#7249: Beri Sewa Kepada Perusahaan Tidak Halal

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Apakah hukum memberi sewa kenderaan lori kepada individu yang membuat perniagaan penghantaran daging-daging termasuk daging yang tidak halal?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Akad sewa-menyewa merupakan akad al-Ijarah [الْإِجَارَةِ] di sisi syariat Islam. Pensyariatannya adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran al-Karim menerusi firman-Nya:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Maksudnya: “Sekiranya isteri-isteri kalian itu sendiri yang menyusukan anak-anak kalian maka berilah upah (secara baik dan sesuai) kepada mereka.”

(Surah al-Talaq: 6)

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata ketika mengupaskan soal akad sewaan dalam kitab Tuhfah: “Ayat di atas ini menjadi dalil akan keharusan akad al-Ijarah; yang merupakan akad transaksi sewa-menyewa, di samping dalil Ijma‘ (persepakatan) para ulama. Manakala, bantahan Imam al-Isnawi tentang autoriti ayat di atas sebagai dalil keharusan akad ini adalah tertolak kerana konteks ayat jelas menunjukkan keharusannya.”

Al-‘Allamah Ibn Hajar juga turut mentakrifkan akad al-Ijarah sebagai:

تَمْلِيكُ مَنْفَعَةٍ بِعِوَضٍ بِالشُّرُوطِ الْآتِيَةِ مِنْهَا عِلْمُ عِوَضِهَا وَقَبُولِهَا لِلْبَذْلِ وَالْإِبَاحَةِ

Maksudnya: “Memiliki sesuatu manfaat dengan pertukaran; berdasarkan syarat-syarat yang tertentu; yang terutamanya adalah mengetahui item pertukarannya dan kriterianya adalah berstatus boleh untuk diberikan/dipindah-milik.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/121)

Merujuk kepada soalan di atas, perkhidmatan sewa pengangkutan seperti menyewakan lori, kereta dan lain-lain kenderaan adalah termasuk perusahaan sewa yang halal dan dibenarkan di sisi Syarak; kerana manfaatnya pertukarannya saling diketahui dan memenuhi syarat-syarat al-Ijarah yang ditetapkan oleh para fuqaha’ dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar.

Penghantaran Daging Tidak Halal

Daging-daging yang haram secara asasnya adalah sama hukumnya dengan daging babi yang diharamkan secara jelas di sisi nas-nas Syarak. Dan hukum memberi sewa pengangkutan kepada perniagaan penghantaran daging-daging haram adalah sama sahaja dengan hukum menghantar daging haram tersebut; kerana dikira membantu (i‘anah) memberi peralatan untuk menghantar.

Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang digariskan oleh Imam al-Qarafi al-Maliki:

وُجُوبُ الْوَسَائِلِ تَبَعٌ لِوُجُوبِ الْمَقَاصِدِ

Maksudnya: “Kewajipan (hukum) wasilah (pengantar, pembantu, pemudahcara) adalah menurut kewajipan (hukum) tujuannya.” (Lihat al-Furuq, 1/166)

Pada asasnya, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302).

Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharaman babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Selain itu, Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya, perniagaan yang mengandunginya dan membantu hal-hal yang melibatkannya. Maka, Allah SWT telah mengharamkan daging babi, maka diharamkan juga berjual beli dengannya, menghidangkannya dan membantu untuk memakannya.  Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ۚ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ ۗ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.

(Surah al-Ma’idah: 3)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaan kota Makkah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: لاَ، هُوَ حَرَامٌ. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala. Ditanyakan (oleh seseorang): ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?’ Nabi SAW bersabda: ‘Tidak boleh, itu adalah haram.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda saat itu juga: ‘Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.’

