#7254: Orang Kencing Tidak Lawas Baca al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya diuji dengan mengalami kencing tidak lawas. Bolehkah selepas solat fardhu saya mahu sambung baca al-Quran?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kesucian merupakan salah satu ciri utama yang dituntut dalam Islam. Syariatnya turut menggesa dan menegaskan bahawa hanya orang Islam yang bersuci sahaja yang dibenarkan untuk menyentuh mushaf al-Quran. Allah SWT berfirman:

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ (77) فِي كِتَابٍ مَّكْنُونٍ (78) لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya ia adalah al-Quran al-Karim. Termaktub di dalam Kitab yang tersimpan rapi. Tiada yang boleh menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan.”

(Surah al-Waqi‘ah: 77-79)

Meskipun begitu, perkara ini merupakan khilaf dalam kalangan ulama dan fuqaha sejak dahulu lagi. Al-Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Sebahagian ulama berkata, maknanya adalah tidak boleh menyentuh al-Quran melainkan orang-orang yang suci daripada hadas dan junub. Zahir ayat menunjukkan sebuah penafian, dan maknanya mengandungi sebuah larangan. Ulama berkata: Tidak dibolehkan bagi orang yang berjunub, dan bagi wanita yang haid, orang yang berhadas untuk membawa mushaf al-Quran, begitu juga tidak boleh menyentuhnya. Ini merupakan pendapat ‘Ata’, Tawus, Salim, al-Qasim, dan majoriti ulama. Ini juga mazhab Imam Malik dan al-Syafi‘i. Manakala, al-Hakam, Hammad dan Abu Hanifah berpendapat, dibolehkan bagi orang yang berhadas dan berjunub untuk membawa mushaf al-Quran dan menyentuhnya. Namun, pendapat pertama merupakan pendapat majoriti fuqaha’.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/23)

Berhubung dengan soalan di atas, penyakit kencing tidak lawas (salisulbaul) adalah suatu penyakit apabila seseorang berasa sukar untuk menahan air kencing dari terkeluar. Penyakit ini ditakrifkan oleh Imam Murtadha al-Zabidi sebagai:

إِذا كانَ لَا يَستَمْسِكُه، وَقد سَلِسَ بَوْلُه، إِذا لَمْ يَتَهَيَّأْ لَهُ أَنْ يُمْسِكَه

Bermaksud: “Sekiranya dia tidak boleh menahannya (air kencingnya dari terkeluar), maka kencingnya tidak lawas, sekiranya tidak mudah baginya untuk menahannya (air kencing).” (Lihat Taj al-‘Arus min Jawahir al-Qamus, 16/151)

Hukum-Hakam Wuduk Kencing Tidak Lawas

Terdapat beberapa hukum dan garis panduan yang terkait dengan mereka yang menghidapi masalah ini. Kami perincikan hukum dan panduan yang disebutkan di dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i (1/124) seperti berikut:

Pertama: Penyakit hadas yang berterusan seperti kencing tidak lawas ini tidak menggugurkan kewajipan solat dan berpuasa, juga tidak menghalang seseorang untuk berjimak atau selainnya (daripada ibadah).

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya: “Fatimah binti Abu Hubaisy telah datang bertemu Rasulullah SAW lalu bertanya:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لاَ، إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ، وَلَيْسَ بِحَيْضٍ، فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي الصَّلاَةَ، وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّي

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, aku adalah seorang perempuan yang mengalami istihadhah, maka aku tidak suci kerana berterusan kedatangan darah. Adakah aku boleh meninggalkan solat? Rasulullah bersabda: ‘Tidak, Sesungguhnya yang demikian itu ialah darah yang datang dari urat dan bukannya darah haid. Apabila waktu haidmu datang, maka tinggalkanlah solat, dan apabila haidmu berlalu pergi, maka basuhlah darah itu darimu kemudian solatlah.’”

