#726: Lafaz Isti’azah Sebelum al-Fatihah dalam Solat

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum seseorang membaca lafaz isti’azah sebelum membaca surah al-Fatihah dalam solatnya? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ta’awwuz atau isti’azah bermaksud meminta perlindungan atau pemeliharaan. Maka seseorang yang mengucapkan kalimah ini, dia sedang meminta perlindungan kepada Allah SWT agar Allah SWT menjaga dan memeliharanya dari sebarang gangguan dan godaan daripada syaitan yang direjam.

Ibn Kathir berkata: Isti’azah adalah meminta pertolongan iaitu aku memohon perlindungan kepada Allah tanpa selainnya daripada makhluk ciptaan-Nya daripada syaitan itu memudharatkan diriku pada agamaku atau ia memalingkan aku daripada kebenaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 1/16)

Terdapat beberapa sighah atau bentuk ucapan isti’azah, antaranya:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”

Riwayat al-Bukhari (1319)

Antara lafaz isti’azah lain adalah sepertimana disebut dalam sebuah riwayat daripada Ummu al-Mu’minin Aísyah R.Anha:

أَعُوذُ بِالسَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan dengan Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam.”

Riwayat Abu Dawud (785)

Begitu juga sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Masúd R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ وَهَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada syaitan yang direjam serta permusuhan yang disebabkan darinya, takburnya ia, serta syair yang tercela.”

Riwayat Abu Dawud (764), Ibn Majah (808), Ahmad (3830) dan Ibn Khuzaimah (472)

Bacaan Isti’azah Sebelum al-Fatihah ketika Solat

Terdapat beberapa pendapat ulama’ dalam isu ini sepertimana disebut oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (1/719-720). Secara ringkasnya, pendapat-pendapat tersebut adalah seperti berikut:

  • Menurut para ulama’ Maliki, amalan membaca isti’azah dan basmalah sebelum membaca Surah al-Fatihah adalah makruh. Begitu juga sebelum membaca surah yang lain. Ini berdasarkan hadis Anas R.A berikut:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا كَانُوا يَفْتَتِحُونَ الصَّلَاةَ بالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya“Bahawa Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar dan Umar semuanya memulakan sembahyang mereka dengan membaca: – الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ – ”

Riwayat al-Bukhari (743)

  • Ulama’ Hanafi pula berpendapat, al-isti’azah hanya patut dibaca pada raka’at pertama sahaja.
  • Ulama’ Syafi’e dan Hanbali pula menyatakan al-isti’azah adalah sunat dibaca secara perlahan-lahan pada setiap awal rakaat, iaitu sebelum mula membaca yang lain. Ia dilakukan dengan menyebut:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Atau mengikut riwayat Ahmad, bacaannya ialah:

أَعُوذُ بِاللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Selepas itu barulah dibaca Basmalah.

Ulama’ juga berbeza pendapat tentang bacaan Basmalah ini seperti berikut:

  • Bacaan Basmalah ini mengikut ulama Hanafi dan Hanbali hendaklah dibaca secara perlahan-lahan.
  • Sementara ulama Syafi’e pula berpendapat, bacaan Basmalah hendaklah dibaca nyaring dalam sembahyang yang sunat dilakukan dengan nyaring seperti yang telah diterangkan.

Pendapat berhubung dengan sunat bacaan ta’awwuz adalah firman Allah SWT:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.”

(Surah al-Nahl: 98)

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang baik dan kefaqihan dalam agama sehingga kita dapat melaksanakan acara ibadat mengikut neraca syariat yang sebenar berasaskan kepada para ulama’ dan fuqaha’ seperti di Malaysia dalam Mazhab Imam al-Syafi’e.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 25 Mac 2022 bersamaan 22 Syaaban 1443H