Riwayat al-Bukhari (2236)

Sesungguhnya Allah SWT tidak mengharamkan sesuatu melainkan Dia mencukupkan (manusia) dengan penggantinya daripada jenisnya yang diharuskan. Maka Dia mengharamkan zina tetapi mengharuskan nikah, mengharamkan daging babi tetapi mengharuskan daging unta, mengharamkan sutera (untuk lelaki) tetapi mengharuskan bulu biri-biri dan kapas, mengharamkan rampasan dan rompakan tetapi menghalalkan ghanimah (harta rampasan perang), mengharamkan pencerobohan dan penindasan tetapi mengharuskan jihad dan begitulah seterusnya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/390).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Syeikh Dr Solah al-Sawi yang pernah ditanya mengenai soalan seumpamanya menyebutkan, hukum asal membawa atau memindahkan daging babi adalah tidak dibolehkan. Hal ini kerana perkara tersebut dilihat seolah-olah membantu kepada perkara maksiat. Sekiranya hal tersebut berterusan, maka dia hendaklah mencari alternatif atau pekerjaan lain yang halal yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredhai oleh Tuhannya. Adapun jika hal itu adalah sesuatu yang mendatang atau berlaku secara tiba-tiba yang tidak dapat dielakkan sedangkan asas pekerjaannya melibatkan pemindahan atau penghantaran benda-benda yang baik (yakni yang halal), maka diharapkannya mendapat pengampunan Allah SWT dengan syarat dia mengeluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang diharamkan itu. (Lihat Mausu‘ah Fatawa al-Mughtaribin, 5/445)

Jika Sudah Terberi Sewa, Apa Hukum Hasil Pendapatan Tersebut?

Pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang diharamkan boleh disalurkan atau digunakan untuk kepentingan dan maslahat umat Islam. Hal ini sebagaimana fatwa Imam al-Ghazali yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya dari segi boleh dikongsi bersama orang Islam.

Begitu juga Imam al-Ghazali menukilkan daripada Mu‘awiyah bin Abu Sufyan, dan selainnya daripada kalangan ulama salaf seperti Imam Ahmad bin Hanbal, al-Harith al-Muhasibi dan ulama yang warak selain mereka berdua, kerana tidak dibenarkan untuk menghapuskan harta haram itu dan mencampakkannya ke dalam laut. Maka tiada pilihan melainkan digunakan untuk kepentingan atau maslahat umat Islam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/351).

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami berpendapat bahawa seseorang Muslim yang mempunyai syarikat perkhidmatan sewa pengangkutan tidak boleh memberi sewa perkhidmatan tersebut kepada syarikat yang mengusahakan makanan berasaskan daging babi dan daging-daging haram yang lain sekalipun kepada pelanggan yang bukan Islam. Jika perkara tersebut berterusan, maka pada masa yang sama dia hendaklah berusaha mencari pekerjaan lain yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredhai oleh Allah SWT.

Walau bagaimanapun, sekiranya asas pekerjaannya itu adalah baik, di mana dia sepatutnya hanya memberi sewa kenderaan lori kepada individu yang perniagaannya berasaskan perkara yang halal dan bukannya haram. Akan tetapi kemudiannya diketahui bahawa orang yang diberikan sewa itu turut menghantar daging-daging yang tidak halal, maka ketika itu bukanlah lagi berada di bawah tanggungjawabnya. Ini kerana pada asalnya dia telah pun memilih dan menyaring berdasarkan kepada zahir perusahaan individu yang diberi sewa lorinya, adapun perkara yang dilakukan oleh individu yang menyewa lori itu adalah diluar daripada pengetahuan dan kawalannya.

Apapun seeloknya, hindarilah sebarang perkara yang mempunyai kesamaran atau keraguan. Wajiblah kita saling membantu dalam amal soleh dan ketaatan, dan jangan saling berbantu dalam kemaksiatan serta dosa. Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰ⁠نِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ

Maksudnya: “Dan saling membantulah dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan janganlah saling membantu dalam urusan dosa dan permusuhan; dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu amat pedih azab seksa-Nya.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.