#7228: Benarkah “Rumahku Syurgaku” Adalah Hadith?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan, adakah benar ungkapan  “Baiti Jannati” (بَيْتِي جَنَّتِي) yang bermaksud “Rumahku Syurgaku” merupakan hadith Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

“Rumahku Syurgaku” merupakan idaman bagi setiap manusia yang mendirikan rumah tangga. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang dalam rumah tangga. Hal ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami dapati bahawa ungkapan “Baiti Jannati” tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadith dan juga mana-mana riwayat. Tidak ada riwayat yang menyebutkan bahawa ungkapan ini sebagai sabda Nabi Muhammad SAW. Justeru, tidak boleh bagi sesiapapun untuk menyandarkan ungkapan ini sebagai hadith atau sebagai sabda dan kata-kata Nabi SA. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah memberikan ancaman memalui hadith mutawatir yang diriwayatkan daripada ramai para sahabat, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291), Muslim di dalam Muqaddimah Sahih Muslim (4) dan Ahmad (18202)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka disebabkan perkara ini, maka dia tidak akan kekal di dalamnya. Ini kerana, seseorang itu akan dikeluarkan daripada neraka dengan kelebihan dan rahmat Allah SWT selagimana ada iman atau tauhid di dalam jiwanya. Terdapat beberapa fiqh hadith atau kaedah-kaedah yang boleh diambil daripada hadith yang penting ini. Di antaranya adalah:

Pertama: Menurut kaedah ahli sunnah, berdusta adalah satu khabar daripada seorang yang memang sengaja atau lalai terhadap sesuatu yang mana khabar tersebut menyalahi hakikat yang sebenar.

Kedua: Besarnya pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW dan ia merupakan perkara yang begitu keji dan termasuk di dalam dosa-dosa besar. Akan tetapi, seseorang itu belum lagi kufur jika dia berdusta melainkan sekiranya dia menghalalkan perbuatan tersebut. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab daripada pelbagai sudut.

Ketiga: Tidak ada perbezaan pada pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW sama ada pada hukum-hakam atau tidak seperti pada bab targhib (galakan) atau tarhib (ancaman), mawa’izh (peringatan) dan sebagainya. Ini kerana, kesemuanya adalah haram dan ia termasuk di dalam dosa yang besar serta seburuk-buruk perkara menurut ijma’ umat Islam.

Keempat: Haram meriwayatkan sesebuah hadith yang mana diketahui akan kepalsuannya atau seseorang itu merasakan bahawa hadith tersebut adalah palsu. Barangsiapa yang meriwayatkan sesebuah hadith yang diketahui akan kepalsuannya atau pada sangkaannya hadith tersebut adalah palsu dan dia tidak menjelaskan hal tersebut, maka dia termasuk di dalam ancaman hadith ini. (LihatSyarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/69-71)

Walaubagaimanapun, ungkapan “Baiti Jannati” (بَيْتِي جَنَّتِي) merupakan satu ungkapan yang sangat masyhur yang sering diungkapkan oleh masyarakat dalam menggambarkan suasana rumah yang damai dan harmonis.

Selain itu, berkaitan dengan ungkapan ini, terdapat banyak hadith sahih yang menerangkan tentang kepentingan rumah tangga dan peranan isteri serta suami dalam menciptakan suasana yang harmoni di rumah. Antaranya adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

خيرُكُم خَيرُكُم لأَهْلِهِ وأَنا خيرُكُم لأَهْلي

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah yang terbaik kepada keluargaku.”

Riwayat al-Tirmizi (3895). Hadith ini dinilai sahih sebagaimana yang disebut kitabnya Sahih al-Tirmizi (3895).

Al-Mulla ‘Ali al-Qari menyatakan: “Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap ahli keluarganya”): Ini menunjukkan kepada akhlak yang baik, dan “ahli” merangkumi isteri-isteri, kaum kerabat bahkan orang-orang luar juga, kerana mereka adalah sebahagian daripada ahli zamannya. (Dan aku adalah yang paling baik antara kamu terhadap keluargaku): Sesungguhnya baginda memiliki akhlak yang sangat mulia.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 5/2125)

Daripada hadith ini, kita dapat memahami bahawa Allah SWT menekankan pentingnya memberikan kasih sayang dan perhatian kepada keluarga dalam menjadikan rumah tangga sebagai syurga.

Oleh itu, walaupun ungkapan “Baiti Jannati” bukanlah daripada hadith, namun ia boleh diterjemahkan melalui ajaran dan pengajaran yang dianjurkan oleh Islam yang mana kita dianjurkan untuk menciptakan suasana rumah tangga yang harmoni, penuh kasih sayang dan saling menghormati antara suami isteri dan juga seisi keluarga.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam.