#7247: Memakai Krim Pelekat Gigi Palsu (Polident) Ketika Berpuasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah status dan hukum puasa dan solat bagi orang memakai polident pada gigi palsu? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami bentangkan jawaban terhadap kemusykilan ini dengan mendahulukan firman suci Ilahi dalam al-Kitab. Allah SWT berfirman berkenaan ibadah puasa yang agung nilainya di sisi-Nya:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kalian untuk berpuasa (pada bulan Ramadhan) sepertimana diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kalian; supaya kalian bertakwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Imam Ibn Kathir al-Dimasyqi al-Syafi‘i menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Allah SWT berfirman mengarahkan sekalian kaum Mukminin dalam kalangan umat ini dan mengarahkan mereka supaya melaksanakan ibadah puasa, iaitu: menahan diri daripada makan, minum dan persetubuhan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah ‘Azza wa Jalla, kerana ibadah tersebut boleh menyucikan jiwa, membersihkan dan menyucikannya daripada kotoran yang hina dina di dalam jiwa serta akhlak yang buruk.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/497).

Laqit bin Sabrah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْبِغْ الْوُضُوءَ وَخَلِّلْ بَيْنَ الْأَصَابِعِ وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ إلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

Maksudnya: “Lebihkanlah basuhan anggota wuduk, dan selalah jari-jemarimu, dan lebihkanlah kuantiti air yang masuk ke dalam hidungmu, namun jangan lakukan seperti itu apabila engkau sedang berpuasa.”

Riwayat Abu Daud (142); al-Tirmizi (788); dinilai sahih oleh Imam Ibn al-Mulaqqin dalam Tuhfah al-Muhtaj (1/184)

Hadith di atas mengisyaratkan kepada kita bahawa salah satu perkara yang boleh membatalkan puasa adalah dengan masuknya sesuatu jirim (‘ain) ke dalam rongga yang terbuka atau manfaz maftuh (مَنْفذٌ مَفْتُوحٌ). Rongga yang terbuka ini adalah mulut, telinga, qubul (kemaluan hadapan), dubur bagi lelaki atau perempuan.

Berdasarkan hadith di atas, al-Khatib al-Syirbini menegaskan memasukkan apa-apa sahaja sesuatu ke dalam rongga terbuka walaupun hanya sebesar biji bijan secara sengaja sehingga masuk ke dalam had batin maka batal puasanya.

Beliau menyebutkan: “[Imam Abu Syuja‘ berkata: Yang membatalkan puasa ada sepuluh perkara] Yang pertama: [Segala sesuatu yang sampai] berupa apa-apa sahaja benda, sekalipun ia sedikit seperti bijian [secara sengaja] dan dalam keadaan mempunyai pilihan (bukan dipaksa), dan tahu berkenaan keharamannya [sehingga] kawasan mutlak [rongga] dan juga berupa manfaz maftuh sama ada berupa makanan atau ubatan, ataupun bukan; dan bukannya bahagian batin tekak dan perut.” (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/237).

Antara pembatal puasa dan solat yang disepakati para ulama dan fuqaha’ adalah memasukkan sesuatu benda sehingga melepasi rongga-rongga badan. Imam Muhammad Sa‘id Ba ‘Isyn menegaskan sedemikian di dalam kitab Busyra: “Pembatal puasa keempat: Menahan diri daripada memasukkan sebarang jirim berupa jirim duniawi sekalipun sedikit sahaja dan tidak dimakan seperti batu; maka terbatallah puasa dengan masuknya jirim/benda tersebut ke dalam rongga, dalam keadaan ia boleh ditolak untuk tidak memasukinya ke dalam lubang rongga seseorang meskipun benda/jirim duniawi yang masuk tersebut tidak memberi tenaga kepada badan dan tidak memberi kesembuhan kepada badan.” (Lihat Busyra al-Karim Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 549)

Berhubung dengan soalan di atas, kami nyatakan bahawa tindakan memakai Polident tidak membatalkan solat dan puasa. Hal ini kerana, cecair pelekat tersebut hanya melibatkan ruangan gusi di bahagian atas dan bawah mulut sahaja; ia masih di dalam daerah zahir dan tidak melepas had batin rongga mulut serta tekak yang menyebabkan batal puasa.

Berdasarkan nas kitab muktamad semisal I‘anah al-Talibin, Imam Abu Bakr bin Syata al-Dimyati berkata:

ثم داخل الفم والأنف إلى منتهى الغلصمة والخيشوم، له حكم الظاهر … لعدم الإفطار بالنسبة لدخول شئ فيه وإن أمسكه

“Kemudian di dalam mulut hingga ke bahagian ghalsamah (bahagian atas halkum) dan di dalam lubang hidung hingga ke ruangan al-khaisyum (permulaan tulang kepala di hidung); baginya hukum zahir; iaitu tidak membatalkan puasa jika termasuk apa-apa benda ke dalam ruangan ini, dan jika dia menahannya di situ sahaja.” (Lihat I‘anah al-Talibin, 2/258)

Maka berdasarkan nas kitab al-I‘anah di atas, memasukkan apa-apa di ruangan gusi mulut atau lelangit kemudian benda tersebut hanya kekal di situ sahaja tanpa melepasi halkum; adalah tidak membatalkan puasa.

Kesimpulannya, kami tegaskan bahawa dibenarkan memakai cecair pelekat gigi palsu seperti cecair polident bagi orang yang mendirikan solat dan orang yang sedang berpuasa; ia tidak membatalkan solat dan tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana, cecair tersebut dilekapkan di ruangan gusi sahaja dan tidak melepasi mana-mana bahagian rongga khususnya rongga tekak. Manakala perkara yang membatalkan puasa dan solat adalah memasukkan sesuatu melepasi had batin rongga. Perkara ini tidak berlaku apabila misalnya seseorang warga emas mengenakan cecair polident pada gigi palsunya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.