harta Abu Sufyan) apa yang mencukupkan kamu dan anak kamu secara baik.”

Riwayat al-Bukhari (3825), Muslim (1714), Abu Dawud (3532), al-Nasa’ie (5420), Ibn Majah (2293) dan Ahmad (24163)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan duit poket yang dianggap sebagai nafkah wajib ini, kita perlu melihat terlebih dahulu sama ada suami telah menyediakan nafkah-nafkah yang menjadi keperluan asasi isteri sesuai dengan adat setempat, atau tidak. Sekiranya si suami telah menyediakan segala kelengkapan, baik dari sudut makan minum, tempat tinggal, pakaian, perubatan dan sebagainya, maka tidak ada lagi ungkitan yang boleh dilakukan kerana si suami telah melunaskan segala tanggungjawab yang wajib ke atasnya.

Berbeza pula keadaannya sekiranya suami tersebut seorang yang bekerja di luar kawasan sehingga tidak berkesempatan menyediakan perkara-perkara di atas, maka ketika itu wajib ke atasnya memberikan sejumlah wang yang mencukupi untuk isteri serta anak-anaknya bagi mendapatkan segala kelengkapan asasi mereka.

Adapun sekadar duit poket yang dituntut atas dasar memenuhi kemahuan diri yang bersifat tahsiniyyat (التَحْسِينِيَّاتُ) yang dianggap sebagai kehendak ke arah kesempurnaan sahaja, ia tidak termasuk dalam kewajipan yang wajar untuk dituntut sebagai nafkah, seperti duit raya, duit poket untuk membeli beg tangan yang mahal, dan sebagainya.

Kami juga ingin mengingatkan kembali masyarakat Islam di Malaysia bahawa asas perkahwinan itu tidak terletak pada harta semata-mata, tetapi bagaimana perkahwinan itu dapat membimbing ahli keluarga kita untuk terus dekat dengan Allah SWT. Sementelahan pula, Imam al-Ghazali telah menyifatkan dunia dan seisinya ini sebagai salah satu penghalang bagi seseorang itu untuk terus mendekatkan diri kepada-Nya. (Lihat Minhaj al-‘Abidin, hlm. 65)

Maka janganlah kita menjadikan harta yang bersifat tahsiniyyat (التَحْسِينِيَّاتُ) ini sebagai asbab persengketaan antara suami isteri sehingga membawa kepada gerbang penceraian. Ingatlah bahawa ia merupakan perkara halal yang paling dibenci oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

Riwayat Abu Daud (2178)

Antara kesan buruk dari penceraian, seprti yang digariskan oleh Syeikh Abu ‘Abd al-Rahman Abdullah al-Bassam:

  • Talak menghapuskan manfaat perkahwinan seperti pembentukan keluarga, mendapat anak, dan perkembangan komuniti Muslim.
  • Talak ialah perpecahan setelah kebahagiaan bersama, kesedihan setelah kegembiraan, dan putus asa setelah menanam harapan yang tinggi.
  • Talak menyebabkan permusuhan dan kebencian antara suami isteri, serta antara dua keluarga, setelah kebersamaan
  • Talak menyebabkan perpecahan anak-anak, mereka kehilangan bimbingan seorang ayah, pendidikan, nasihat , ataukehilangan kasih sayang, penjagaan, dan kelembutan dari seorang ibu.
  • Talak adalah perkara halal yang dibenci di sisi Allah SWTkerana ia membawa banyak musibah dan keburukan. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/479)

Justeru, kami ingin menekankan bahawa penceraian membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Janganlah kita menjadikan perkara kecil dan picisan sebagai alasan untuk meruntuhkan bahtera yang telah dibina. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam memahami agama ini, melimpahkan rasa syukur dalam diri pasangan kita, dan meningkatkan rasa sabar dalam diri semua ketua keluarga.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a‘lam