#7243: Solat Duduk: Tidak Tunduk Lebih (ketika Sujud)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu kemusykilan berkaitan dengan solat seseorang. Seseorang yang separuh uzur, solat di atas kerusi, ketika baca surah al-Fatihah beliau berdiri, rukuk macam biasa, masalahnya bila dia mahu sujud, dia duduk di atas kerusi, sepatutnya dia merendahkan badan melebihi had rukuk. Apakah hukum solatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, seseorang itu boleh solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri sebagaimana riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.

Riwayat Al-Bukhari (1117)

Imam al-Nawawi berkata: “Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/226).

Keadaan yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk

Di dalam kitab-kitab fiqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa contohnya:

  • Tidak mampu untuk berdiri.
  • Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
  • Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
  • Seseorang yang berasa pening kepala.
  • Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.

Hal ini adalah berdasarkan kata-kata Imam al-Nawawi: “Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/310).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila seseorang itu tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka boleh untuknya solat secara duduk. Begitu juga apabila mahu sujud ketika solat atas kerusi, ia perlu lebih sedikit dari rukuk. Oleh itu, dalam isu anda, kami berpendapat boleh jadi orang tersebut lebih mengetahui anggaran perbezaan rukuk dan sujudnya. Namun, jika jelas jemaah tersebut membuat kesilapan, anda boleh tegur secara baik dan hormat supaya tidak terguris hatinya.

Akhirnya, dengan penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)