#7260: Status Hadith Fadhilat Puasa Rejab

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah ada hadith sahih yang mengatakan fadhilat puasa pada bulan Rejab?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bulan Rejab termasuk dalam kalangan bulan-bulan Haram yang dimuliakan di sisi syariat Islam, bahkan ia dimuliakan sejak zaman Jahiliah lagi. Allah SWT berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَهۡرࣰا فِی كِتَـٰبِ ٱللَّهِ یَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡهَاۤ أَرۡبَعَةٌ حُرُمࣱۚ ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلدِّینُ ٱلۡقَیِّمُۚ فَلَا تَظۡلِمُوا۟ فِیهِنَّ أَنفُسَكُمۡۚ وَقَـٰتِلُوا۟ ٱلۡمُشۡرِكِینَ كَاۤفَّةࣰ كَمَا یُقَـٰتِلُونَكُمۡ كَاۤفَّةࣰۚ وَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِینَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan; sebagaimana dalam ketetapan Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi dan di antaranya ialah empat bulan yang dihormati. Itulah ketetapan agama yang lurus dan tetap, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu dengan melanggar larangan-Nya dan perangilah keseluruhan kaum musyrik sebagaimana mereka memerangi kamu semua. Ketahuilah, sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa.”

(Surah al-Taubah: 36)

Bulan-bulan Haram yang dimuliakan tersebut menurut susunannya di sisi mazhab al-Syafi‘i adalah bulan Muharram, Rejab Mudhar iaitu bulan yang berada di antara Jamadil Akhir dan Syaaban, Zulkaedah dan Zulhijjah. Imam al-Qurtubi menjelaskan: “Dahulunya, Rabi‘ah bin Nizar mengumumkan bulan Ramadhan sebagai bulan haram dan menamakannya Rejab, maka ia digelar Rejab Rabi‘ah. Manakala, Mudhar pula mengumumkan bulan Rejab itu sendiri sebagai bulan haram. Maka, ia masyhur dipanggil Rajab Mudhar.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 8/133)

Justeru dapat diketahui bahawa bulan ketujuh dalam susunan kalender qamariah Hijri ini iaitu bulan Rejab merupakan salah satu bulan haram yang dimuliakan dan dihormati. Larangan melakukan dosa pada bulan ini lebih ditegaskan.

Hadith-Hadith Keutamaan Khusus Puasa Rejab: Tidak Sahih

Bagi menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa hadith-hadith berkenaan fadhilat khusus berpuasa sunat pada bulan Rejab adalah berstatus dha‘if, tidak sahih sepertimana yang dinilai oleh para Muhaddithin semisal Imam al-Nawawi dan dipersetujui oleh Imam al-‘Azizi, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kalangan fuqaha dan ahli hadith.

Kami bawakan kenyataan Imam Ali al-‘Azizi al-Syafi‘i yang menyatakan, Imam al-Nawawi menyebutkan: Tidak sahih sebarang hadith berkenaan larangan atau anjuran khusus puasa Rejab, namun amalan-amalan berpuasa di bulan Rejab itu sendiri adalah mandub (digalakkan) berdasarkan hadith yang diriwayatkan di dalam Sunan Abi Daud bahawa Rasulullah SAW menggalakkan puasa pada bulan-bulan Haram dan bulan Rejab adalah salah satu daripadanya.

Daku (al-‘Azizi) katakan: Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam kitab Syu‘ab al-Iman secara mauquf daripada Abu Qilabah R.A bahawa beliau berkata:

فِي الْجَنَّةِ قَصْرٌ لِصُوَّامِ رَجَب

Maksudnya: Ada istana khusus di dalam syurga yang disediakan bagi orang yang banyak berpuasa pada bulan Rejab.”

Beliau (Imam al-Baihaqi) berkata: ‘Ini merupakan hadith yang paling sahih berkenaan keutamaan puasa Rejab.’” (Lihat al-Siraj al-Munir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 3/266).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pula berkata: “Tiada sebarang hadith sahih berkenaan amalan (baik puasa atau qiamullail) atau keutamaan khusus bulan Rejab, yang boleh dibuat sebagai hujah yang kuat. Perkara ini disepakati oleh para ulama seperti yang ditegaskan oleh Imam Abu Isma‘il al-Harawi.” (Lihat Tabyin al-‘Ujab fi Fadha’il Rajab, hlm. 81)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa tiada sebarang hadith sahih yang membicarakan soal fadhilat atau keutamaan khusus bagi amalan berpuasa sunat di bulan Rejab. Semua hadith berkenaannya dinilai lemah oleh para ulama hadith semisal al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, Tabyin al-‘Ujab. Namun yang demikian, berpuasa sunat di bulan Rejab adalah tetap sunat kerana faktor anjuran berpuasa sunat pada bulan-bulan Haram. Anjuran ini dinyatakan oleh para fuqaha’ dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar.

Bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan Haram, maka berpuasa pada mana-mana hari dalam bulan Rejab adalah amalan sunat yang digalakkan. Imam al-Nawawi mengatakan: “Dan antara puasa yang disunatkan itu ialah puasa pada bulan-bulan haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Dan yang paling afdhal ialah Muharram.” (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 2/388).

Bahkan di sisi fatwa muktamad Syeikh al-Islam dan Imam al-Ramli, berpuasa di bulan Rejab menduduki tangga kedua dari sudut keafdhalan selepas berpuasa di bulan Muharram. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Syams al-Ramli bahawa: “Ketahuilah olehmu sesungguhnya bulan yang paling afdhal untuk berpuasa selepas Ramadhan itu ialah bulan-bulan haram dan yang paling utama ialah bulan Muharram kemudian Rejab.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/211)

Begitu juga Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Bulan yang paling afdhal puasa sunat adalah bulan Muharram berdasarkan hadith riwayat Muslim: ‘Puasa yang paling utama selepas Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah, bulan Muharram.’ Kemudian bulan-bulan yang lain, dan zahirnya, semuanya sama sahaja dari sudut keutamaan, dan zahirnya juga, keutamaan Rejab berbanding bulan yang lain, untuk keluar daripada khilaf sebahagian pihak yang mengutamakannya berbanding bulan-bulan Haram yang lain, kemudian bulan Syaaban.” (Lihat Asna al-Matalib Syarh al-Raudh al-Talib, 1/433)

Perkara ini adalah berdasarkan hadith Abu Mujibah al-Bahiliyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ

Maksudnya: “Berpuasalah beberapa hari daripada mana-mana bulan Haram dan kemudian berhenti. Berpuasalah beberapa hari daripada mana-mana bulan Haram dan kemudian berhenti. Berpuasalah beberapa hari daripada mana-mana bulan Haram dan kemudian berhenti.”

Riwayat Abu Daud (2428) dan dinilai soleh (baik) oleh Abu Daud sendiri.

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari mensyarahkan hadith di atas: “Rasulullah SAW mengizinkan untuk meninggalkan amalan puasa (bulan Haram) ini kerana barangkali ia menyusahkan sebahagian orang untuk banyak berpuasa seperti mana yang ditegaskan di dalam hadith ini. Adapun orang yang tidak merasakan sebarang kesusahan, maka dia boleh berpuasa pada semua bulan-bulan yang mempunyai keutamaan istimewa ini.” (Lihat Asna al-Matalib Syarh al-Raudh al-Talib, 1/432-433)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.