Riwayat al-Bukhari (228) dan Muslim (333)

Kedua: Perlulah dibersihkan dahulu bahagian kemaluan dan kemudian ikhtiarkan dengan sesuatu yang boleh menutup bahagian kemaluan tersebut seperti membalutnya dengan kapas lalu mengikatnya, ditutup dengan bandage, memakai pampers atau apa cara sekalipun agar titisan air kencing itu dapat dihalang dari terus menitis.

Sebaiknya pembersihan ini dilakukan selepas berusaha semampunya untuk mengurangkan titisan air kencing tersebut agar dapat dikurangkan najis ketika dia menunaikan ibadah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Ketiga: Mereka yang menghadapi masalah ini perlulah segera berwuduk setelah berhati-hati membersihkan kemaluannya (dengan merasakan tidak lagi menitis air kencing selepas ianya dibalut atau ditutup), dan wuduk tersebut perlulah diambil selepas masuknya waktu solat.

Hal yang demikian kerana wuduk tersebut berlaku pada keadaan bersuci yang darurat. Jika dia berwuduk sebelum masuk waktu maka wuduk itu terbatal.

Keempat: Wajib berwuduk bagi setiap solat fardhu, dan dia boleh menunaikan beberapa solat sunat dengan wuduk yang sama.

Ini berdasarkan sambungan hadith di atas yang diriwayatkan daripada Hisyam bin ‘Urwah R.Anhuma daripada bapanya, katanya:

ثُمَّ تَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلاَةٍ، حَتّى يَجِيءَ ذَلِكَ الوَقْتُ

Maksudnya: “Kemudian kamu berwudhu’ untuk setiap solat (fardhu), apabila masuknya waktu solat tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (228)

Kelima: Wajib segera menunaikan solat selepas berwuduk untuk mengurangkan hadas, namun tiada masalah jika dia melewatkan sedikit solat tersebut disebabkan oleh maslahah solat, seperti menutup aurat, mendengar azan dan iqamah, menunggu untuk solat berjemaah, mencari kiblat, menuju ke masjid, mencari sutrah. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wuduk meskipun dalam tempoh tersebut menitis air kencing.

Oleh yang demikian, para fuqaha’ menggalakkan bagi mereka yang menghidapi penyakit ini agar datang lewat ke masjid supaya mereka tidak perlu menunggu sehingga jemaah lain tiba.

Imam al-Ramli menyebutkan perkara ini dalam masalah imam solat jumaat: “Imam tidak disunatkan untuk datang awal bahkan digalakkan untuk melewatkan sehingga waktu khutbah sebagai mencontohi perbuatan Nabi SAW dan Khalifah selepasnya, Imam Mawardi juga berpendapat sedemikian serta diakui pendapat tersebut dalam kitab al-Majmu‘. Dan mereka mengikuti hukum ini adalah mereka yang menghidapi kencing tidak lawas dan sebagainya, maka tidak disunatkan bagi mereka untuk datang awal ke masjid pada hari Jumaat.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/334)

Keenam: Sekiranya dilewatkan solat tanpa adanya maslahah, maka batal wuduk itu terbatal. Wajib ke atasnya untuk mengulangi wuduk tersebut bagi tujuan berhati-hati kerana telah berulang hadas serta najis tersebut.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تُقْبَلُ صَلاةُ أحَدِكُمْ إذا أحْدَثَ حَتّى يَتَوَضَّأ

Maksudnya: “Tidak diterima solat seseorang kamu jika dia berhadas sehinggalah dia berwuduk.”

