#7244: Menghantar Bapa ke Rumah Penjagaan bagi Tujuan Pemulihan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Soalan saya berkaitan meletakkan bapa di tempat jagaan swasta bagi tujuan kepulihan. Untuk makluman kesihatan bapa sekarang hanya terlantar di atas katil sahaja. Jika diletakkan disitu dengan bayaran yang berpatutan sekitar RM 3000 adakah kami adik beradik berdosa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

(Surah al-Isra’: 23)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sebagai seorang anak, kita perlu menjaga dan mentaati ibubapa kita kerana merekalah yang melahir dan menjaga kita sewaktu kecil lagi. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai anak untuk mengurusnya sebaik mungkin. Berkenaan menghantar bapa anda di rumah penjagaan untuk tujuan pemulihan, kami katakan sekiranya terdapat kekangan untuk menjaganya dan tujuan pemulihan, maka hukumnya dibolehkan kerana atas tujuan yang baik yakni pemulihan. Begitu juga, meskipun anda menghantarnya ke rumah penjagaan dan ada yang menjaganya, anda perlu melawatnya selalu agar hatinya tidak terguris dan kecil hati.

Akan tetapi, sekiranya seorang anak itu menghantar orang tuanya ke rumah orang tua kerana tidak mahu menjaganya dan melepaskan tanggungjawabnya, maka kami katakan ia dikira berdosa kerana melakukan ibubapanya sedemikian.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.

Wallahua’lam