#7238: Kuda Perang dan Tunggangan Tidak Dikenakan Zakat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah pendapat bahawa kuda perang dan tunggangan tidak dikenakan zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima di mana ia wajib ditunaikan oleh setiap orang beragama Islam yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara tujuan pensyariatan zakat ini adalah untuk membersihkan hati dan harta disamping melahirkan masyarakat Islam yang pemurah dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara mereka. Allah SWT berfirman:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh al-Maraghi menyebutkan, sedekah (zakat) itu dapat membersihkan mereka daripada sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar kepada golongan fakir yang hidup melarat. Di samping itu, kamu juga dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888).

Seterusnya, di sana terdapatnya zakat binatang ternakan atau dipanggil sebagai zakah al-An‘am (زكاة الأنعام). Perkataan al-An‘am ialah kata jamak kepada al-Na‘am sama ada jantan atau betina serta ia merujuk kepada unta, lembu dan kambing. Firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.”

(Surah al-Mukminun: 21)

Haiwan ternakan ini pula terbahagi kepada jenis-jenisnya, di mana setiap jenis mempunyai subjenis tersendiri seperti kerbau tergolong dalam jenis lembu, manakala ma‘iz (مَعِز) tergolong dalam jenis kambing (الغنم) dalam kebanyakan hukum zakat.

Zakat wajib dikeluarkan daripada unta, lembu dan kambing, kerana banyak manfaatnya, dan zakat dikira berdasarkan bilangan dan keturunannya. Kewajipan zakat haiwan ternakan ini telah ditegaskan dalam hadith-hadith yang sahih. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/37).

Jadi, jelaslah bahawa haiwan-haiwan yang diwajibkan zakat ialah haiwan ternakan yang terdiri daripada unta, lembu dan kambing serta jenis-jenisnya sahaja. Adapun haiwan selainnya, tidak diwajibkan zakat padanya melainkan ia disediakan atau ditentukan untuk perniagaan.

Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (5/311) menyebutkan, kaum Muslimin telah menyatakan ijma‘ (bersepakat) bahawa zakat diwajibkan pada unta, lembu dan kambing. Adapun kuda, baghal, keldai dan haiwan yang dilahirkan hasil kacukan silang antara kambing dan rusa, tidak diwajibkan zakat padanya. Hal ini adalah selagi mana ia tidak digunakan untuk perniagaan. Jika ia digunakan untuk perniagaan, maka diwajibkan zakat padanya.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ عَلَى الـمُسْلِمِ صَدَقَةٌ فِي عَبْدِهِ وَلاَ فِي فَرَسِهِ

Maksudnya: “Seorang Muslim tidak wajib mengeluarkan zakat daripada hambanya, dan tidak pula daripada kudanya (selain kuda perniagaan).

Riwayat al-Bukhari (1464) dan Muslim (982)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan dari Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: Tidak diwajibkan zakat pada kuda tunggangan, kuda untuk membawa barang dan kuda perang. Para ulama telah bersepakat bahawa kuda yang diperlukan seseorang untuk keperluan tunggangan, mengangkat barang atau keperluan perang jihad, tidak ada zakat sama ada kuda-kuda yang dipelihara secara bebas dipadang ragut ataupun yang diberi makanan, kerana kuda-kuda tersebut adalah untuk keperluan pemiliknya, sedang harta zakat ialah harta yang berkembang atau bertumbuh yang melebihi keperluan. (Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 2/331)

Manakala wajib zakat ke atas kuda yang diniagakan. Sebagaimana yang telah disepakati para ulama, selain ulama mazhab Zhahiriah, kuda-kuda yang dijadikan komoditi perdagangan (kuda-kuda yang diniagakan) ada zakatnya, kerana kuda-kuda yang disediakan sama ada yang dipelihara bebas ataupun yang diberi makan untuk dijual menunjukkan pengembangan dan lebih daripada keperluan. Dalam perkara ini ia dianggap sebagai barang dagangan sama dengan barang-barang dagangan lain yang mempunyai transaksi jual beli seperti binatang dan tanaman semuanya mengharapkan keuntungan. (Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 2/331; seperti dalam Fiqh al-Zakah, terj, hlm. 197 – 198)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.