Riwayat Muslim (224)

Fuqaha’ juga mengikat perbuatan ‘melewatkan solat’ bagi yang menghadapi penyakit kencing tidak lawas dengan ‘adanya maslahah’. Syeikh Zainuddin al-Malibari berkata: “Demikian seperti salisul baul perlu menyegerakan solat (setelah berwuduk), sekiranya dia melewatkan (solat) kerana kemaslahatan solat itu seperti menunggu jemaah atau solat Jumaat didirikan, dan meskipun dia melewatkan (solat) dari awal waktu seperti pergi ke masjid maka tidak memudaratkan (tidak terbatal wuduknya).” (Lihat Fath al-Mu‘in Syarh Qurrah al-‘Ain, hlm. 47).

Ketujuh: Wajib menggantikan balutan atau yang seumpamanya dengan yang baru sekiranya dia memperbaharui wuduk.

Hal yang tersebut kerana balutan tersebut telah terkena najis, dan solat mereka yang membawa najis tidak sah berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan untuk mendirikan solat dengan memakai kasut itu.”

Riwayat Abu Daud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889). Al-Albani menilai hadith ini sebagai sahih.

Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa disunatkan memercikkan air ke seluar atau pakaian supaya jika datang perasaan was-was atau perkara yang tidak pasti, boleh menganggap bahawa air pada pakaian tersebut adalah air percikan tadi dan bukan kencing. Diriwayatkan daripada Zaid bin Harithah R.A, katanya:

فَلَمَّا فَرَغَ مِنَ الْوُضُوءِ أَخَذَ غُرْفَةً مِنَ الْمَاءِ فَنَضَحَ بِهَا فَرْجَهُ

Maksudnya: “Apabila Nabi SAW selesai berwuduk, Baginda mencedok sedikit air dan merenjiskannya pada (kain yang menutupinya) kemaluan Baginda.”

Riwayat Ahmad (17515). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Sahih al-Jami‘ (1/77)

Imam al-Nawawi berkata: “Disunatkan untuk mengambil secedok air kemudian direnjiskan pada kemaluan dan bahagian dalam seluar atau kain selepas istinja’ bagi mengelakkan was-was.” (Lihat al-Majmu‘, 2/112).

Kesimpulan

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan ke atas sesiapa yang berstatus da’im al-hadath (diuji dengan keadaan sentiasa dalam keadaan berhadas) seperti mengalami salasulbaul, istihadhah dan sebagainya; untuk terus menyambung membaca al-Quran dengan wuduk yang sama selepas menunaikan solat fardhu. Hal ini kerana, dia masih dikira dalam keadaan berwuduk. Dengan syarat, ia dilakukan sejurus sahaja seusai solat, dan tidak ada senggang waktu disia-siakan secara terlalu lama.

Sekiranya dia terdesak dan begitu memerlukan untuk membaca al-Quran setelah berlalu senggang waktu yang begitu lama; sedangkan dia dalam keadaan kencing tidak lawas, iaitu sentiasa hadas; maka untuk amalan peribadinya sendiri, dia boleh bertaqlid dengan salah satu pendapat marjuh di dalam mazhab al-Syafi‘i iaitu pendapat Imam Ibn al-Solah dalam kalangan al-Syafi‘iyyah yang mengatakan bahawa orang yang berhadas tidak haram menyentuh mushaf al-Quran. Atau boleh juga bertaqlid dengan Imam al-Mutawalli dalam kalangan al-Syafi‘iyyah yang mengatakan di dalam kitab Tatimmah al-Ibanah bahawa yang diharamkan adalah memegang tulisan Quran sahaja, adapun memegang tulang buku, tepian kertas, bahagian bukan tulisan; adalah dibenarkan dan tidak haram.

Imam al-Bujairimi berkata dalam Hasyiah beliau: Ibn al-Solah menukilkan satu wajah yang ganjil menyatakan tidak haram menyentuh mushaf al-Quran secara mutlak (bagi orang yang berhadas). Begitu juga dinyatakan dalam kitab Tatimmah: Tidak haram melainkan menyentuh tulisan al-Quran sahaja, adapun ruangan tepi mukasurat dan ruang kosong antara barisan, maka tidak haram. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Minhaj, 1/47).

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.