#7262: Adakah Dosa Syirik Diampunkan?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah dosa syirik akan diampunkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Syirik merupakan dosa terbesar dan diancam dengan kekekalan di dalam neraka selama-lamanya kerana ketiadaan rahmat dan keampunan Allah SWT buat pelakunya. Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا یَغۡفِرُ أَن یُشۡرَكَ بِهِۦ وَیَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَ ٰ⁠لِكَ لِمَن یَشَاۤءُۚ وَمَن یُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰۤ إِثۡمًا عَظِیمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang menyekutukan-Nya dengan sesuatu perkara, dan Dia akan mengampuni dosa selainnya bagi sesiapa yang Dia hendaki. Sesiapa yang menyekutukan Allah maka dia telah melakukan suatu dosa yang amat besar.”

(Surah al-Nisa’: 48)

Ibn Jarir al-Tabari dalam menjelaskan ayat ini menyebutkan, ayat ini menjelaskan bahawa semua pelaku dosa besar berada di bawah kehendak Allah. Jika berkehendak, Dia memaafkannya, dan jika berkehendak, Dia akan menyeksanya. Selama mana dosa besarnya bukanlah sebuah kesyirikan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Tabari, 8/450).  Manakala Ibn Kathir pula menjelaskan dengan menyebutkan, Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik iaitu ketika seorang hamba bertemu-Nya dalam keadaan berbuat syirik. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/129). Sementara Ibn al-Jauzi berpendapat, Allah SWT tidak akan mengampuni orang musyrik yang mati dalam kesyirikan. (Lihat Zad al-Masir, 2/103).

Hakikatnya, jawapan bagi soalan di atas ini, ada tersemat padat di dalam nas Imam Ibn Juzai al-Kalbi al-Gharnati ketika beliau menafsirkan ayat di atas dalam kitab tafsir beliau yang masyhur. Ibn Juzai al-Kalbi menyatakan, ringkasan pandangan mazhab-mazhab adalah bahawa apabila seorang kafir bertaubat daripada kekafirannya, dia diampunkan berdasarkan ijma‘ ulama. Jika dia mati dalam keadaan kafir, dia tidak akan diampunkan dan akan kekal di dalam neraka berdasarkan ijma‘ ulama. Adapun seseorang Mukmin yang berdosa, jika dia bertaubat, dia akan diampunkan. Namun, jika dia mati tanpa bertaubat, di sinilah para ulama berbeza pendapat mengenainya. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/196)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami tegaskan di sini bahawa dosa syirik boleh diampunkan selagi seseorang itu masih hidup dan sempat bertaubat nasuha daripada kesyirikan tersebut. Dosa syirik tidak akan diampunkan apabila seseorang manusia itu sudah mati dalam keadaan mensyirikkan Allah dan menyekutukan-Nya dalam ibadah, serta tidak sempat bertaubat sebelum mati. Inilah yang bakal menanggung azab seksa api neraka secara kekal di dalamnya, selama-lamanya. Na‘uzubillahi min zalik.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.