#7239: Perbezaan Kalimah ‘يفعلون” dan  ‘يعملون’ dalam Al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami berkenaan perbezaan kalimah ‘يفعلون” dan ‘يعملون’ dalam al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Raghib al-Asbahani menyebut dalam al-Mufradat fi Gharib al-Quran: Berkenaan perkataan ‘الفعل’: Kesan adalah dari pihak yang memberi kesan, yang merangkumi segala sesuatu sama ada dilakukan dengan baik atau tidak, dengan atau tanpa pengetahuan, dengan atau tanpa niat, dan sama ada dari manusia, haiwan atau benda mati. Perkataan ‘العمل’ juga adalah sepertinya. Manakala ‘الصنع’ adalah lebih khusus daripada kedua-duanya.

Perbezaan antara ‘الفعل’ dan ‘العمل’ adalah bahawa ‘العمل’ menghasilkan kesan pada sesuatu. Dikatakan: Si fulan membuat (يعمل) tanah liat menjadi tembikar, membuat (يعمل) daun kelapa menjadi bakul, dan membuat (يعمل) kulit menjadi bekas air. Tidak dikatakan: dia melakukan (يفعل) itu kerana perbuatan (فعل) sesuatu merujuk kepada apa yang wujud dalam keadaan yang sebelumnya boleh dilakukan, sama ada disebabkan oleh sesuatu sebab atau tidak.

Perbuatan (الفعل) boleh dikaitkan dengan haiwan yang melakukan sesuatu tanpa sengaja, dan juga boleh dikaitkan dengan benda mati, tetapi perkataan ‘العمل’ jarang sekali dikaitkan dengan kedua-duanya. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 587)

Kedua-dua perkataan ‘يفعلون’ dan ‘يعملون’ bermaksud mereka lakukan. Walau bagaimanapun, dalam bahasa Arab, kedua-dua perkataan ini mempunyai konteks makna yang berbeza. Ini kerana setiap perkataan dalam al-Quran lebih tepat difahami mengikut definisi yang diberikan oleh al-Quran itu sendiri. Kita boleh memerhatikan perbezaan dalam penggunaan kedua-dua kalimah ini apabila ia digunakan dalam ayat yang sama tetapi dengan konteks makna yang berbeza. Contohnya adalah seperti berikut:

Pertama: Firman Allah SWT:

وَأُوحِيَ إِلَى نُوحٍ أَنَّهُ لَنْ يُؤْمِنَ مِنْ قَوْمِكَ إِلَّا مَنْ قَدْ آمَنَ فَلا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

Maksudnya: “Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.”

(Surah Hud: 36)

Ibn Kathir berkata: Ketika kaum Nabi Nuh AS mencabar agar azab yang diancamkan disegerakan kedatangannya, Nabi Nuh pun mendoakan keburukan terhadap mereka dan memohon pertolongan kepada Allah. Pada titik ini, Allah pun mewahyukan bahwa tidak ada lagi orang yang akan beriman dari kaumnya, kecuali mereka yang telah beriman. Oleh kerana itu, Allah melarangnya agar jangan berduka kerana mereka dan kekafiran mereka. Mereka itulah orang-orang kafir dan merugi. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/727)

Kedua: Firman Allah SWT:

وَلَمَّا دَخَلُوا عَلَى يُوسُفَ ءَآوَى إِلَيْهِ أَخَاهُ قَالَ إِنِّي أَنَا أَخُوكَ فَلا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan semasa mereka masuk mendapatkan Yusuf, ia menempatkan saudara kandungnya (Bunyamin) bersama-samanya, sambil berkata kepadanya:” Akulah saudara engkau Yusuf), oleh itu janganlah engkau berdukacita lagi disebabkan apa yang mereka lakukan.”

(Surah Yusuf: 69)

Al-Tabari berkata: Firman-Nya, ‘فَلا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ’, yakni, janganlah kamu berdukacita dan merendahkan diri terhadap kejadian yang telah lalu dari saudara-saudaramu terhadap dirimu dan saudara kandungmu sebelum hari ini.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 13/796)

Menurut Dr. Fadhil Saleh al-Samara’i, istilah “يعملون” lebih spesifik daripada “يفعلون”. Istilah ini merujuk kepada tindakan yang dilakukan dengan makna atau tujuan tertentu. Sebaliknya, istilah “يفعلون” merujuk kepada tindakan yang dilakukan tanpa sebarang makna atau tujuan. Ia boleh digunakan sebagai kata kerja untuk manusia atau haiwan. Namun, istilah “يعملون” hanya digunakan sebagai kata kerja untuk manusia sahaja.

Dalam ayat 36 Surah Hud, Allah menggunakan perkataan “يفعلون” kerana kaum Nabi Hud tidak beriman. Penggunaan perkataan ini oleh Allah menunjukkan bahawa semua perbuatan kaum Nabi Hud yang tidak beriman adalah sia-sia. Tiada satu pun yang dianggap bermakna di sisi-Nya.

Dalam surah Yusuf ayat 69, Allah SWT menggunakan perkataan “يعملون” untuk merujuk kepada saudara-saudara Nabi Yusuf AS yang datang kepadanya untuk mendapatkan bantuan bekalan makanan akibat kemarau di tempat mereka. Tindakan saudara-saudara Nabi Yusuf ini, sama ada baik atau buruk, dinilai oleh Allah sebagai bermakna di sisi-Nya. (Lihat Lamasat Bayaniyyah oleh Dr. Fadhil Saleh al-Samara’i)[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=u2VQICopTc8