#7240: Mengapa Kewajipan Zakat Kambing Pada Kuantiti yang Banyak Diringankan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, mengapa kewajipan zakat kambing pada kuantiti yang banyak diringankan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima di mana ia wajib ditunaikan oleh setiap orang beragama Islam yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara tujuan pensyariatan zakat ini adalah untuk membersihkan hati dan harta disamping melahirkan masyarakat Islam yang pemurah dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara mereka. Allah SWT berfirman:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh al-Maraghi menyebutkan, sedekah (zakat) itu dapat membersihkan mereka daripada sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar kepada golongan fakir yang hidup melarat. Di samping itu, kamu juga dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888).

Sebagaimana yang diketahui bahawa di sana terdapatnya zakat binatang ternakan atau dipanggil sebagai zakah al-An‘am (زكاة الأنعام). Perkataan al-An‘am ialah kata jamak kepada al-Na‘am sama ada jantan atau betina serta ia merujuk kepada unta, lembu dan kambing. Firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.”

(Surah al-Mukminun: 21)

Zakat wajib dikeluarkan daripada unta, lembu dan kambing kerana banyak manfaatnya, dan zakat dikira berdasarkan bilangan dan keturunannya. Kewajipan zakat haiwan ternakan ini telah ditegaskan dalam hadith-hadith yang sahih. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/37).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan dari Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut: Kadar wajib zakat kambing diringankan oleh Syariat apabila jumlahnya telah banyak, sedangkan yang lain tidak ada keringanan yang menjadikan kewajipan zakat dengan perbandingan 1 peratu daripada jumlah kambing, sedangkan kita lihat bahawa nisbah zakat yang ditetapkan dalam permodalan seperti wang dan barang perdagangan iaitu 1/40 (2.5 peratus). Apakah hikmah keringanan tersebut?

Beberapa penyelidik kontemporari telah memberikan kesimpulan bahawa dalam hal ini syariat bertujuan memberi kesempatan agar ternakan tersebut dapat menghasilkan kekayaan dan meringankan wajib zakat terhadap para pemilik harta. Pengumpulan cukai akan memberatkan pemilik dalam merealisasi tujuan ekonomi yang penting.

Hal tersebut mengganggu tafsiran ini, dimana bukan kesemua kekayaan zakat ternakan begini. Kita berpendapat bahawa wajib zakat unta apabila jumlahnya banyak, maka setiap 40 ekor, zakatnya seekor anak unta (umur 2 tahun lebih), dan setiap 50 ekor, zakatnya seekor anak unta betina (umur 4 tahun lebih), dan kita berpendapat bahawa wajib zakat lembu ialah setiap 30 ekor, zakatnya seekor anak lembu jantan atau betina (umur 1 tahun), dan setiap 40 ekor zakatnya seekor anak lembu betina atau jantan (umur 2 tahun), iaitu dengan nisbah 1/40 atau 2.5 peratus. Dan perhitungan tersebut adalah perbandingan yang umum dalam zakat perniagaan.

Sekiranya ulasan dan tafsiran tersebut benar, maka akan ia akan turut memberi kesan kepada unta dan lembu. Tetapi selagi tidak nampak kebenarannya, maka wajib dilakukan kajian tentang tafsiran lain yang khusus dalam masalah zakat kambing.

Menurut pengamatan saya, tafsiran tersebut ialah apabila kambing atau kambing telah mencapai jumlah yang banyak maka yang kelihatan lebih banyak adalah yang masih kecil- kecil, sebab binatang ternakan akan beranak lebih dari satu kali dalam setahun dan setiap kali beranak lebih dari seekor, khususnya kambing, jika kambing-kambing yang masih kecil tersebut dikira oleh pemiliknya, tidak diterima, sebagaimana akan dibincangkan dalam perbincangan kelima dan keenam.

Oleh itu, peringanan zakat itu hanya khusus untuk kambing sahaja, untuk merealisasikan dasar keadilan yang dipelihara oleh syariat. Jika tidak, andaikata wajib zakat pada setiap 40 ekor (kambing) itu seekor kambing, sebagaimana pada unta dan lembu yang jumlah anak- anaknya yang masih kecil dan tidak dibenarkan diambil zakatnya, maka hal tersebut akan menjadikan kurang adil terhadap para pemilik kambing. Jika dibandingkan dengan para pemilik unta dan lembu.

Adapun 40 ekor kambing yang pertama wajib zakatnya adalah seekor kambing, kerana syaratnya jumlah keseluruhannya mestilah yang dewasa sebagaimana akan dijelaskan dalam perbincangan kelima.

Dengan demikian jelaslah pada kami bahawa zakat itu merupakan cukai yang seimbang (tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah), secara tetap dan juga tidak menaik secara songsang. Masalah ini akan dibincangkan pada bab akhir tentang zakat dan cukai. Insya-Allah.

Saya ada membaca dalam kitab Syarh al-Risalah karangan Syeikh Zaruq seorang ulama Maliki, terdapat penjelasan tentang kurangnya kewajipan zakat kambing, apabila telah banyak la berkata: “Setiap harta yang banyak, banyak pula kos pemeliharaannya (bekal makanannya), dan pengurusannya menjadi lebih rumit oleh itu zakat yang dikenakan sedikit, ini juga adalah demi kebaikan pemiliknya, kerana ia dinyatakan pada zakat mata wang yang dikenakan pada kadar 1/40, manakala kadar pada jenis zakat yang lain berbeza pula.

Akan tetapi saya tidak memahami keterangan Syeikh Zaruq bahawa setiap harta yang banyak (malah) kos makan dan pemeliharaannya lebih sedikit dan lebih ringan. Oleh itu para pemilik ternakan unta, kambing dan seumpamanya lebih suka mencampurkannya (menjadi satu) supaya kosnya sedikit. Sejumlah besar ternakan tersebut cukup diurus oleh seorang pengembala dan dapat ditampung tempatnya dalam satu ruangan atau tempat. Hal ini merupakan ketentuan ilmu ekonomi dewasa ini, dengan istilah pengembangan pengeluaran. Maka setiap kali berkembangnya pengeluaran akan sedikit kos pengurusannya.

Pada umumnya para pengilang kecil bimbang terhadap pengilang besar, demikian pula perusahaan-perusahaan kecil merasa takut akan perusahaan-perusahaan besar, kerana kosnya lebih sedikit. Jika keterangan Syeikh Zaruq itu benar maka akan berlaku bagi semua binatang ternakan (yang diwajibkan zakat). Namun hal itu tidak mungkin terjadi.

Demikian pula apa yang dikemukakan oleh Syeikh Zaruq tentang timbulnya kebimbangan seseorang terhadap harta yang banyak, bererti menentang perintah yang telah ditetapkan oleh Nabi SAW, dapat dikatakan orang itu bukan seorang Muslim. Kerana hal tersebut andaikata apa yang dikatakan oleh Syeikh Zaruq itu benar, maka akan berlaku bagi semua jenis-jenis harta dari binatang ternakan dan yang lainnya, dan seorang jutawan berbeza dengan golongan biasa. Maka yang diwajibkan atas dasar sebab ini, akan meringankan nisbah wajib zakat bagi si jutawan yang bersifat kedekut. Sebenarnya keterangan yang kita terangkan ini cukup luas dan lebih layak, sesuai dengan keadaan. Wallahu a’lam. (Lihat Fiqh al-Zakah, terj, hlm. 179-181)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.